BAB 1

Romantic Comedy Series 221

RINTIK-RINTIK hujan turun membasahi tanah. Sekali-sekala kelihatan cahaya kilat memanah langit yang sudah sedia kelam itu.

Dalam suasana yang suram itu, sebuah sport bike Ducati Panigale meluncur laju meredah gerimis lebat memasuki pekarangan bangunan syarikat The Grandz. Sport bike diletakkan di kotak parkir VVIP.

Zakhwan menyebak rambutnya ke belakang. Jemari runcingnya mengurai rambut seraya melihat side mirror motosikalnya. Enjin dimatikan.

Langkah kaki diatur santai memasuki bangunan syarikat miliknya. Sebaik tiba di muka pintu bilik pejabatnya, kata laluan ditekan pada papan kekunci yang berada di tepi pintu. Dia mengorak langkah panjang menuju ke meja kerjanya.

Punggung dihempas pada kerusi hatchback berwarna hitam. Badan disandarkan pada badan kerusi. Nafas ditarik sedalam-dalamnya lalu dihembus perlahan. Tangannya naik memicit pelipis dahinya. Sakit sungguh kepalanya hari ini.

Tok! Tok!

Kelopak mata Zakhwan dibuka. Dahinya berkerut. Siapa pula yang rajin sangat ceroboh pejabat aku pagi-pagi macam ni?

Pintu dikuak dari luar. Muncul susuk tubuh sepupunya, Luth di sebalik pintu. Siapa lagi manusia yang tahu kata laluan bilik kerjanya selain sepupunya yang tiga suku itu. Luth masuk ke bilik kerja Zakhwan tanpa disuruh. Dia menghampiri meja kerja Zakhwan.

"Malam ni ada kenduri untuk Zade. Kau join tak?"

Zakhwan menjatuhkan kepalanya sekali.

Luth menghampiri sofa kulit berwarna hitam sebelum dia berbaring di atasnya seperti bos besar di dalam bilik kerja Zakhwan. Tangannya mengeluarkan telefon bimbit lalu dia bermain permainan dalam telefonnya.

"Syarikat kau dah rentung ke? Setiap hari asyik menempel kat pejabat aku je," selar Zakhwan.

Zakhwan perhati saja perangai sepupunya itu. Dulu sewaktu Zayne masih bujang, asyik dikacau saja abangnya itu. Sekarang Zayne sudah berkahwin dan pindah ke Kuala Lumpur, Zakhwan pula jadi mangsanya.

Nak dikatakan Luth tiada pejabat sendiri, berlambak syarikat milik keluarga Luth di Perak ini.

"Biarlah. Aku datang pejabat sepupu aku, bukannya isteri aku. Kalau isteri, bukan setakat pejabat, rumah dia kat Australia pun aku sanggup datang hari-hari," ujar Luth tanpa memandang wajah Zakhwan. Matanya ralit pada permainan di skrin telefonnya.

Jemari Zakhwan mengetuk permukaan meja. Matanya memicing tajam ke arah Luth. Decitan halus terlepas selepas itu. Yalah tu. Suruh beli kopi di kafe bawah pejabat pun sudah merungut macam keldai. Inikan pula nak pergi jenguk isteri di Australia setiap hari.

"Ada ke perempuan yang nak lelaki wayar putus macam kau?" soal Zakhwan berbaur sinis.

Laju Luth bangun dari baringnya.

"Eh, apa kau ingat muka handsome macam aku ni tak ramai peminat ke? Aku datang sini pun ramai perempuan yang usyar tau."

Hujung bibir Zakhwan ternaik.

"Betullah tu. Perempuan yang minat kau tu semuanya wayar putus. Yang usyar kau pun tak lain tak bukan mak cik cleaner kat tandas tu. Hampeh!" MacBook ditarik menghampirinya. Lebih baik dia sambung kerjanya yang tergendala tadi.

"Eh, for your information aku dah ada tunang okey. Bermakna aku lagi laku daripada kau," ujar Luth dengan bangganya.

Ingat dia ni tak laku ke? Dia dah ada tunang. Tunangnya itu ada darah kacukan Perancis lagi. Kau ada?

"Okeylah tu. Tunang kau pun sama gila dengan kau. Patutlah berjodoh. Jangan berbodoh sudah. Nanti aku juga yang kena terima bala kau," balas Zakhwan selamba.

Luth menjulingkan matanya ke atas. Zakhwan ni kalau keluarkan sepuluh kata-kata, satu saja yang baik. Yang lain semuanya menyakitkan hatinya. Suasana kembali sepi. Zakhwan meneruskan kerjanya dengan tenang. Tumpuan Zakhwan agak terganggu apabila Luth asyik berkeliaran di sekeliling meja kerjanya tanpa kata. Kadang bermain dengan stapler. Kadang sibuk lipat kertas A4 yang tak digunakan membentuk kapal terbang.

Cuba beritahu dia perempuan mana yang nak lelaki sengal macam Luth? Kalau ada pun, perempuan gila mungkin.

"Kau berambus boleh tak? Aku ada banyak kerja kat sini." Anak mata kelabu Zakhwan mencerlung tajam wajah Luth. Budak ni dah tak ada kerja ke sampai mahu ganggu dia di sini?

Luth mengangkat kedua-dua tangannya ke atas tanda mengalah. Dia mengorak langkah menuju ke pintu.

"Betul eh kau datang kenduri malam ni?" soal Luth seraya pintu dibuka separa luas.

"Ya, aku datang. Tapi aku sampai lambat sikit."

"Lahh... kenapa?"

"Aku nak singgah satu tempat ni. Nanti dah setel aku terus balik."

Luth angguk tanda mengerti sebelum dia beredar keluar dari bilik pejabat Zakhwan.

Zakhwan menghantar pemergian Luth dengan pandangan mata saja. Usai bayangan Luth hilang, dia menyambung kerjanya yang tergendala tadi. Nafas lega dihela. Terasa ringan sedikit beban di kepalanya.

Pergerakan Zakhwan terhenti apabila telefonnya berbunyi. Skrin telefonnya turut berubah terang. Menandakan ada notifikasi masuk. Namun notifikasi yang diterima itu tidak menarik perhatiannya.

Gambar yang ditetapkan sebagai kertas dinding telefonnya menjadi fokus perhatian. Gambar itu diusap lama. Senyum tipis terlorek. Namun senyuman itu gagal menutup mendung yang menyelimuti wajahnya.

"I keep myself busy with the things I do but every time I pause, I still think of you. It's been a long day without you," ujarnya perlahan. Nada suaranya sayu bagaikan sembilu yang menghiris tangkai hatinya.

Direnung lama wajah yang terpapar di dada skrin itu. Gambar seseorang yang telah merubah hidup Zakhwan sejak beberapa tahun yang lalu. Seseorang yang telah meninggalkan kesan dalam hidup Zakhwan. Peristiwa hitam itu telah membuatkan Zakhwan terseksa.

____________________________________

MAWAR MENARIK bagasi miliknya sebaik saja mengambilnya dari tempat simpanan di bawah bas. Matanya meliar mencari kelibat seseorang. Senyum manis terpahat di bibirnya setelah melihat susuk tubuh kawan baiknya sedang tercongok tegak di depan pintu masuk ke dalam terminal bas.

Akhirnya terbuka jua hati Mawar untuk kembali semula ke negeri sendiri setelah sekian lama menetap di negeri orang.

Anggerik melambai tangannya ke arah Mawar dan disambut dengan senyuman manis Mawar.

Laju kaki Mawar diatur mendekati Anggerik.

"Alhamdulillah Mawar. Rindunya aku kat kau." Dipeluk tubuh genit Mawar erat. Pelukan dibalas.

"Aku pun rindu kau," ucap Mawar sambil mengusap belakang tubuh Anggerik.

Pelukan terlerai. Masing-masing seakan mahu mengalirkan air mata namun ditahan saja. Rindu dengan figura yang berdiri di depan antara satu sama lain. Sudah lama mereka tidak bersua muka sejak kejadian yang menimpa Mawar lima tahun lalu.

"Kau tunaikan juga janji kau untuk balik sini."

Mawar senyum.

"Mestilah. Janji kena ditepati."

"Jom kita lepak kat kafe! Aku ada banyak benda nak cerita kat kau ni. Kali ni aku belanja," ajak Anggerik. Sekali sekala belanja kawan apa salahnya. Bukannya selalu mereka berjumpa.

"On!" sahut Mawar teruja. Rezeki jangan ditolak. Lengan Anggerik dirangkul kemas. Tindakan spontan Mawar setiap kali bersama kawan baiknya.

Anggerik geleng perlahan melihat ulah Mawar. Mereka menghayun langkah menuju ke kafe yang berdekatan dengan stesen bas. Anggerik dan Mawar mengambil tempat di salah sebuah meja di situ setelah membuat pesanan.

Disebabkan hari ini hari bekerja, suasana di kafe ini sedikit lenggang berbanding hari biasa. Baguslah. Dia pun tidak berapa suka dikerumuni dengan lautan manusia. Merimaskan.

"Macam mana kehidupan kau kat sana? Okey?" Anggerik mulakan bicaranya.

"Alhamdulillah, great! Aku enjoy duduk sana!" kata Mawar bernada teruja. Anggerik senyum.

"Baguslah kalau macam tu. Anyway, malam ni kau nak tidur mana?" Mawar tidak menjawab. Dibiarkan soalan Anggerik itu seperti angin yang lalu di cuping telinganya.

"Kau dah book hotel ke? Kalau kau belum book hotel lagi, tidur rumah aku ajelah. At least aku ada teman," cadang Anggerik apabila soalannya mendapat kebisuan Mawar.

"It's okay. Aku masih ada family lagi. Aku ingat aku nak tinggal dengan mereka."

"Kau betul ke nak duduk sana?" soal Anggerik minta kepastian. Bukannya apa. Dia risau akan keadaan Mawar di sana nanti.

"Kenapa? Tak boleh ke?" Dahi Mawar berkerut.

Salah ke dia mahu tidur di rumah keluarganya?

Laju Anggerik menggeleng. Bukannya dia tak suka. Cuma tak berapa setuju dengan keputusan Mawar. Selama ini Mawar hidup tenang dan bahagia di tempat orang. Takkan mahu pulang ke sarang neraka yang dia yakin mampu merenggut kebahagiaan Mawar sekelip mata pula.

Keluarga Mawar menghalau Mawar sebab Mawar dikatakan terlalu menyusahkan mereka. Terutama sekali ibu tirinya, Puan Medina. Akibat tidak tahan dengan sikap mementingkan diri sendiri Puan Medina, Mawar bertindak untuk keluar dari rumah dengan alasan nak sambung belajar. Mawar sudah tidak berdaya dijadikan hamba abdi di dalam rumah yang serupa seperti neraka itu.

Mungkin pada orang lain rumah itu syurga mereka. Tapi tidak pada Mawar. Rumah keluarga Mawar merupakan neraka dunia yang paling kejam untuknya. Rumah yang sepatutnya menjadi tempat sandaran, menjadi tempat untuk melampiaskan kemarahan terhadapnya.

Tak sangka, ujian Mawar terlalu berat apabila gadis itu menghidap sakit jantung. Syukur keadaan gadis itu sudah pulih selepas menjalani pembedahan dua tahun yang lepas.

"Kau dah sihat sepenuhnya ke?" Mawar senyum sebelum dia mengangguk laju.

"Alhamdulillah. Aku dah sihat."

Mawar memanggung pandangannya ke sisi Anggerik. Senyum manis yang menguntum di bibir merah jambu itu perlahan-lahan berubah pahit. Dadanya mula diselaputi dengan perasaan pilu. Matanya turut berkaca-kaca.

"Selalunya dia akan duduk sebelah kau. Cerita pasal boyfriend dia tak ke sudah," luah Mawar dengan suaranya yang makin serak.

Anggerik mengamati lama wajah bening Mawar. Dia faham apa yang Mawar cuba sampaikan. Ya, dia pun merasakan benda yang sama. Senyuman turut terpahat di bibir. Senyuman yang berperisa kelat. Lebih kepada senyuman palsu.

Teringat akan hubungan mereka dulu yang sentiasa dilanda dengan musim keceriaan tatkala kawan mereka asyik menceritakan sebab-sebab dia menyayangi kekasihnya. Dan Mawar jugalah yang akan mengusik kawannya itu. Katanya hilang seri cinta bila sentiasa menceritakan kebahagiaan dia pada orang lain.

Secara automatiknya wajah kawan mereka berubah cemberut. Tak lama kemudian masing-masing hambur tawa ke udara melihat gelagat sendiri seperti anak kecil.

Rindu. Rindu sangat dengan kenangan itu. Kenangan yang tidak dapat diulangi.

"Aku rindu dia," luah Mawar dengan nada tertahan. Terasa seperti kolam matanya memberi tanda untuk mengeluarkan mutiara jernih. Bayang-bayang kesedihan masih terpalit di wajahnya. Hatinya menjadi luluh tatkala kenangan mereka bertiga kembali bermain di layar fikirannya.

"Kita berdua rindukan dia, Mawar ..."

Jeda.

"Aku harap permintaan dia takkan beri beban pada kau," sambung Anggerik lagi sambil meraih tangan Mawar yang berada di atas meja.

"Ada sebab kenapa dia buat permintaan tu dengan aku."

"Dia sayang kau, Mawar. Dia nak kau bahagia. Sebab tu dia buat semua ni. Dan aku pun akan bahagia kalau kau bahagia." Lembut suara Anggerik memujuk Mawar. Dia kenal kawan baiknya itu. Dia percaya perjanjian yang dilakukan dengan Mawar dulu ada hikmah yang telah terselit kemas.

"Kalau tak keberatan, boleh tak kau bawa aku ziarah kubur dia?" pinta Mawar.

Anggerik senyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience