Series
221
SEBUAH kereta Myvi berwarna hitam berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Gear ditolak kepada N sebelum brek tangan ditarik.
Pandangan Mawar berkalih pada rumah dua tingkat itu. Rumah yang sudah lama ditinggalkan. Rumah yang merupakan tempat terakhir dia tinggal sebelum dia melanjutkan pelajarannya.
Hari ini dia akan jejak kakinya semula ke sini. Tujuan dia ke sini hanya satu. Untuk ambil keretanya semula.
"Kau sure ke nak masuk sana? Aku rasa tak sedap hatilah," ujar Anggerik bernada risau.
Bukannya Anggerik tidak tahu apa yang akan terjadi pada Mawar jika kawan baiknya itu berani muncul di depan keluarganya.
"Aku dah lama tak lawat mereka. Mesti dia orang tertanya-tanya keberadaan aku. Aku sampai sini pun terus tinggal dengan kau."
"Mawar, sejak kau tinggalkan rumah tu, mereka tak pernah kisah pun. Apa yang dia orang tahu cuma duit, duit, duit je."
"Okey kalau betul dia orang kisah pasal kau, kenapa dia orang tak tanya khabar kau sejak kau keluar dari rumah? Kenapa dia orang biarkan kau terkontang-kanting seorang diri di sana? Ada dia orang cakna pasal kesihatan kau kat sana?" soal Anggerik bertalu-talu.
Kata-kata Anggerik membuatkan lidah Mawar menjadi kelu. Dia tiada jawapan untuk soalan-soalan Anggerik. Apa yang Anggerik katakan tadi semuanya benar. Tiada sesiapa yang peduli akan dirinya selama ini.
Sepanjang lima tahun pengajiannya di negeri orang, hanya Anggerik dan mak sunya saja yang mengambil berat tentang Mawar. Walaupun Mawar ada biasiswa untuk menampung kos pengajiannya, Mawar terpaksa mencari pendapatan lain dengan bekerja sambil belajar untuk membiayai kos perubatannya pula.
"Kita lawat lain harilah, Mawar. Aku rasa tak sedap hatilah," pujuk Anggerik. Dia risau akan keadaan Mawar.
"Aku nak ambil kereta arwah ayah aku. Kau tahu kan itu selama ni aku yang jaga kereta tu selepas arwah pergi. Asalkan aku dapat ambil kereta aku, aku dah gembira." Sedaya upaya Mawar mencuba redakan kegelisahan yang menyerbu ruang hati sahabatnya.
Jika Anggerik tak mahu dia jumpa keluarganya tidak apalah. Dia boleh jumpa lain hari. Tapi dia tetap mahu ambil semula keretanya. Itu saja harta yang ditinggalkan oleh arwah ayah kepadanya.
Anggerik mengeluh pasrah. Tidak dapat tidak, dia akur juga dengan keputusan Mawar.
Akhirnya Mawar keluar dari kereta manakala Anggerik hanya menunggu di luar kereta saja.
Usai memberi salam, Mawar membuka pintu rumah. Ruang tamu dipandangnya sekilas. Sunyi sepi di dalam rumah. Mawar terus menghala kakinya ke bilik tidur.
Sebaik dia membuka pintu bilik, Mawar memerhati segenap ruang biliknya. Bersepah. Macam tongkang pecah. Keadaan bilik ini sama seperti lima tahun yang lepas. Tiada perubahan langsung.
Mawar mula mencari kunci kereta. Bilik yang sedia ada bersepah bertambah serabut dek ulah Mawar. Terbongkok-bongkok Mawar mencari kunci keretanya. Cadar katil ditanggalkan, bantal di atas katil dilempar ke bawah, semua laci dan pintu almari dibuka namun kunci yang dicari tetap tiada.
"Mana pula kunci kereta ni?" Mawar garu kepala yang tidak gatal.
Mustahil kunci kereta hilang. Setahu Mawar, memang dia letak kunci keretanya di dalam laci meja solek sebelum dia pergi dari sini. Kereta arwah ayah masih ada di hadapan rumah.
"Mustahil aku letak merata," desisnya.
"Cari ni ke?" Satu suara memecah keheningan bilik.
Laju badan Mawar berpusing ke arah punca suara. Batang tubuh Melur yang bersandar pada bingkai pintu bilik Mawar menjadi fokus pandangannya.
Melur senyum sinis. Sebelah tangan memeluk tubuh. Sebelah tangan lagi sedang melayang-layangkan segugus kunci di udara.
"Itu kunci kereta Mawar!" Tangannya mula mencapai kunci kereta namun Melur lebih pantas menyembunyikannya di belakang tubuhnya.
"Lima tahun kau hilang. Sesuka hati nak ambil kereta. Jangan nak perasan. Ni kereta ayah aku."
"Kereta tu hadiah ayah kepada Mawar!"
"Bagi aku RM 100, 000 dulu," pinta Melur bersahaja.
"Kakak dah gila ke? Mawar mana ada duit sebanyak tu!"
"Then, kereta tu milik akulah." Senang saja Melur melontar kata.
Mawar cuba untuk rampas kunci tersebut daripada kakaknya. Namun Melur menolak kuat tubuh Mawar sehingga belakang badan Mawar terkena bucu kabinet.
Mawar mendesis sakit. Sakitnya bukan kepalang.
"Baru kena tolak sikit dah sakit. Ada hati nak lawan aku. Siapa benarkan kau ambil kunci kereta ni?"
"Tolong bagi Mawar. Itu saja harta ayah yang Mawar ada." Ya. Selepas arwah ayah pergi, kereta itu sepatutnya diserahkan kepada dia. Manakala rumah pula diberikan kepada Puan Medina.
"Sekarang ni kereta tu dah jadi milik aku."
"No way! Itu hak Mawar."
"Ohh... jadi kau nak cerita pasal hak? Dan aku sebagai penghuni rumah ni juga ada hak untuk halau kau keluar dari rumah ni." Bibir Melur menyungging senyum sinis.
Jeda. Melur mara beberapa tapak.
"Atau kau nak aku report pada ibu yang kau ceroboh rumah kami?" soal Melur.
"Kak..."
"Apa ni bising-bising sampai ke luar rumah dengarnya?" Suara Puan Medina mengambil alih suasana yang sedia ada tegang itu.
Wajah sinis Melur berubah masam mencuka. Laju saja dia menghampiri tubuh ibunya yang berdiri di luar bilik.
"Ibu tengok ni... Siapa yang datang? Dah lama tinggalkan keluarga ni, balik-balik nak rampas kereta Melur. Sudahlah khabar kita tak ditanya," rungut Melur. Sengaja ditayang wajah sedih yang dibuat-buat pada ibunya.
Pandangan Puan Medina berkalih pada wajah Mawar. Wajah itu langsung tidak memberikan sebarang senyuman kepada anak tirinya. Malah, diberikan riak beku saja.
"Bukan itu saja, bu. Melur minta duit sikit pada dia untuk perbelanjaan Melur di universiti. Alih-alih Melur ditengking dan ditolak sampai Melur hampir jatuh," tambah Melur lagi.
Mendengar jawapan yang meluncur keluar dari mulut Melur membuatkan darah amarah Puan Medina mencanak naik dalam masa sesaat.
"Bertahun kau berambus dari rumah ni, baru hari ni kau tunjuk muka?" Sinis saja nada Puan Medina memerli Mawar.
"Dah hebat sangat ke diri tu sampaikan kau berkira dengan adik beradik sendiri? Kau kena ingat Mawar, duit yang kau dapat kat dunia ni pun datangnya daripada doa aku. Kalau tidak, sesen pun Tuhan takkan bagi pada kau. Jangan nak sombong sangat. Kalau macam inilah perangai kau, tak balik sini pun lagi baguslah! Ada anak macam kau pun menyusahkan aku aje!" herdik Puan Medina lagi. Kata katanya tak pernah tak pedas. Semuanya menusuk ke dalam hati.
Tapi pada Mawar, dia sudah lali. Alah bisa tegal biasa.
"Kalau kau tak mampu menyenangkan kami, jangan nak susahkan kami. Ada kau sebagai anak pun tak guna. Dahlah berkira. Dengan perangai kau yang macam ni, jangan tanya kenapa Tuhan sekat rezeki kau," dengus Puan Medina sambil memalingkan tubuh dan keluar dari bilik Mawar.
Mawar ketap bibir. Jika diikutkan hati, memang dia tak mahu balik ke sini. Tapi ditahan jua perasaannya agar tidak sampai ke tahap itu. Dia masih ingat lagi amanah dia di sini walau bagaimana layanan yang diberi kepadanya.
Melur ketawa dan mengekori langkah ibunya. Tidak puas hati, Mawar mengejar ibu hingga ke ruang tamu.
"Kenapalah kau tak mati aje dulu Mawar?! Senang sikit hidup aku. Tak payah aku nak fikir macam mana nak jaga kau!" Puan Medina kembali bersuara.
Mawar terkedu. Kata-kata Puan Medina membuatkan dia kematian diksi. Apa yang merasuk dalam fikiran wanita itu sehingga sanggup melontarkan kata-kata itu?
"Aku sangkakan bila kau ada masalah jantung, aku akan hidup senang-lenang lepas kau mati. Rupanya kau hidup lagi," tambah Puan Medina lagi. Kali ini nada suaranya seakan dibalut dengan rasa kecewa.
Terhenti dunia Mawar seketika. Hatinya remuk bagai dihempas ke lantai. Hancur berderai. Dia sangkakan setelah lima tahun tidak munculkan diri, ibu akan menerima dirinya semula dengan hati terbuka. Ibu akan melayani dia dengan penuh kasih sepertimana dia melayan Melur.
Tapi, harapannya hancur. Puan Medina tetap sama seperti dulu. Mawar tetap dipandang dengan penuh kebencian.
"Apa salah Mawar pada ibu?"
Hujung bibir Puan Medina ternaik.
"Salah ke kalau Mawar menagih kasih sayang daripada ibu?" soal Mawar lagi.
Puan Medina mendecit.
"Kau nak kasih sayang aku? Kau nak aku sayang kau?" soal Puan Medina sinis.
Mawar angguk laju.
"Kahwin dengan pilihan aku."
"Kahwin? No way!" bentak Mawar sekerasnya. Gila. Ini memang keputusan yang gila.
"Jadi jangan sesekali berharap aku akan sayangkan kau kalau benda mudah pun kau tak mampu lakukan."
Melur sedari tadi diam mula hambur tawa mengejek.
"Kahwin ajelah Mawar. Bukannya ibu suruh kau bunuh diri. Kahwin tu kan satu ibadah." Ayat terakhir sengaja ditekan dengan nada mengejek.
"Kau ni memang anak tak mengenang budi. Bakal suami kau bukan orang sembarangan, tau. Dahlah anak orang kaya, handsome, muda-muda lagi dah ada gelaran Dato', apa lagi yang kau nak?"
"Tapi Mawar tak kenal dia! Tiba-tiba nak suruh Mawar kahwin. Kenapa ibu tak kahwinkan Melur aje?"
"Sebab aku nak kau yang kahwin, bukan Melur! Sekurang-kurangnya hidup kau akan senang. Tak menyusahkan orang lagi."
Mawar pejam mata seketika memikirkan permintaan ibu tirinya. Dia tahu rancangan ini merupakan salah satu agenda Puan Medina untuk kepentingan dirinya sendiri. Berkahwin dengan anak orang berada akan memberi kemewahan dan kekayaan kepada ibu. Tanpa pengetahuan Mawar, ini juga merupakan peluang untuk menyelamatkan syarikat kecil keluarganya yang mengalami masalah kewangan.
"Mawar sudah ada pilihan sendiri." Secara tak sengaja ayat itu terpacul dari mulut Mawar.
Terjegil mata Puan Medina. Jawapan yang diberikan oleh Mawar membuatkan darah amarahnya mencanak naik.
"Jadi kau nak kata yang kau dah ada jantan lainlah ni? Kau tak nak kahwin dengan pilihan aku sebab kau dah buat benda tak elok dengan jantan tu kan?!"
Serentak itu tubuh Mawar ditolak dengan kuat sehingga Mawar hilang keseimbangan badan. Kepalanya terhantuk di bucu meja kopi sebelum terjelepok di atas lantai. Mawar mengerang kesakitan. Darah meleleh dari dahinya yang terluka.
Anggerik yang bersandar di badan kereta tersentak ketika mendengar jeritan Mawar. Tanpa menunggu lagi, dia berlari masuk ke dalam rumah. Segera ditolak tubuh Puan Medina jauh daripada Mawar.
"Ya Allah! Mawar... kenapa sampai kepala kau berdarah ni?" Anggerik segera membantu Mawar untuk bangkit. Badan Mawar dipapah.
"Lagi bagus kalau kau tak balik sini, Mawar! Memalukan keluarga aje!" teriak Puan Medina lantang.
Tidak mengendahkan Puan Medina, Anggerik menarik badan Mawar ke arah pintu rumah. Tapi gadis itu mengeraskan badannya. Dia berkeras untuk tidak meninggalkan rumah ini. Sebaliknya, Mawar menarik Anggerik ke biliknya.
"Sakit, An." Suara Mawar sayup kedengaran. Perlahan-lahan mata itu ditutup rapat. Membiarkan sisa air mata itu mewakili perasaan yang bermaharajalela di hatinya saat ini.
Anggerik mengambil tisu di dalam beg tangannya dan ditekap atas luka di dahi Mawar. Dia merenung sisi wajah suram Mawar sekilas. Mengingatkan kejadian tadi membuatkan dada Anggerik berombak ganas menahan amarah. Mata Anggerik ketika ini seakan memancar api kemarahan.
Dan yang membuatkan dia semakin berang bila dia melihat Melur hanya menjadi penonton saja. Langsung tiada belas kasihan terhadap adiknya.
"Aku harap suatu hari nanti kau dipertemukan dengan seseorang yang boleh sayang dan jaga kau dengan baik, Mawar. Aku harap rancangan aku dan Jasmine kali ini berjaya," ujar Anggerik perlahan.
"Sikit lagi rasa sakit kau akan hilang, Mawar."
Anggerik berharap agar hasrat arwah Jasmine tercapai. Mawar berhak menerima orang yang boleh berikan dia kebahagiaan. Mawar layak terima keluarga yang boleh dianggap sebagai 'rumah' baginya.
Share this novel