Series
221
MAWAR dan Anggerik mengambil tempat di sisi pusara. Usai membaca Surah Yasin, naskah suci itu ditutup dan dikucup. Mawar mengusap batu nisan yang tertera nama kawan baik mereka.
Laura Jasmine.
"Assalamualaikum Jasmine, aku datang ni. Aku datang jenguk kau ni." Suara lembut Mawar menggeletar menutur kata. Kelopak matanya kelihatan layu melihat kawannya 'lena' di bawah sana.
Air Yasin dicapai lalu disiram di atas pusara sahabatnya. Serentak itu beberapa titik mutiara jernih menuruni lembut membasahi pipi mulusnya. Fikirannya menerawang jauh mengenangkan memorinya bersama Jasmine. Dadanya sebak.
Jag yang telah kosong diletakkan di sisi Mawar. Mawar menyelongkar tote bag miliknya. Dikeluarkan satu plastik putih lutsinar daripada begnya. Bunga jasmine yang masih segar.
"Jasmine, aku ada bawa bunga favourite kau ni. Kau mesti suka bunga ni, kan? Nak-nak bunga yang masih segar. Aku hadiahkan bunga ni untuk kau sebagai tanda minta maaf sebab aku lambat tunaikan janji kita."
Anggerik yang berada di sisi Mawar hanya diam memerhati sahabatnya. Anak matanya meliar memerhati sekitar pusara Jasmine. Bersih dan kemas. Seakan pusara itu telah dibersihkan oleh seseorang. Jika benar, mulia sungguh hati orang itu. Baru dia tersedar akan sesuatu.
"Siapa yang tukar kain kat batu nisan ni?" soal Anggerik hairan.
Mawar angkat bahu.
"Entah. Mungkin ada keluarga dia yang tukarkan," jawab Mawar. Tangannya sibuk membersihkan daun kering yang jatuh di atas pusara Jasmine.
Anggerik hanya angguk perlahan.
Tangan Mawar masih setia mengusap batu nisan yang tertera nama sahabat baiknya. Usai saja bacaan doa, masing-masing mengemas barang-barang sebelum mereka angkat punggung beredar dari situ.
"Err... An, kau tunggu aku kat kereta dulu eh?"
"Eh, kau nak pergi mana pula?"
"Aku nak pergi tandas kejap."
"Oh, jangan lambat sangat pula. Aku risau duduk sini lama-lama."
"Tak payah nak risau. Bukannya ada hantu. Hantu pun takut tengok muka kau yang macam hantu Jepun kena tampar tu. Dan kalau ada pun kaulah hantunya," seloroh Mawar sebelum dia melarikan diri dari dihempuk Anggerik.
Anggerik menghantar tubuh genit Mawar dengan jelingan mata. Suka hati je cakap dia ni hantu. Ingat dia ni tak cantik ke?
Tanpa kata, tubuh dibolos ke dalam perut kereta. Serentak itu dihempas kuat pintu kereta bagai nak tercabut. Merajuk! Tunggu dalam kereta lagi bagus.
Mawar mengatur langkah laju menuju ke tandas wanita yang disediakan di kawasan perkuburan itu. Sebaik tiba di muka pintu tandas, tombol pintu dipulas. Namun, pintu tidak terbuka. Rosak ke?
"Kenapa pintu tak boleh buka ni? Rosak ke?" Dahi Mawar berkerut.
Mawar melekapkan telinganya di pintu. Kedengaran seperti bunyi air. Mungkin tandas wanita sedang dibersihkan.
"Aduh! Masa macam nilah nak basuh tandas. Aku dah tak tahan ni!"
Kepala Mawar ditoleh ke kiri dan kanan. Retina matanya tertancap pada satu tempat.
Tandas lelaki.
Agaknya kalau dia berlari ke sana dan lepaskan hajat secepat mungkin aci tak? Nak patah balik ke kereta memang tidaklah. Sudahlah sampai hujung. Mana sempat nak tahan. Silap-silap kereta Anggerik tu jadi tandas pula.
"Ah, lantaklah. Aku cuma nak lepaskan hajat je. Bukannya nak skodeng lelaki."
Langkah kaki Mawar diorak pantas menuju ke pintu tandas lelaki. Tanpa memandang sekeliling, laju dia memasuki salah sebuah tandas lelaki di ruang itu.
Usai itu Mawar keluar dari tandas untuk membasuh tangan. Namun pergerakan Mawar terhenti serta-merta tatkala seorang figura tinggi lampai menjadi fokus pandangannya sebaik daun pintu dibuka. Mata Mawar membulat.
"Aarrggghhh! Tolong! Ada perogol!" tempik Mawar. Tangannya laju memukul dada bidang jejaka itu dengan totebag miliknya. Tak cukup dengan itu dibaling tisu tandas ke muka jejaka itu.
Zakhwan yang kaget melihat pemandangan di depan matanya langsung tidak bersedia menerima pukulan daripada Mawar.
"Sepatutnya aku yang jerit macam tu, bukannya kau!" ujar Zakhwan sambil kedua tangannya melindungi dirinya daripada dipukul oleh Mawar.
"Mana ada perempuan rogol lelaki!"
"Yang kau masuk tandas lelaki ni dah kenapa? Bukan namanya cubaan merogol ke tu?"
Mawar terdiam. Pukulannya turut terhenti. Ya, ada benar kata lelaki itu. Sepatutnya lelaki itu yang jerit bukannya dia. Sebab ini tandas lelaki.
"Ta-tandas perempuan berkuncilah. Mu-mungkin dia orang tengah cuci kut. Sa-saya tak tahan sebab tu saya masuk sini," jelas Mawar sedikit kekok. Sengihan kerang busuk dilempar selepas itu. Kepala yang tidak gatal digaru.
"Kalau awal-awal kau cakap macam ni kan boleh. Ini tidak. Masuk-masuk je kena baling dengan tisu tandas. Terperanjat aku. Ingatkan hantu manalah yang terlepas dari kubur," balas Zakhwan selamba. Mahu luruh jantungnya lihat seorang perempuan tiba-tiba ada dalam tandas lelaki. Ingatkan dia yang salah baca papan tanda tadi.
Mawar menolak matanya ke atas. Suka hati saja cakap anak orang hantu. Langkah diatur meninggalkan Zakhwan.
"Kejap!"
Langkah Mawar terhenti sebelum dia menoleh ke belakang. Dijongket sebelah keningnya setelah itu.
"Kau ni betul ke manusia? Bukan hantu?" soal Zakhwan dalam nada datar.
Mawar mendengus. Dia kembali mendekati Zakhwan.
"Muka saya yang cantik ni nampak macam hantu ke?" Dituding jari ke wajahnya. Kecil besar saja dia tengok hantu galah di depan ni. Muka lawa macam Mawar ni pun dicop hantukah?
"Yang cantik tulah aku risau. Buatnya hantu yang betul, aku nak buat apa?"
Mawar pula masih berdiri pegun di depan Zakhwan. Anak mata hitam Mawar meneliti segenap figura jejaka tinggi lampai di depannya. Langsung tiada tanda untuk alihkan pandangannya dari wajah Zakhwan.
Hensemnya mamat ni haih!
Eh, astaghfirullahalazim....
"Kau ni nak jadi tiang bendera sampai malam ke?" Suara Zakhwan memecah keheningan suasana antara mereka.
Tersentak Mawar seketika. Hilang lamunannya tadi. Dia mengatur langkah laju meninggalkan Zakhwan.
Have we met before? Kenapa wajah itu seakan wajah yang sangat dekat dalam hati? Mawar bermonolog dalam hatinya.
Zakhwan hanya menghantar pemergian tubuh gadis itu dengan pandangan pelik.
"Perempuan tak betul agaknya."
____________________________________
PADA MALAM ini akan diadakan majlis aqiqah dan kenduri kesyukuran atas kelahiran cahaya mata Zayne dan Adriana yang kelima, Zade Arzen. Majlis diadakan di rumah Tengku Zayyan atas permintaan Zayne dan Adriana.
Usai bacaan doa, para tetamu bergerak ke luar rumah untuk mengambil makanan yang disediakan di khemah yang terletak di laman rumah Tengku Zayyan.
Zayne melihat Zakhwan sedang berdiri di laman rumah dengan tangannya disilangkan pada dada. Zayne menghampiri Zakhwan lalu dia menepuk lembut bahu adiknya.
Tersentak Zakhwan seketika dek terkejut.
"Kau fikir apa?" soal Zayne.
Laju gelengan Zakhwan. Tubuh tegap abangnya di sebalik baju Melayu berwarna mint green serona dengan Adriana menghiasi ruang kornea matanya. Jarang lihat Zayne memakai pakaian berwarna cerah. Selama ini abangnya sentiasa mengenakan pakaian serba hitam.
Pandangannya kembali berkalih pada Adriana yang sibuk menguruskan anak-anaknya di meja makan. Senyum tipis terlorek di bibir Zakhwan selepas itu.
"Kau rasa sempat ke aku nak rasa semua ni?" soal Zakhwan tanpa memandang wajah abangnya.
"Maksud kau?"
Zakhwan jongket bahu.
"Aku teringin nak ada keluarga kecil macam kau. Tapi entahlah. Aku tak bersedia nak hadap rintangan sebelum bina keluarga tu."
"Kau bukannya tak bersedia. Tapi kau masih tak move on dengan hal lepas. Macam mana kau nak mulakan kisah hidup yang baru kalau kau masih baca, renung, pegang dan hayati kisah lama yang sudah pahit."
Zakhwan memanggung pandangannya pada Zayne.
"Aku sayangkan dia, Zayne. Tak ada sesiapa yang boleh gantikan tempat dia. Dia buat aku jatuh cinta sedalam dalamnya. Dan aku tak pernah bayangkan betapa dalamnya rasa sakit tu bila aku kehilangan dia," luah Zakhwan jujur dari dalam hatinya.
"Tapi dia dah tinggalkan kau pun," balas Zayne.
Zakhwan kematian ayat.
"Kau tak nak cari pengganti? Girlfriend baru ke?" Decitan halus terlepas dari bibir Zakhwan. Kepala digeleng perlahan selepas itu.
"Aku tak berminat."
"At least bukalah hati kau untuk orang lain hadir dalam hidup kau. Bercinta atau tak belakang cerita. Bagi peluang pada hati kau untuk kenal orang baru. Hadir tak semestinya kena terima. Kalau kau rasa orang tu tak sesuai untuk kau, cari orang lain. Kau berhak terima orang baru, Zakh."
Zakhwan menarik nafas berat. Dia sendiri tak faham dengan perasaannya ketika ini. Dia mahukan peneman. Pada masa yang sama, dia takut pisang berbuah dua kali. Dia masih tidak bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan. Lebih-lebih lagi kalau ianya berkaitan dengan kehilangan.
"Tengoklah macam mana. Buat masa ni memang aku tak berminat nak jalinkan sebarang hubungan."
"Carilah satu buat isteri. Tengok macam aku dengan Riana. Dah ada anak. Ada tempat nak bermanja juga. Ada teman untuk kongsi masalah." Tiada niat mahu buat Zakhwan cemburu. Cuma Zayne mahu adiknya mula berfikir tentang masa depannya bersama peneman hidup. Dia tidaklah memaksa. Tapi adiknya itu bukannya muda lagi. Lagi beberapa tahun nak masuk 30-an.
Sudah dua tahun kisah silam itu menghantui hidup adiknya. Jadi wajarlah dia sebagai abang menasihatkan Zakhwan untuk cari belahan jiwa yang boleh bantu adiknya keluar dari kisah silamnya. Mana tahu adiknya boleh kembali kepada Zakhwan yang ceria seperti dulu.
Zakhwan menghela nafas panjang. Kehidupannya yang sekarang pun sudah mampat. Tiada masa untuk bercinta. Dengan kertas kerja yang menimbun saban hari. Mesyuarat di serata negeri. Belum kira lagi jika berurusan dengan klien yang pelbagai ragam. Cara kerja tak memuaskan, tapi mahu hasil yang lumayan.
"Aku tak sedia lagi nak fikir kahwin buat masa ni. Lagipun hidup aku yang sedia ada ni pun dah serabut dengan kertas kerja," akui Zakhwan.
"Takkan sepanjang kau kerja ni tiada seorang pun yang berkenan di hati? Tak ada seorang pun yang tepati ciri ciri wanita idaman kau?"
Zakhwan jongket bahu.
"Kalau setakat berkepit dengan aku 24 jam, cemburu tak kira masa, tergilakan harta aku yang tak seberapa, berlambak dekat office aku tu setiap hari."
Jeda.
"Aku nak cari perempuan yang hidup sederhana je. Aku nak seseorang yang aku rasa dia memang tercipta untuk aku. Yang boleh bawa aku keluar dari kisah silam aku."
Zayne menguntum senyuman segaris.
"Kira okeylah tu. At least kau ada ciri-ciri perempuan pilihan kau sendiri. Cuma aku nak nasihatkan kau kalau nak cari perempuan, jangan cari yang ketinggian macam Riana."
Zakhwan hambur ketawa kecil.
"Tadi aku pergi kubur dia sebelum aku ke mari."
Bibir Zakhwan ukir senyum. Senyum yang kentara berperisa pahit.
"Masa nak balik tu aku terserempak dengan seorang perempuan ni."
Zakhwan tidak segera meneruskan kata. Dia memandang wajah Zayne sekilas sebelum pandangannya dilemparkan pada laman rumah agam mereka yang sudah semakin lengang dek tetamu yang hadir sudah beransur pulang.
"Perempuan tu... mengingatkan aku pada dia," sambung Zakhwan.
Zayne bungkam.
Follow my instagram too! (ieyqaroses_)
Share this novel