BAB 4

Romantic Comedy Series 221

BANGUNAN YANG gah di depan matanya dipandang sekilas. Wajah Mawar terpinga-pinga melihat sekeliling bangunan itu. Ini syarikat ke pejabat menteri-menteri? Sana sini ada security!

Semuanya serba-serbi hitam. Dari warna cat bangunan sehinggalah ke pakaian pekerja-pekerja di sini. Semuanya hitam. Macam hari berkabung. Gayanya seperti masuk bangunan kumpulan Mafia saja.

Kepalanya yang tidak gatal digaru. Agak-agak kalau dia tarik diri daripada semua ni sempat tak? Nak larikan diri tapi dah terlambat pula. Uncle Grab tu pun sudah hilang ke mana.

"Can I help you, miss?"

Laju badan Mawar berpusing ke belakang melihat punca suara itu. Entah di mana silapnya, tumit kasut Mawar terpijak belakang kain baju kurungnya sehingga dia hampir terjatuh ke belakang. Mata Mawar terpejam seketika.

Namun lain pula jadinya tatkala Mawar merasakan badannya seakan disentuh sesuatu membuatkan dia tidak jatuh mengucup jalan. Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka.

Gulp!

Wajah tampan jejaka itu menghiasi ruang pandangan Mawar. Tangan kekar itu yang menyambut tubuh genit Mawar dari terjatuh. Segera Mawar berdiri semula sebelum dikibas baju kurungnya yang sedikit renyuk dengan tapak tangannya. Mawar berdeham beberapa kali.

"Are you okay, miss?" soal Zakhwan lagi.

"O-Okey."

Zakhwan diam memerhati Mawar. Rambutnya yang sedikit serabai disebak ke belakang.

Kening Mawar hampir bertaut bila melihat lelaki di depannya ini beriak biasa seakan tidak berlaku apa-apa.

"Tunggu! Awak tak kenal saya ke?"

"Huh?" Dahi Zakhwan berkerut.

"Awak tak kenal saya?" ulang Mawar.

Zakhwan memandang Mawar dari atas ke bawah. Otaknya mula memproses wajah gadis di depannya ini. Anak mata kelabunya meneliti segenap wajah jelita Mawar.

Beberapa minit kemudian, jarinya dipetik. Ya, dia baru ingat gadis di depannya ini.

"Oh ya. Kau hantu yang ceroboh tandas lelaki kat kubur tempoh hari, kan?"

"Excuse me? Mana ada hantu secantik ni okey."

Zakhwan mendecit.

"Hantu zaman sekarang pun dah pandai pakai alat solek tau."

Mawar menolak matanya ke atas.

"Kau ada hal ke kat sini?"

Mawar menjatuhkan kepalanya sekali.

"Come."

Zakhwan mengatur langkah masuk ke bangunan syarikat.

"Wah, awak mesti pekerja lama, kan? Sebab itulah pekerja dekat sini tegur awak masa awak masuk tadi."

Zakhwan membisu.

Mawar membuntuti langkah Zakhwan. Tiba saja di depan lif, Zakhwan menekan butang anak panah ke atas. Mereka masuk ke dalam lif sebaik pintu dibuka.

"Kau cari siapa?" soal Zakhwan sekadar mahu hilangkan suasana yang canggung antara mereka.

"Saya cari bos syarikat ni."

"Untuk apa?"

"Saya nak minta kerja."

"Kenapa minta kat sini?"

"Kawan saya, An yang suruh. Dia kata kat sini ada kerja kosong bahagian akaun."

"Ant?" Zakhwan kerut kening. Sejak bila Mawar berkawan dengan binatang pula ni?

"Anggerik."

Zakhwan terpempan. Nama itu mengingatkan dia pada seseorang. Nama sahabat kepada orang yang sangat bermakna dalam hidupnya. Laura Jasmine.

Zakhwan geleng kepalanya. Mahu menghalau segala persoalan yang berlegar di ruang fikirannya. Ah, mungkin itu kebetulan saja. Bukan kawan Laura seorang saja yang bernama Anggerik dalam dunia ni.

Zakhwan dan Mawar keluar dari lif sebelum menuju ke satu bilik yang terletak di hujung tingkat itu.

Mawar mengamati aksara yang tercatat pada plat besi berwarna hitam yang tergantung di depan muka pintu itu. Penolong pengurus.

"Kenapa kita pergi sini?" soal Mawar.

"Kau kata kau nak jumpa bos, kan?"

Laju anggukan Mawar.

"Kau tunggu sini kejap. Aku jumpa bos."

Sekali lagi Mawar mengangguk. Kekura tangan Zakhwan naik mengetuk pintu bilik itu.

Mawar hanya berdiri tegak saja di luar bilik pejabat. Tak berani ikut jejak Zakhwan yang main redah masuk ke dalam bilik majikan.

Berani mati sungguh Zakhwan ni. Main redah saja.

Mawar mengambil keputusan untuk menunggu kelibat Zakhwan muncul semula.

Selang beberapa minit, Zakhwan muncul semula dengan membawa satu kotak berisi fail. Kotak itu disuakan pada Mawar. Mawar pamer wajah bingung selepas itu.

"Apa ni?"

"Meja kau kat situ. Depan bilik bos." Bibir Zakhwan dijuihkan ke arah yang dimaksudkan. Mawar turut menoleh ke arah yang sama.

Mereka mendekati meja tersebut. Walaupun meja itu jarang digunakan namun masih bersih dan teratur. Satu habuk pun tiada. Cuma ada bekas alat tulis, mesin faks, telefon PBX dan beberapa barang yang lain di rak sebelah meja itu. Zakhwan meletakkan kotak fail di atas meja.

"Kerja kau sekarang ni semak semula kunci kira kira dan penyata cukai. Kalau kau mahir, buat terus laporan ramalan keuntungan syarikat. Yang mana dokumen tak sah, kau asingkan. Yang mana perlukan tandatangan bos, kau kumpulkan dekat satu tempat. Jangan sampai ada kesilapan. Kau tahukan satu digit kosong pun mampu menjejaskan keuntungan sesebuah syarikat? Kalau ada apa-apa yang tak faham, kau boleh refer Kak Husna, selaku PA bos atau kau boleh direct tanya aku je." Dengan lancar Zakhwan melontar arahan kepada Mawar.

"Eh? Macam mana awak tahu saya mahir akaun?" soal Mawar hairan.

Zakhwan mengangkat sebelah keningnya.

"Bukan kau ke yang kata tadi nak mohon kerja bahagian akaun? So, kerja akauntan lah kan?"

Mawar tersengih-sengih seketika.

"Buat semua ni lepas tu hantar dekat orang atasan kau. Dia nak petang ni juga," tambah Zakhwan lagi.

"Maknanya saya dapat kerja ni?" soal Mawar dengan riak teruja. Tangannya ditepuk beberapa kali seperti anak kecil. Wajahnya tak lekang dek senyuman.

Tanpa disedari Zakhwan turut membalas dengan senyum tipis. Namun segera dikawal semula riak wajahnya. Zakhwan berdeham seketika.

"Ya... nanti dah siap hantar terus pada aku."

"Eh, bukan awak suruh hantar ni pada bos ke? Kenapa saya kena hantar pada awak pula?"

"Aku memang bukan bos tapi kau sekarang dah jadi orang bawahan aku. Aku di sini bekerja sebagai pembantu pengurus. Buat masa ni papa aku kurang sihat," balas Zakhwan bersahaja sebelum dia beredar masuk ke pejabatnya.

Terkebil-kebil Mawar dibuatnya. Tidak hairanlah jika semua pekerja di sini menunduk hormat pada Zakhwan sewaktu mereka masuk ke dalam bangunan tadi. Tapi Mawar pula yang lambat tangkap. Tambah pula pekerja di sini hanya memanggil Zakhwan dengan nama pertama lelaki itu saja.

Boleh sakit jantung Mawar dibuatnya. Patutlah Anggerik beria-ia menyuruh dia bekerja di sini. Mentang mentanglah ada kerja kosong di syarikat ini.

Mawar mengambil tempat di meja kerjanya. Dikeluarkan beberapa helai wet tissues daripada handbagnya sebelum dilap meja kerjanya. Kemudian, dia menarik kotak yang berisi fail itu mendekatinya. Diteliti setiap fail yang tersusun dalam kotak itu.

Jemarinya ralit mencatat kesalahan yang didapati di setiap penyata kewangan. Kemudian dia membetulkan semula angka yang tidak tepat menyebabkan akaun itu tidak seimbang. Seperti yang disuruh oleh majikannya.

Beberapa jam berlalu, akhirnya siap juga kerjanya. Fail disusun semula lalu dimasukkan ke dalam kotak fail. Langkah diatur menghampiri bilik kerja Zakhwan.

Tok! Tok!

"Come in."

Daun pintu dikuak separa luas dari luar. Tubuh genit Mawar melepasi pintu dan dibiarkan pintu itu terbuka luas. Meja Zakhwan didekati. Diletakkan kotak yang berisi fail di atas meja Zakhwan.

"Bos, ni fail yang bos minta saya susun tu. Ada beberapa dokumen yang bos perlu sign. Saya dah letakkan di depan supaya senang untuk bos ambil," jelas Mawar.

Zakhwan menarik kotak berisi fail mendekatinya.

"Good. Tak sia-sia aku ambil kau kerja bawah aku," kata Zakhwan sambil matanya menilik dokumen yang sudah siap disemak oleh Mawar.

Mawar tersenyum bangga seraya mengibas hujung shawlnya ke belakang. Bangga bila dipuji.

"Kau duduklah sini dulu. Mana tahu kut-kut ada silap, aku boleh inform kau terus. Tak payah aku susah susah panggil kau."

Mawar akur. Dia melabuhkan duduk sambil kedua duanya naik menongkat dagu. Wajah Zakhwan di depannya ditenung lama dengan penuh minat. Kenapa ya dia rasa seperti lelaki ini dekat dengannya? Dia dapat rasakan figura Zakhwan seolah-olah pernah hadir dalam hatinya. Tapi dia langsung tidak kenal Zakhwan. Wajah lelaki itu sangat sempurna di matanya.

"Kau nak apa ni?" soal Zakhwan tatkala tersedar dirinya diperhatikan sedari tadi.

Mawar membisu. Matanya masih setia memandang wajah Zakhwan tidak lepas.

Belakang tubuh Zakhwan disandarkan pada badan kerusi hatchback hitam miliknya. Sebelah tangan memusing-musingkan ball pen di celah jarinya. Dipatahkan lehernya ke kiri dan ke kanan. Regangan ringan turut dilakukan.

Mawar tersentak dari lamunannya. Dia baru tersedar yang dia terlalu ralit melihat wajah lelaki itu.

"Err... boleh saya tanya sesuatu?"

Sebelah kening Zakhwan diangkat sebagai respons.

"Kita pernah berjumpa ke sebelum ni? Sebab saya rasa wajah bos ni terlalu dekat di hati saya. Tapi saya langsung tak kenal bos." Anak mata hitam Mawar menilik segenap wajah Zakhwan. Otaknya cuba menggali memori lama yang terkubur di fikirannya.

Hujung bibir Zakhwan ternaik.

"Ini salah satu teknik mengurat ke?"

"Kenapa? Bos ingat saya nak mengurat bos ke?"

Zakhwan pamer wajah toya.

"Aku nampak kau macam suka aku?"

"Setakat suka tu, semua orang boleh cakap benda sama. Pak guard dekat luar tu pun boleh je cakap suka bos. Saya tak cakap pun yang saya suka bos," nafi Mawar.

Mengecil mata lelaki itu.

"Bos ni merenglah," balas Mawar selamba.

"Aku rasa kau dah boleh stop panggil aku bos. Just call me Zakh."

Huh! Jadi bos tapi tak nak dipanggil bos. Nak panggil sayang ke macam mana ni?

Tak lama kemudian masing-masing membisu. Hanya bunyi jemari Zakhwan yang sedang menaip laporan belanjawan di papan kekunci menjadi bunyi latar suasana.

Manakala Mawar pula sedang menyusun penyata kewangan di atas meja. Senang untuk Zakhwan cari nanti.

Zakhwan masih tekun meneliti laporan di MacBooknya. Dahinya berkerut tatkala tiba-tiba dia merasakan mejanya bergetar hebat. Macam nak runtuh meja ni pun ada juga. Dia mengangkat kepalanya.

"Kau ni tak boleh padam kertas elok-elok ke?" soal Zakhwan apabila matanya menangkap tingkah Mawar yang sedang memadam kuat sehingga mengakibatkan mejanya turut bergegar.

Mawar diam. Tangannya masih ralit memadam kesalahan yang tercatat pada buku notanya. Dengan selambanya Mawar meniup habuk pemadam itu sehingga mengenai Zakhwan.

Zakhwan terkebil-kebil. Nasib baik mulutnya tertutup. Kalau tidak sudah selamat habuk pemadam tu masuk ke dalam mulutnya. Orang lain makan nasi untuk tengah hari tapi dia makan habuk pemadam.

"Zakh tak buat kerja ke?" soal Mawar tanpa memandang wajah Zakhwan.

"Kau rasa kenapa aku tak buat kerja?" giat Zakhwan bersahaja.

Mawar jongket bahu. "Manalah saya tahu."

Zakhwan balas dengan jelingan helang. Dia kembali menyambung kerjanya yang tergendala tadi.

"Zakhwan in the bus go round and round, round and round, round and round, Zakhwan in the bus go round and round, all day long..."

Inilah salah satu tabiat spontan Mawar bila dia sudah bosan buat sesuatu kerja. Dia akan menyanyi lagu dengan lirik yang ditukar ikut suka hati dia saja.

Untuk kali kedua, Zakhwan terkebil-kebil. Budak ni dah tiada kerja lainkah?

Zakhwan geleng kepala. Dia tahu Mawar hanya menyanyi lagu itu secara spontan. Memang si Mawar ni sejenis manusia yang selamba agaknya. Melihat kerenah spontan Mawar membuatkan hatinya sedikit tercuit. Tak lama kemudian tawa kecil terletus dari bibir Zakhwan.

Namun tawa itu mati serta merta bila Mawar memanggung pandangan padanya. Zakhwan geleng selepas itu.

Zakhwan hanya biarkan saja perbuatan Mawar. Kadang terhibur juga lihat kerenah Mawar. Sekurang kurangnya gadis itu mampu membuat fikirannya yang serabut menjadi tenang buat seketika.

"Awak boleh keluar sekarang."

Mawar akur. Dia bangun dan melangkah ke arah pintu. Belum sempat dia keluar, dia pandang ke arah lelaki itu.

"Zakh!" panggil Mawar.

Anak mata mereka bersabung buat seketika.

"Awak nampak handsome hari ni," puji Mawar tiba tiba.

Zakhwan terkedu. Dia tidak jangka tindakan Mawar itu. Jantungnya berdegup laju tatkala melihat pandangan Mawar terhadapnya. Anak mata itu... cantik!

"Pergi sambung kerja kau Mawar sebelum aku humban kau dari tingkat 21 ni," ugut Zakhwan.

Mawar tersengih lebar sehingga menampakkan sebaris gigi putihnya yang elok tersusun. Langkah kaki disusun meninggalkan bilik kerja Zakhwan.

Dan sekali lagi Zakhwan terpana dengan senyuman itu. Senyuman yang tampak ikhlas untuknya. Senyuman yang sangat sempurna untuknya. Senyuman yang dia cari selama ini.

Hilang saja bayangan Mawar dari pandangan, dia kembali menyambung kerjanya yang tergendala tadi.

Sedang otaknya fokus melakar, tawa kecil terletus di bibir Zakhwan. Entah mengapa dia agak terhibur dengan keletah Mawar tadi. Dia yakin Mawar ini seorang yang istimewa. Sikap Mawar yang ceria dan lemah lembut mampu membuat orang sekeliling selesa dengannya. Walhal baru seharian Mawar bekerja di bawahnya.

Tanpa dia sedar, bibirnya melorek senyum manis. Senyuman manis yang tulus dari hatinya. Inilah kali pertama Zakhwan senyum selebar ini demi seorang gadis yang dia tidak kenali. Semua orang tahu Zakhwan ini seorang yang susah untuk senyum. Jika ada pun hanya senyum sinis.

Mawar membuatkan Zakhwan teringatkan seseorang. Seseorang yang sudah lama tinggalkan dia.

Laura...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience