Series
221
ANAK MATA kelabu Zakhwan menilik segenap wajah gadis di depannya. Pelbagai soalan berlegar-legar di ruang fikirannya saat ini. Badan disandarkan pada penyandar kerusinya. Pen di celah jarinya diketuk perlahan pada permukaan meja.
"Kenapa dengan dahi kau?"
"Err..." Mawar meramas jemarinya sendiri.
"Kau kena buli ke?" tebak Zakhwan. Kedua-dua tangannya naik menongkat dagu. Dahinya berkerut. Wajahnya tampak risau melihat keadaan Mawar. Ada apa-apa yang berlaku di luar pengetahuannya ke?
Laju gelengan kepala Mawar. Menafikan sangkaan Zakhwan.
"Tak ada apa-apalah. Saya jatuh katil semalam. Sebab tu dapat luka ni," balas Mawar acuh tak acuh.
Zakhwan pandang pelik. Jatuh katil sampai luka di kepala.
Mahu bertanya lebih, dia ni bukanlah seorang yang suka jaga tepi kain orang. Tapi apa yang pasti ialah Zakhwan tahu Mawar menipu. Lihat dari anak mata Mawar saja sudah tahu bahawa gadis itu menipu.
"Macam mana kerja kat sini? Okey?" soalnya lembut. Entah mengapa dia hanya berlembut dengan Mawar saja. Dengan pekerja lain bukan main dingin nadanya melontarkan kata.
Mawar angguk laju.
"Okey! Selagi awak ada dekat dengan saya, saya okey je." Laju saja Mawar menjawab sambil melemparkan sengihan kerang busuk.
Zakhwan hambur ketawa kecil. Comel aje gadis di depannya ini. Tadi bukan main takut mukanya. Wajahnya seperti orang yang kantoi curang saja. Sekarang ni tiba-tiba teruja semacam.
"Kau ni dah kena pukul pun masih tak hilang lagi perangai selamba kau, kan?"
"Saya tak kena pukullah! Kan saya dah kata saya jatuh katil!" tekan Mawar. Diberi jelingan tajam pada Zakhwan.
Hujung bibir Zakhwan ternaik.
"Kau ingat aku ni adik kau ke? Ingat aku ni tak boleh bezakan luka jatuh katil dengan luka kena pukul?" Zakhwan jongket sebelah keningnya.
Mawar membatu. Lidahnya kelu. Mulut mahu menjawab tapi seakan digam di celah bibirnya. Zakhwan tahu ke yang dia dipukul oleh ibunya? Tapi macam mana? Tolonglah jangan. Ini bukan masa yang sesuai.
Zakhwan yang sedari tadi merenung Mawar berdecit, kepala digeleng perlahan. Mesti Mawar hairan macam mana dia boleh tahu pasal lebam tu.
Zakhwan mengeluarkan satu kotak bersaiz sederhana dan diletakkan di atas meja.
"Nah." Satu kotak kecil berisi ubat ointment disua pada Mawar.
"Itu ada ointment untuk kau. Kalau kau perlukan bantuan untuk sapu ubat, minta tolong dengan Kak Husna."
Lambat-lambat Mawar mengambil kotak di atas meja kerja Zakhwan. Hairan juga bila tahu Zakhwan simpan stok ubat dalam pejabatnya.
"Aku selalu jatuh kat site, sebab tu aku simpan lebihan ubat tu dalam pejabat," jawab Zakhwan bila melihat wajah tertanya-tanya Mawar.
Mawar angguk beberapa kali tanda mengerti sebelum dia mengambil kotak ubat itu dan berlalu keluar dari pejabat Zakhwan.
Zakhwan menghantar tubuh genit Mawar dengan pandangan kosong. Anak matanya kembali jatuh pada kertas kerja di atas meja. Tak lama kemudian fikirannya menerawang memikirkan hal Mawar tadi.
"Apa yang terjadi pada kau sebenarnya? Kenapa hati aku membuak-buak nak tahu punca kau dapat luka tu? Kenapa aku tak senang duduk bila tengok dia sakit?" soal Zakhwan perlahan. Lebih kepada menyoal dirinya sendiri.
Melihat luka di wajah Mawar membuatkan hati Zakhwan ditusuk belati. Hatinya sakit melihat Mawar terluka. Ah, kenapa hati ini tidak henti-henti dirodok dengan perasaan risau yang menebal?
Share this novel