Series
221
MAWAR keluar dari kedai runcit dengan membawa beberapa barang basah yang dibelinya tadi. Melihat keadaan hujan yang sangat lebat, membuatkan Mawar memilih untuk berteduh di depan kedai runcit.
"Alamak, hujan pula! Payung pula lupa nak bawa! Macam mana aku nak balik ni?" Kepala yang tak gatal digaru. Buntu.
20 minit berlalu, hujan masih lebat membasahi bumi. Langsung tiada tanda-tanda untuk berhenti. Satu keluhan dilepaskan. Rasa kesal pula tidak bawa payung. Tidak pasal-pasal dia kena bertapa di sini.
"Kalau aku redah hujan sampai hujung pondok sana basah tak?" Anak mata Mawar tertancap pada satu pondok usang yang berada di hujung deretan rumah kedai.
Otaknya berfikir sejenak. Mawar teragak-agak untuk mulakan langkahnya meredah hujan. Perlahan-lahan kakinya menjejak ke jalan meredah hujan. Langkah kakinya dilajukan selepas itu.
"Eh?" Mawar pelik. Rasanya dia sedang meredah hujan sekarang ini. Namun, satu titik air hujan pun tidak menyentuh tubuhnya.
Hujan dah berhenti ke? Kenapa dia tidak basah?
Dia angkat kepalanya. Bulat mata Mawar melihat pemandangannya sekarang ini.
Zakhwan Adzhar!
Zakhwan sedang mengiringinya sambil meletakkan blazer hitam miliknya di atas kepala Mawar. Melindungi Mawar daripada basah lencun.
"Jalan cepat sikit! Hujan lebat ni!" ujar Zakhwan separa kuat melawan bunyi dentuman guruh sambil sebelah tangannya meraup wajah yang sudah lencun dengan air hujan.
Mawar meneruskan langkahnya menuju ke sebuah pondok. Zakhwan turut mengikuti langkahnya dari sisi.
Tiba saja di pondok, Zakhwan mengalihkan blazer dari menutupi kepala Mawar. Blazer dilipat lalu disangkutkan pada lengannya. Zakhwan menyebak kasar rambutnya yang sudah basah. Baju kemejanya juga telah lencun akibat mandi hujan tadi.
Mawar memerhati Zakhwan dari atas sampai bawah. Kemeja Zakhwan yang sudah basah kuyup itu menyebabkan kain bajunya melekap pada badan. Nampak jelas badannya yang tegap itu.
Mawar terpaku. Liur ditelan terasa kelat. Dia pula rasa segan melihat pemandangan di depannya ini. Segera dia mengalihkan pandangannya ke tempat lain.
"Dah tahu sekarang ni musim hujan, kenapa tak bawa payung?" Zakhwan membetulkan rambutnya yang sedikit serabai.
"Manalah saya tahu nak hujan. Hujankan Allah yang turunkan, bukannya saya," balas Mawar bersahaja.
"Ni kau nak pergi mana? Balik ke?"
"Haah balik."
"Jomlah. Aku hantar kau balik. Dah nak malam ni. Tak elok perempuan jalan waktu-waktu ni."
Mawar menjatuhkan kepalanya sekali.
"Rumah kau kat mana?" soal Zakhwan.
Mawar menuding jarinya ke arah selekoh kiri kedai runcit. Zakhwan turut menoleh ke arah yang ditujukan.
"Tak pasal-pasal kita kena redah hujan lagi," rungut Zakhwan separuh reda.
"Okeylah tu boleh feeling ala-ala Hindustan dengan Zakh lagi."
Zakhwan menolak matanya ke atas.
"Kau ni telan apalah sampai bateri miang kau tu tak pernah habis," gumam Zakhwan perlahan.
Mawar tersengih sehingga menampakkan barisan gigi putih. Niatnya sekadar bergurau.
"Kau tunggu sini. Aku nak ambil kereta. Kereta aku tak jauh. Tunggu sini! Jangan pergi mana-mana," tekan Zakhwan. Matanya sengaja dikecilkan sambil membuat isyarat tangan 'I'm watching you'.
Mawar angguk laju bagai burung belatuk.
"Baiklah. Patik menurut perintah."
Zakhwan menggeleng perlahan sebelum dia berlalu meninggalkan Mawar. Selang beberapa minit, Zakhwan kembali memandu keretanya ke pondok Mawar.
Zakhwan keluar dari kereta lalu mendekati Mawar dengan payung di tangannya bagi melindungi gadis itu dari terkena air hujan. Dibuka pintu bahagian penumpang untuk Mawar sebelum dia bergerak semula ke tempat pemandu. Akhirnya kereta Zakhwan bergerak menuju ke rumah Mawar.
____________________________________
KERETA BERHENTI betul-betul di depan rumah keluarga Mawar. Rumah teres dua tingkat di depannya dipandang sekilas.
"Eh, Zakh tak payah keluarlah. Cukuplah hantar sampai sini," larang Mawar dengan wajah yang cemas tatkala melihat Zakhwan berura-ura untuk keluar dari kereta.
"Kenapa pula? Biarlah aku hantarkan kau sampai masuk ke dalam rumah dengan selamat."
"Zakh hantar saya sampai sini pun dah okey. Tak payahlah hantar saya sampai pintu rumah. Terima kasih hantarkan saya. Zakh baliklah." Seboleh-bolehnya Mawar memujuk Zakhwan untuk tidak menghantarnya sehingga ke pintu rumah.
Zakhwan hembus nafas seketika.
"Budak, sekarang ni dah malam. Gelap. Kau tu perempuan. Biar aku hantar kau sampai depan pintu rumah." Pintu dibuka selepas seatbelt ditanggalkan.
Mawar meneguk liurnya berkali-kali. Dia bukan takut pada perilaku Zakhwan. Tapi dia lebih takut dengan apa yang bakal dia hadapi sebentar lagi. Dan dia tidak mahu Zakhwan fikir bukan-bukan tentang keluarganya.
Tanpa menunggu balasan Mawar, Zakhwan keluar dari kereta sebelum menuju ke bahagian penumpang. Dibuka pintu untuk Mawar. Lekas Mawar keluar dari kereta sebelum langkah dibawa laju menuju ke rumahnya.
Pang!
Tak semena-mena pipi Mawar ditampar kuat sebaik tiba di muka pintu rumah. Terpejam mata Mawar kerana menerima tamparan kuat itu. Berpijar pipi rasanya.
Zakhwan yang berada di situ turut pamer riak kaget. Wajah bengis seorang wanita menghias ruang pandangannya. Mungkin wanita itu ibu kepada Mawar. Tangan wanita itu terketar-ketar menahan amarah.
"Kau pergi mana hah?! Aku suruh kau beli barang kat kedai, bukannya suruh kau menggatal dengan jantan!" Suara Puan Medina naik seoktaf.
"Err... mak cik, saya rasa mak cik dah salah sangka ni. Saya seb..." Zakhwan cuba meredakan suasana tegang.
"Kau diam! Ada aku suruh kau menjawab?" cantas Puan Medina. Anak matanya berkalih semula pada wajah Mawar.
"Kau memang tak pernah berubah, Mawar. Sejak kau balik, maruah kau pun sudah hilang agaknya," bidas Puan Medina semahunya. Langsung tidak menghiraukan kewujudan Zakhwan.
"Mawar keluar beli barang, ibu. Mawar lupa nak bawa payung. Zakh tolong hantarkan Mawar sebab hujan." Mawar berasa segan kerana Zakhwan melihat dia ditampar oleh ibunya buat pertama kali namun disembunyikan juga perasaannya ketika ini.
Hujung bibir Puan Medina ternaik. Dipandang wajah tampan Zakhwan sekilas.
"Aku tak percaya. Memang kau dah rancang nak keluar dengan dia."
"Ibu, stop cari kesalahan Mawar! Mawar bukannya macam tu! Mawar tak sama dengan kakak!" Secara tak sengaja nada Mawar juga naik seoktaf.
Puan Medina ketap bibir. Baru saja Puan Medina mengangkat tangannya ke udara, segera Zakhwan menarik tubuh Mawar ke belakang badannya. Zakhwan menghalangnya dengan menggenggam kemas pergelangan tangan wanita tua itu.
"Kau ni siapa? Lepaskan akulah!" Puan Medina cuba meleraikan pegangan Zakhwan namun kudrat lelaki itu jauh lebih kuat daripadanya.
Anak mata Zakhwan tajam menikam segenap wajah Puan Medina. Genggaman dikemaskan. Urat-urat hijau mula timbul di sekitar lehernya. Wajah Zakhwan turut berubah tegang.
"Kalau mak cik masih anggap Mawar ni anak mak cik, perlakukan dia seperti anak bukannya hamba abdi. Dia pun manusia, bukannya punching bag," ujar Zakhwan dengan nada dingin.
"Kau ni siapa pula? Buah hati Mawar ke?"
"Nope. Saya kawan sekerja Mawar."
Puan Medina mencarik senyum sinis
"Boleh percaya ke yang kau ni kawan Mawar? Ke kau sugar daddy Mawar?" duga Puan Medina dengan nada sarkastik. Tangannya direntap kasar sehingga terlepas dari pegangan Zakhwan.
Zakhwan tidak menjawab. Ditahan gelora hatinya agar tidak sampai melontarkan jawapan balas yang boleh keruhkan keadaan. Dia cuba untuk bersabar. Tanpa kata, Zakhwan mengorak langkah kaki meninggalkan Mawar dan Puan Medina.
Hatinya mula diserbu rasa ingin tahu dengan kehidupan Mawar. Kenapa Mawar diperlakukan begitu? Gadis yang disangka ceria di tempat kerja menyimpan 1001 luka dalam dirinya. Tak cukup fizikal didera, mental juga didera.
Zakhwan memboloskan dirinya ke dalam perut kereta sebelum kereta dipandu laju keluar dari pekarangan rumah Mawar.
"Kenapa kau tak beritahu aku yang ibu kau dera kau selama ni?"
Stereng kereta digenggam kemas. Persoalan yang bermain di layar fikirannya mengenai punca luka di wajah Mawar telah terjawab. Sepanjang dia berada di dalam kereta, otaknya serabut. Terlalu banyak persoalan mencerobohi dinding fikirannya.
Entah mengapa hatinya bertambah sakit bila dia melihat bagaimana Puan Medina menyakiti anaknya sendiri.
'Kau tak suka dia, tapi kenapa kau nak lindungi dia? Kenapa kau sakit setiap kali tengok Mawar terluka?' soalnya dalam hati.
Satu keluhan kecil dilepaskan.
Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Apa yang pasti, dia mahu Mawar selamat. Dia mahu lindungi Mawar daripada didera oleh keluarganya.
Follow my instagram too! (ieyqaroses_)
Share this novel