************
Malam ini Aini menghampar toto di ruang tamu dan mengajak rakan-rakannya tidur di ruang tamu sambil surah Al-Baqarah terus dialunkan tanpa henti. Mereka tidur dalam keadaan yang bersedia dengan apa saja kemungkinan. Masing-masing sudah berjanji untuk bersatu hati menghadapi apa saja halangan yang mendatang malam ini. Suasana malam yang sejuk selepas hujan reda membuatkan masing-masing mengigil kerana kesejukan. Selimut pula tidak mencukupi dan terpaksa dikongsi.
Pukul 10.00 malam, Aini terasa nak ke bilik air. Bilik mandi di luar rumah, begitu juga tandas yang jaraknya beberapa meter di belakang rumah. Memang leceh sikit, nak keluar rumah pada waktu begini. Suasana yang dingin membuatkan Aini dan kawan-kawannya kerap terasa untuk membuang air kecil. Mereka bergilir-gilir keluar dan berteman setiap kali keluar. Yang seorang lagi mengawasi di luar bilik air. Selain takut dengan mahkluk yang tak dapat dilihat, semua jenis mahkluk pun mereka gerun. Dengan manusia yang bernama lelaki paling mereka takuti kerana mereka terdiri dari empat orang anak dara yang lemah. Keduanya, mereka takut kepala mahkluk berbisa, dan selebihnya pada mahkluk yang tak nampak dek mata. Mereka hanya mampu berdoa kepada Allah, agar melindungi mereka.
‘’Kadang-kadang aku tak fahamlah dengan makhluk bernama manusia ni, terutama manusia macam kita berempat ni. Dengan Allah yang paling berkuasa tu kita tak takut sangat. Dengan mahkluk Allah pula kita takut. Sampai nak berteman bagai. Itu baru nak pergi ke bilik air, belum nak masuk dalam kubur lagi.’’ Ruby berkata dalam nada keliru bercampur hairan. Wajahnya ditayang dengan bermacam mimik muka, macam orang sedang berfikir masalah dunia saja lagaknya.
‘’Aku pun terfikir juga, apa yang kau fikir. Tengoklah sekeliling kita, ramai orang percaya syurga dan neraka, tapi ramai juga yang engkar perintah Allah. Tapi, bila sebut pasal hantu, masing-masing kecut perut.’’ Aini menambah dan mengangguk setuju. Jangan kata orang lain, Aini pun sama juga. Kalau tak, takkan nak suruh kawan-kawannya pergi menemani dia hingga ke bilik air. Semalam, seorang diri di rumah ini, dia sanggup menahan hingga ke pagi hari. Dia bertapa di dalam telekung dari waktu Maghrib hingga Isyak sebab tak mahu keluar untuk mengambil wudhuk bila waktu Isyak masuk. Nasib baik wudhuk dia tak terbatal sepanjang dia menunggu waktu Isyak masuk.
‘’Aku lagilah tak kuat semangat. Tengok filem hantu pun aku kecut perut, inikan pula terjadi di depan mata. Dapat merasai pengalaman menyeramkan dan membuat bulu roma aku meremang tanpa sedar.’’ Hanis mencelah pula. Dia memandang wajah rakan-rakannya seorang demi seorang dan..bibirnya tak semena-mena terketar-ketar.
‘’Siapa tu?’’ jari telunjuknya dituding ke arah belakang Ruby. Semua rakan-rakannya berkalih serentak tapi tiada apa-apa pun yang menarik minat mereka. Semuanya sama saja seperti sebelum ini.
‘’Kau nampak apa?’’ Aini bertanya sambil beralih tempat duduk, bersedia untuk bertindak, melarikan diri atau sebaliknya.
‘’Tak tahu! Perasaan aku agaknya.’’ Hanis menjawab ragu-ragu. Mindanya bekerja keras. Mungkin betul hanya perasaannya saja, sebab topik yang mereka bualkan ini membuatkan dia terfikir yang bukan-bukan.
‘’Kau jangan bikin suspen Hanis!’’ Suzie memberi amaran. Terkejut betul dia dengan reaksi spontan Hanis tadi dan kini dia mengakui kata-kata Ruby dan Aini. Manusia lebih takut dengan hantu berbanding takut dengan Allah! Ya kan?
Share this novel