MASA berlalu. Walid Zahra akhirnya tiba ke lokasi. Wajah tuanya sarat dengan kekecewaan, janggutnya kusut dan matanya sembab dengan keletihan. Dia tidak menjerit, tidak mencaci dan tidak juga menampar Zahra seperti isterinya. Pandangannya membuatkan semua orang di sana terdiam hormat. Dia hanya berdiri di sana dan menatap anak perempuannya dengan tatapan hiba seolah-olah anaknya yang pernah dibelai dengan kasih sayang dan diajarkan ilmu agama itu sudah pun hilang.
Akhirnya dia membuka mulut. Tenang, namun sarat dengan emosi.
“Zahra telah membawa aib pada keluarga kita,” suaranya kedengaran rendah. Tapi setiap patah perkataan yang diujarkan menghiris dalam kesunyian. “Berapa banyak lidah orang kampung yang akan bercakap pasal ni? Berapa banyak mata yang akan memandang kita dengan tatapan jijik?” Suara masih direndahkan. Namun riak kecewa jelas terukir di wajah.
"Fatimah... pergi ke mana, nak? Jauh sangat pergi ni..." sambungnya. Sebak.
Mendengar kesayuan dan kehampaan dalam suara walid, tangisan Zahra bertambah kuat. Walid tidak marah, tapi entah mengapa itu lebih menyakitkan dari tamparan yang diberikan oleh umminya.
Dia menggigit bibir apabila dipanggil 'Fatimah.' Nama kesayangan yang hanya walid sering panggil dirinya dengan nama itu sejak kecil lagi. Kepalanya tertunduk malu hingga ke dagu. Sebak. Dia tidak berani mengangkat kepala untuk memandang wajah kecewa walid. Tubuhnya menggigil tanpa henti. Ditekup tangan ke mulut sambil dia menangkap esakan. Ummi Zahra yang berdiri di sebelah sedikit tersentak apabila mendengar nada getaran dalam suara suaminya. Sepanjang perkahwinan mereka, lelaki itu tidak pernah terlihat sedih begitu.
Wajah tegasnya berubah sayu. Pandangannya tidak sesekali marah, tapi sedih seolah-olah dia gagal mendidik anak perempuannya.
"Fatimah tahu kenapa walid berikan nama Fatimah Az-Zahra?" tanya dia. Suara tangisan Zahra pecah lagi. Namun kali ini bukan sekadar Zahra, ummi pun turut menangis secara senyap. Amirul yang berada di antara mereka mengetapkan rahang apabila mendengar getaran dalam suara walid.
"Walid pilih nama itu sempena nama anak kesayangan Nabi Muhammad saw sendiri. Walid sentiasa mendoakan supaya dengan nama itu Fatimah menjadi anak yang mulia dan terhormat seperti saidatina Fatimah Az-Zahra." Jantung Zahra tertusuk. Dia memejamkan mata. Pedih. Sesal.
Hatinya ditoreh berkali-kali.
"Walid... Fatimah minta ampun..." Zahra teresak perlahan. Kepalanya semakin tertunduk rapat sehingga ke dagu.
Lalu pandangan walid beralih pada Dean. Pandangannya tegas dan bibir tuanya terbuka dengan teragak-agak. Berat tapi akhirnya dikulum kepahitan yang membelenggu lidah dengan perasaan redha. “Kalau betul apa yang lelaki ini cakapkan tadi tentang rela bertanggungjawab... Mungkin satu-satunya cara untuk menutup aib ini… ialah dengan bernikah."
Jeda.
Suasana tegang di sana tiba-tiba berubah. Ada yang terdiam, ada yang terpana dan ada yang kelihatan terperanjat besar. Mata ummi tercengang luas. Wajahnya bertukar pucat dan penuh dengan tanda tanya. Ahli keluarga Zahra di sana, termasuk Amirul juga saling berpandangan. Masing-masing jelas terkejut dan tidak sangka perkataan 'nikah' itu akan terkeluar dari mulut walid. Mimik tergamam terpampang di wajah.
Manakala Zahra terpana tanpa suara. Kerongkongnya seolah tertikam duri. Dia tidak mampu menjawab. Bebola matanya tercengang luas seolah kata-kata itu membuatkan nafasnya terhenti seketika.
“Walid..." bisiknya separuh menjerit. Mata serentak menoleh kepada ummi. “Tapi... Tunggu... Jangan! Zahra tak mahu...”
Namun walid lantas memotong. “Ini satu-satunya jalan untuk menutup aib. Lelaki ni sendiri mahu bertanggungjawab. Fatimah pun sudah tidak suci lagi. Lebih baik bernikah dengan orang yang telah merosakkan kamu daripada semua nak menanggung dosa.”
"Abang... Abang sedar tak apa abang cakapkan ni? Dia tu... Orang asing, bang! Dia bukan Islam!" teriak ummi. Air mukanya sudah cemas sambil dia cuba meruntun lengan suaminya.
Dean mengenggam penumbuk sambil mendengar di satu sudut. Dia hanya memandang dari kejauhan wayang percuma yang berlaku di hadapan mata. Harga dirinya retak seribu. 'Orang asing.' 'Perosak.' 'Tidak layak.' 'Iblis.' Semua kata-kata itu dilemparkan seolah-olah dia tidak mempunyai sebarang perasaan. Mereka menghambur hina dan mengherdiknya dengan pelbagai kata-kata kesat seakan itu sahaja pandangan mereka terhadapnya.
Dia bangkit perlahan dari kerusi. Suaranya tenang, namun sarat dengan perasaan.
"I may be Catholic, sir. But don’t call me unworthy. Don’t call me devil. I'm a human being just like you. If her honor is what you want... I’ll take responsibility. I’ll change," ujarnya tulus. Mata mengerling ke arah walid dan ahli keluarga Zahra yang lain. Semua orang yang berada di sana terpempan.
Seluruh ruang membeku.
Tiada reaksi. Hanya masing-masing yang sedang terpaku tanpa suara.
Air muka ummi serta-merta jatuh. Riak kerisauan, kemarahan dan kebencian mulai bercampur aduk. Dia tidak percaya apa yang baru sahaja didengarinya. Dean? Berkahwin dengan Zahra selepas apa yang sudah berlaku? Oh, tidak mungkin. Lelaki asing itu akan menghancurkan anak perempuannya lagi. Ibu mana yang sanggup membiarkan anaknya bernikah dengan perosak anaknya yang entah datang dari mana?
Manakala wajah walid yang sentiasa tegas itu akhirnya retak. Sinar terkejut jelas terpampang di matanya. Ahli keluarga yang lain sendiri terhenti, terngadah mereka apabila mendengar kata-kata tulus itu.
"Kamu serius?" tanya walid.
Zahra serentak mengangkat muka. Matanya berkalih pada Dean. Bibir mungilnya bergetar pilu dan nafasnya tersekat-sekat. Dia membuka mulut tapi tiada apa yang terkeluar. "Dean…” bisiknya. Air mata mengalir deras. Melihat pada kesungguhan dan kedegilan yang ada pada wajah lelaki tampan itu, dia tahu. Dean sedang serius.
“I'm serious. I love your daughter, sir. If it means she won’t suffer this shame,” ujar Dean. Rahang diketap. Dadanya naik turun dengan gejolak emosi, “then I’ll change my religion... I’ll become what she needs me to be.”
Zahra terkedu.
Semua orang di sana tergamam tanpa suara. Kesunyian yang menyusul di dalam bilik itu terasa berat dan sesak sehingga membuatkan tiada sesiapa pun berani untuk berkata.
Bibir tua walid terkatup rapat. Terperangkap di antara perasaan kecewa dan redha. Belum sempat dia membuka mulut, ummi terus menggeleng keras. Mukanya berkerut menahan kemarahan dan kebencian terhadap kata-kata berani Dean. Dia terus mencantas. “Tak, tak… ini tak boleh…” gelengnya berkali-kali. Nada suaranya terdesak plus panik.
Dan Zahra... dia hanya berdiri kaku di sana. Wajah kosong tanpa reaksi seolah-olah jiwanya berterbangan entah ke mana. Perasaan remuk menerpa diri. Hatinya terbelah bahagi di antara dua dunia.
Kerana baginya, ini bukan lagi tentang cinta. Ini dosa dan aib yang tidak mampu lagi dia sembunyi. Ummi bertegas menggelengkan kepala. Tidak bersetuju. Manakala ahli keluarga yang lain saling berpandangan. Masing-masing tidak senang duduk.
Suara walid akhirnya kembali memecahkan kesunyian.
"Kalau betul lelaki ini tulus dengan kata-katanya, maka pernikahanlah yang lebih baik dilakukan. Pernikahan patut dibuat untuk menutup aib ini... Biar mereka berdua di kahwinkan dahulu. Itu lebih afdhal bagi menutup aib dan dosa yang mereka lakukan.”
Ummi terpekik kecil. Tangannya pantas menekup mulut. Mimik panik di muka tidak dapat dibendung. Dia kelihatan amat terkejut dan marah. “Tapi dia... dia bukan dari kalangan kita! Dia nak masuk Islam? Ya Allah, abang sedar tak apa yang abang cakapkan ni? Dia tak kenal agama kita... Dia tak tahu ajaran kita dan dia tak kenal siapa Allah... Takkan abang nak bagi kafir ni yang bimbing anak abang?! Ni anak saya, bang!” Teriakan ummi meninggi seoktaf. Nada suaranya ditekan dengan penuh perasaan.
"Fatimah pun anak saya juga." Walid mengalihkan muka untuk memandang ummi. Keningnya berkerut, menandakan dia marah. Suaranya bergetar dalam ketegasan seorang bapa. “Lebih baik dia menikah dengan lelaki yang dah merosakkannya daripada dia hidup menanggung dosa dan malu. Kamu tak kasihan lelaki yang kahwin dengannya nanti? Anak awak tu dah rosak, Maryam!" Katanya. Kasar. Hatinya pedih dengan kebenaran.
"Abang!"
Beberapa orang yang berada di sana hanya mampu memandang sesama sendiri apabila mengesan suasana menjadi semakin tegang. Dean mengangkat wajah. Pandangan matanya teguh. Namun sebelum keputusan di bibirnya sempat dimeterai, suara walid akhirnya pecah.
"Kamu betul-betul sanggup masuk Islam?"
"Ya Allah, abang..." Ummi menangis teresak. Dadanya diusap sambil beberapa kali dia beristighfar. Dia faham tindakan suaminya. Benar, bernikah lebih baik. Namun Dean seorang Katolik. Dalam isu ini, Zahra saja yang bakal dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana dia beragama Islam dan berbangsa Melayu. Manakala Dean, sebagai warganegara luar dan beragama Katolik dapat terlepas dari sebarang hukuman biarpun namanya direkodkan dalam undang-undang awam. Mengikut keadaan ini, hanya Zahra dapat mendapat malu. Tapi entah mengapa... menurut naluri keibuannya, dia tidak dapat menerima Dean sebagai menantunya selapas apa yang telah berlaku.
"Tak ada sesiapa yang mahu bertanyakan pendapat saya?" Suara itu berbunyi patah. Zahra berbisik perlahan.
"Tak ada sesiapa pun perasan yang saya masih di sini?" Kerongkong perit. Dia berbisik. Sayu. Namun bisikannya terdengar seperti jeritan paling terdalam dari relung hatinya.
Semua terkesima.
Air matanya berderaian jatuh menuruni pipi. Zahra memandang wajah walid, ummi dan kemudian wajah tampan Dean. Tubuhnya menggigil dan lututnya lemah seolah-olah bila-bila masa sahaja dia boleh rebah ke lantai. Digelengkan kepala sambil air mata bercucuran laju membasahi pipi. “Saya tak mahu... Saya tak mahu kahwin... Saya tak mahu tutup aib ni... Saya tak mahu!” Jeritnya secara tiba-tiba. Suaranya bergema bagaikan halilintar yang memenuhi ruang.
Tersentak.
Ummi tergamam, dia cuba meraih dan memegang bahu Zahra yang tiba-tiba menjerit.
Namun wanita muda berwajah sedih itu mengundur setapak. Hatinya sudah pun remuk sedalam-dalamnya. Bibir mungil bergetar pilu dan kepalanya digeleng kuat.
Suara esakannya sampai ke telinga.
“Zahra hanya mahukan keampunan! Itu saja yang Zahra minta. Zahra berdosa... Zahra jatuh berkali-kali. Zahra biarkan diri dinoda. Dan tiada akad, tiada kertas... tiada lelaki yang mampu menyucikan semua itu kembali walaupun dari Dean sendiri. Zahra dah kotor!” teriaknya lagi. Emosi yang ditahan semenjak pagi tadi akhirnya terbungkam.
Dean terkelu.
Hatinya dicengkam kepedihan. Dia sudah rela dan bersedia untuk melepaskan maruahnya, agamanya serta keseluruhan hidupnya semata-mata untuk menjaga aib Zahra. Namun jeritan pilu wanita itu membunuh dirinya lebih dalam daripada mana-mana racun.
Dia rasa ditolak. Harga dirinya tercalar.
Walid berpaling muka. Wajahnya menahan rasa malu dan sadis. Manakala ummi menangis lagi apabila melihat Zahra yang terjerit separa histeria. Dean mengetap bibir. Pucuk hidung hangat.
Kakinya berdiri kaku di atas lantai seperti lelaki yang baru sahaja dihumbankan ke pinggiran lautan. Beku. Tanpa sedikit pun pergerakan.
Pandangan mata dinginnya berubah lembut apabila melihat Zahra yang tiba-tiba menjadi longlai. Bibir yang diketap terbuka kecil seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, kemudian ditutupnya kembali. Tiada apa yang terkeluar. Tangan digenggam kuat. Perasaan di hatinya bercampur aduk. Dia mahu melangkah ke hadapan namun hanya mampu melihat dari jauh. Zahra terkulai lembik. Kaki melorot ke bawah. Tubuhnya ditangkap oleh beberapa tangan. "Allahuakbar Zahra..."
Share this novel