PINTU bilik diterjah secara meluru selepas dibukakan oleh Dean. Zahra tersentak. Cahaya lampu suluh menembusi kegelapan kamar hotel, mengoyakkan segala sisa malam yang masih berbekas pada tubuh dan jiwa mereka. Suara-suara lantang bergema dalam bahasa yang kasar.
"Kami dari pihak JAKIM datang untuk pemeriksaan! Sila berikan kerjasama.”
Beberapa orang berpakaian seragam hitam berderap masuk. Pada lencana di dada mereka, nama itu tertera jelas. JAKIM.
"Astagfirullahalazim..." Pandangan tajam menikam dan jijik dilemparkan ke arah dua orang manusia itu.
Zahra tergamam. Tubuhnya masih terketar-ketar apabila diterjah. Helaian selimut ditarik erat menutupi kulit yang masih berbekas dengan cengkaman dosa. Rasa malu semakin menggamit dada. Nafasnya tercungap dengan rasa gabra dan penyesalan.
“Dean, cover yourself!” teriaknya sambil memeluk tubuh. Suara tangisannya pecah. Air mata mengalir laju menuruni pipi.
Namun segalanya sudah terlambat.
Dean berdiri kaku. Wajah tampannya yang pucat itu masih dalam separuh kebingungan. Bajunya belum sempat dikemaskan. Butang terbuka dan dada bidangnya terdedah. Dia tidak mengerti tatapan jijik dan kata-kata asing yang dilemparkan di sekelilingnya. Tapi dia faham ada sesuatu yang sedang berlaku apabila matanya melihat reaksi malu yang terpampang jelas di wajah Zahra.
Langkahnya spontan, sebagai insting seorang lelaki yang selama ini terbiasa melindungi wanita. Dia bergerak terlebih dahulu dengan berdiri tegap di hadapan Zahra dan menutup tubuhnya daripada pandangan mata orang. Tangannya diangkat sedikit dan suara garaunya keluar dalam situasi cemas itu.
“Don’t touch her.” Dia merenung mereka dengan pandangan berhati-hati sambil cuba menenangkan Zahra. Namun belum sempat Zahra bernafas...
Seorang wanita pertengahan umur menerobos masuk. Berjubah biru tua longgar dan tudung labuh paras lutut. Wajahnya kusut, tudungnya senget dan mata celaknya bengkak kerana menangis.
Dan tangan itu serta-merta naik ke wajah anak perempuannya tanpa ragu.
PANG!
Bunyi tamparan bergema di dalam bilik hotel. Lebih nyaring daripada segala bunyi di sana sehinggakan pegawai-pengawai Jakim di sana turut terkesima.
Zahra menangkap nafas. Terkejut.
"Kau..." Bibir tua itu bergetar sambil dia cuba menggagahkan diri untuk berdiri. Tangannya menggigil dengan pelbagai emosi yang berkecamuk. Masih terasa bahang tapak tangannya selepas menampar si anak tadi.
"Sanggup kau buat ummi macam ni, Fatimah Az-Zahra? Aku hantar kau belajar pandai-pandai di luar negara! Aku jaga kau elok-elok, bagi kau didikan agama... ini yang kau balas ummi dan walid?! Ini yang kau buat di belakang kami? Kau palit aib di muka walid and ummi..." ujarnya. Tangan menggigil tanpa henti.
Zahra tercengang tanpa suara.
Umminya menarik nafas yang kencang dengan perasaan amarah. "Sanggup kau berzina dengan dia? Dengan lelaki kafir ni?!” Suaranya meneriak kuat. Air mata bergelinangan jatuh. Dicampuri dengan emosi marah, kecewa dan sedih. Ibarat doa yang terpatah separuh di langit.
Zahra memegang pipinya yang terasa sakit selepas ditampar. Air matanya meleleh deras menuruni dagu. Esakan tangisannya mendayu-dayu.
“Ummi… Ummi, ampunkan Zahra… Zahra salah… Zahra minta ampun...” Nafas tersekat-sekat sambil dia cuba meraih tangan tua itu untuk memohon keampunan. Namun tangannya ditepis kasar sehingga membuatkan dia terdorong ke belakang.
"Ummi... Zahra minta ampun..." Dia menangkap esakan. Tubuhnya merangkul erat selimut di tubuh daripada direntap oleh tangan umminya. Seolah-olah kain itu merupakan pelindung terakhir bagi maruahnya.
"Minta ampun?! Mana kau letak akal kau? Mana pergi agama kau? Kau bohong kami cakap kau ada urusan di Kuala Lumpur! Rupanya ini kerja kau? Berzina dengan jantan? Sanggup kau serahkan tubuh kau dekat kafir ni!" Teriaknya sambil cuba merentap selimut lagi. Lagi kuat suara tangisan Zahra apabila umminya menjerit di tahap histeria. Wanita tua itu hampir hilang kawalan dan emosinya tidak dapat dilampiaskan dengan kata-kata. Hancur hati sang ibu apabila melihat anak perempuannya dalam keadaan begitu.
"Engkau! Kalau aku tahu macam ni perangai kau, aku lumat-lumatkan engkau dari kau kecil lagi, Zahra! Allahuakbar..." tangisannya pecah. Sebak di dada tidak tertahan.
"Ummi... Ummi, jangan! Zahra minta ampun!" Zahra terjerit sambil teresak. Remuk hatinya mendengar suara umminya menangis. Dia tidak melawan biarpun rambutnya direntap dan wajahnya nyaris sahaja dikeronyok.
Zahra berdesir.
Dean automatik melangkah ke hadapan untuk melindungi. Menjadi benteng di antara ummi dan Zahra yang nyaris terdampar ke bucu katil akibat dipukul. Mimik wajahnya tegang sambil tangan mengenggam penumbuk. Suara garaunya sedikit bergetar sambil dia melindungi Zahra di belakang tubuhnya.
"Don't hit her. She's already hurting. Can't you see that?" Nada amarah bercampur dengan kebingungan.
Terhenti.
Mata ummi Zahra kini beralih padanya. Cerlungan matanya tajam menikam bak pisau. "Kau! Dasar syaitan! Kau yang rosakkan dan membinasakan anak aku! Kau memang iblis durjana laknatullah! Kau dah merampas maruahnya!”
Kata-kata itu menikam dada Dean tepat ke jantung. Dia tidak faham keseluruhan ayat ummi Zahra, tapi dari mimik kebencian itu sudah menjelaskan segalanya yang dia perlu tahu... Kata yang dilontarkan sama sepersis dengan perkataan yang Zahra sendiri pernah ujarkan sebelumnya.
'Rosak.' Sebuah kata yang menggoncangkan dada Dean dan membuatkan hatinya terkilan. Perkataan itu lebih menyakitkan daripada mana-mana pukulan atau pun suara jerkahan.
Ummi Zahra cuba ditenangkan dari terus menyerang Zahra dari salah seorang pegawai wanita. Dean melihat situasi di hadapannya sambil terpaku tanpa suara. Hilang kata. Kakinya seolah dipasak kukuh ke lantai.
Tiba-tiba, bahunya ditolak kasar dan tubuhnya diseret ke tepi oleh salah seorang pegawai. "Tolong berikan kerjasama, encik." Nafasnya tertahan sambil matanya melihat ke arah Zahra yang sedang menangis di bucu katil. Wajah penuh penyesalan. Tubuhnya terkulai layu di dalam selimut. Ada pegawai JAKIM yang cuba menenangkan ummi Zahra dan ada yang berdiri di samping Zahra.
Dean terasa asing di kalangan mereka. Semua orang di sana tidak berhenti melemparkan tatapan jijik dan sinis padanya.
Dia tidak faham.
Dan dia tidak peduli untuk memahami hal itu sekarang. Ada perkara yang lebih penting untuknya peduli sekarang berbanding mencari alasan mengapa orang-orang itu memberikannya tatapan jijik dan tidak berhenti memanggilnya 'kafir.' Pandangannya tidak terlepas dari Zahra yang sedang menangis sambil cuba menutup diri dengan selimut. Sebaik sahaja Zahra jatuh melutut di atas lantai sambil memeluk kedua belah kaki umminya, mata Dean membulat tersentak. Perutnya terasa seperti ditumbuk berkali-kali.
Kerongkong perit.
Buat pertama kali dalam seumur hidup... Dean benar-benar merasa bersalah.
* * *
WANGIAN lavender di pejabat agama menusuk ke rongga hidung. Dinding dihiasi dengan bingkai kaca gambar undang-undang syariah dan beberapa potongan ayat suci Al-Quran. Semuanya tergantung kaku di sana, seolah-olah sedang menghukum dosa-dosa yang mereka lakukan selama ini.
Zahra duduk berteleku di atas kerusi. Tangannya menggigil dan matanya bengkak kerana tidak henti menangis. Jaket tebal menutupi bahu. Namun rasa bersalah yang membaluti dirinya terasa lebih berat daripada segalanya.
Suara-suara lantang dan penuh dengan kuasa veto berbunyi di seberang meja.
"Cik Fatimah Az-Zahra binti Rahman."
Dia terpanggung.
"Kamu tahu tak apa yang kamu dah buat ni? Kamu sedar tak ini zina?"
Diam.
"Kamu sedar tak kamu dah menjatuhkan nama baik keluarga, agama dan maruah diri sendiri?”
Wajahnya kembali menunduk. Rasa malu tidak dapat dibendung lagi seakan pekung di dada telah terbuka. Bibir mungilnya bergetar pilu sambil kepala mengangguk sayu. “Saya... Saya tak berniat…”
“Tak berniat?” Hentakan kasar disertai dengan bunyi tamparan keras di atas meja menyentakkan dirinya. BUK! “Kamu biarkan lelaki kafir pegang kamu. Kamu serahkan tubuh kamu berkali-kali. Kamu tahu apa hukuman Zina dalam Islam?” Lebih lantang suara autoriti itu.
Zina.
Kalimah itu menikam, menggigit ngilu dan menembusi hatinya. Zahra terkedu tanpa kata. Tangisnya pecah sekali lagi. Suaranya kedengaran lebih hancur, lebih rawan dari sebelumnya. Dia mahu menjerit. Mahu memberitahu mereka bahawa dia cuba melawan nafsu, cuba berdoa, cuba bertaubat, cuba lari dari dosa itu. Tapi... dia kalah. Namun suaranya mati ditelan duri malu yang menikam di kerongkong.
Di sudut bilik, Dean dipisahkan dengannya ke meja yang lain untuk bersesi soal siasat. Dua pegawai lelaki duduk berhadapan dan cuba menyoalnya dengan bahasa yang tunggang-langgang.
Dean mengetap bibir. Raut tampan itu berasa tidak senang duduk. Mata hitamnya berkerdip-kerdip memandang ke arah mereka. Dahi berkerut. Perasaan keliru dan marah berbaur dalam diri.
“I don't understand,” suaranya garau. Tenang tetapi tegas. “She's… my woman. I love her. Why are you punishing her now?”
Pegawai-pegawai itu bertukar pandangan. Keluhan lelah dilemparkan. Seorang pegawai menoleh dan berbisik ke sebelah dalam bahasa Melayu, “Mamat jepun ni nampaknya masih tak faham langsung. Aku dah nak habis berbuih mulut tadi terangkan kat dia. Hiss... Menyusahkan. Kau aje lah speaking kat dia,” desisnya. Rakan setugasnya menghela kecil dan mengangguk untuk mengambil alih keadaan. Dia menunduk dan mula menjelaskan secara perlahan-lahan pada Dean dengan nada yang serius. "This is sin. Against her religion. Against the law here.”
Kening Dean semakin berkerut. Genggaman tangannya diperketatkan di atas meja itu. Bunyi tangisan mencuit tangkal hati. Dia perlalan-lahan menoleh ke arah Zahra. Wanita itu seolah-olah sedang kehilangan punca. Bahunya terketar dan suara pilu tangisannya meniti ke telinga Dean.
“She’s not guilty. I wanted her. I touched her. Punish me instead." Dia mengenggam penumbuk apabila mendengar suara esakan tangisan Zahra ketika bersoal jawab dengan pengawai tadi di meja seberang. Tatapan matanya berubah dingin.
Pegawai-pegawai lelaki itu melihat dia dengan tatapan serong. "You don’t understand. Her honor is destroyed. Her family’s name is ruined. You are nothing here.”
Dean mendengus perlahan. "This is ridiculous. Nothing? But she's my woman! What kind of religion punish people for their sake of love," desisnya dalam nada bengang.
Pegawai di sebelah kanan mula rasa panas hati. Wap marah berkepul. Suaranya naik seoktaf.
“Hei, dengar sini. Kau orang luar. This is sin. Kau faham tak ni? Aku ulang lagi sekali. Ini dosa... Ini mengikut undang-undang Islam. Undang-undang kami. Dan mengikut Law kami, kau dah rosakkan dia. Jangan nak pandai-pandai kritik agama orang.”
Pegawai di sebelah kiri pula menambah dengan herdikan. Wajahnya penuh jijik. “Lagi satu, ini maruah bangsa dia. Dia tu adalah perempuan Melayu beragama Islam. Kau tu orang luar, takkan faham. Kami di sini ada undang-undang.”
"What the hell are you two even talking about?" Dean menguatkan sedikit suara. Rahang diketap geram. Dia rasa dipinggirkan apabila pegawai-pegawai itu sengaja terus mengherdiknya dalam bahasa Melayu seakan-akan tidak mempedulikan kelemahannya. Jenuh dia menangkap semula satu persatu perkataan untuk memproses dan memahami kata-kata mereka.
Dia menoleh, melihat Zahra yang masih menangis.
“If guilty… Then I am guilty. I touched her. I wanted her. Punish me. Not her.”
Ketawa sinis terlepas dari bibir salah seorang pegawai itu dengan reaksi Dean. “Kau tak tahu apa-apa langsung pasal agama kami. Dia yang musnahkan diri dia sendiri. Kau cuma orang luar asing... Tapi dia yang menanggung aib ini selamanya.”
Dean mengetapkan rahang. "This is ridiculous."
Akhirnya teriakan wanita itu pecah kerana sudah tidak tahan lagi apabila diasak dengan soalan bertubi-tubi. Dia menamparkan kedua-dua belah tangannya di atas permukaan meja, mulutnya terjerit, “Cukup! Tolong hentikan! Please, just stop!” Suara nyaringnya berderai di antara perasaan malu dan sesal yang ditanggung.
Dia mengerling ke arah pegawai-pegawai yang berwajah sinis itu, kemudian pada Dean yang kelihatan tegang wajahnya. “Awak semua tak nampak ke? Dia tak faham! Dia tak faham apa yang awak cakapkan sebab dia bukan Islam dan dia bukannya orang Melayu! Ini semua salah saya! Saya tak bagitau dia apa-apa!"
Kata-katanya membungkamkan seluruh bilik. Hanya esakan tangisannya yang kedengaran nyaring. Semua orang di sana tidak memberikan reaksi tapi masing-masing tersenyap. Hati Dean bagaikan diperah ketika menatap dirinya. Pilu. Sengsara. Wanita Melayu yang pernah menyerahkan tubuh kepadanya, kini tenggelam dalam duka.
Bilik itu sunyi.
Hanya suara tangisnya yang memenuhi ruang.
Dean memandangnya lama. Melihat wajah cantik yang dia sendiri bantu rosakkan. Wanita itu telah melanggar hukum agama terhadap dirinya semata-mata di atas dasar apa? Cinta. Wajah Zahra ditatap secara kasihan plus protektif. Baginya, ini langsung tidak adil bagaimana kini wanita itu terpaksa menanggung akibat kerana pilihannya sendiri.
Agama apa yang menghukum manusia hanya atas dasar cinta? Bukankah agama sepatutnya dipenuhi dengan kasih sayang dan cinta? Berdosa sangat, kah hubungan mereka?
Itu menurutnya.
Share this novel