PROLOG

Romantic Comedy Series 221

"KAU ni memang lembablah! Kerja mudah macam ni pun kau tak boleh nak buat?!" Tubuh Mawar ditarik kasar mengikutinya.

"Ibu! Ibu! Tengok apa yang Mawar buat pada baju Melur ni!" Langkah kaki dihayun menuju ke ruang tamu. Matanya meliar mencari kelibat ibunya.

"Kenapa ni, Melur? Pagi-pagi dah bising," ujar Puan Medina seraya membawa mangkuk berisi nasi goreng ke meja makan.

Laju kaki Melur melangkah menghampiri tubuh ibunya yang sedang menghidangkan makanan di atas meja.

"Ibu tengok ni apa yang Mawar dah buat!" Disuakan dress berwarna soft pink miliknya pada Puan Medina.

Dress bertukar tangan. Puan Medina menilik lama dress tersebut. Bulat matanya melihat kawasan dress yang tercela itu.

"Mawar gosok baju Melur sampai berlubang!" bentak Melur tidak puas hati. Panas hatinya apabila melihat pakaiannya dicela.

"Ma... Mawar tak sengaja. Sumpah! Mawar tak perasan." Tergagap-gagap Mawar menjawab. Melihat wajah ibunya yang berubah tegang, tahulah dia bahawa bala akan menimpanya tidak lama lagi.

"Macam mana kau boleh tak perasan baju kakak kau berlubang?! Kau tengok pakai lutut ke apa?" Nada Puan Medina naik seoktaf seraya melempar baju itu ke muka Mawar.

Manakala kakak Mawar, Melur Adelia tersenyum sinis. Puas hatinya melihat Puan Medina memarahi adik tirinya. Itulah padahnya kalau tak berhati-hati ketika melakukan kerja. Tak pasal-pasal dressnya jadi mangsa. Sudahlah itu salah satu dress kesayangannya.

"Ajar sikit Mawar tu, ibu. Budak ni tak boleh diberi muka. Kalau hari ni dia boleh rosakkan baju orang, tak mustahil esok lusa dia akan rosakkan nama keluarga kita disebabkan perangai dia yang tak senonoh tu." Makin dituang minyak pada api kemarahan Puan Medina yang sudah sedia menggelegak.

Puan Medina menarik kasar rambut Mawar mengikuti langkahnya. Bilik tidur Mawar dituju.

"Ib-ibu ... sakit," rintih Mawar perlahan.

Terasa seperti mahu tercabut kulit kepalanya. Rintihannya sedikit pun tidak meruntuhkan kemarahan ibunya. Malah, rambut Mawar ditarik lebih kuat.

"Aku dah lama bersabar dengan perangai kau, Mawar. Selagi aku tak ajar kau, selagi itulah kau akan selalu buat silap!"

Pegangan pada rambut Mawar terlerai sebaik tiba di bilik. Dicekup lengan Mawar kemas. Suis seterika dibuka.

"Sekarang, aku akan ajar kau macam mana rasanya terbakar macam kau buat baju anak aku sampai berlubang." Perkataan 'anak' sengaja ditekan.

Puan Medina cuba menekap plat seterika yang sudah sedia berbahang di belakang tubuh Mawar. Namun Mawar pantas melawan. Tindakan Mawar itu buat wanita itu bertambah berang. Mawar sudah berani melawan. Mawar melangkah ke arah pintu.

"Kau nak pergi mana ni?"

"Mawar nak keluar dari rumah ni." Sweater yang terhampar di atas katil disambar.

"Baguslah! Kau memang tak layak pun duduk kat sini. Sepatutnya tempat kau dekat tepi jalan sana tu," herdik Puan Medina lagi.

Kata-kata Puan Medina tidak dihiraukan. Semakin laju kaki Mawar melangkah ke luar rumah.

____________________________________

"MAWAR."

Mawar berpaling ke sebelah. Kelihatan sahabatnya, Anggerik sedang menahan empangan air matanya daripada pecah. Mawar yang lihat air muka sahabatnya itu hanya mampu simpan tawa dalam hati.

"Ja-jaga diri kau kat tempat orang tau. Jaga kesihatan kau tu." Anggerik, tarik tubuh Mawar ke dalam dakapannya.

Mawar membalas pelukan sahabatnya. Diusap perlahan belakang tubuh gadis itu. Mujurlah dia sempat tiba di stesen bas.

"Mana Jasmine?" soal Mawar usai pelukan mereka terlerai.

Hairan juga bila lihat Anggerik datang sini seorang diri. Selalunya gadis itu datang bersama sahabat mereka, Jasmine.

"Jasmine kata dia minta maaf sebab tak dapat hantar kau. Dia ada hal katanya."

"Yalah tu. Cakap ajelah dia ada hal dengan boyfriend dia tu," balas Mawar berura-ura merajuk. Jasmine memang macam tu. Asyik dating dengan boyfriend saja kerjanya.

Kalau mereka duduk bersama, ada saja cerita yang Jasmine mahu katakan tentang kekasihnya itu. Sayang sungguh dia pada kekasihnya. Sampai sekarang Mawar masih belum ada berjumpa dengan kekasih hati Jasmine.

"Kau akan balik sini semula, kan?" soal Anggerik. Wajah pucat Mawar direnung lama. Wajah yang memikul sakit sejak kecil.

Mawar senyum tawar.

"Insya-Allah. Aku akan balik."

Jemput baca bab awal His Dolce : Rose's versi buku fizikal terbitan PBAKL 2025 di bawah Mia Azwari Publication

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience