Bab 3

Horror & Thriller Completed 2916

****

                           Aini mula memecut laju motornya sebaik keluar dari lorong kecil dan motornya kini sedang bergerak di jalan besar menuju ke rumah sewa lamanya. Jarak rumahnya dari tempat kerja sejauh lima kilometer.

                      Walaupun jalan masuk ke rumah yang baru dilawatinya tadi begitu terpencil tapi, Aini tetap bersyukur kalau dapat tinggal di rumah itu. Sekurang-kurangnya, kalau dia membuat kerja lebih masa dan terpaksa pulang malam, takkan mengambil masa yang lama untuk pulang ke rumah.

                          Matahari kian terbenam. Aini masih di jalan raya. Selalunya dia pulang dari kerja tepat pukul 5.00 petang atau kalau tiada kerja, mereka dibenarkan pulang pada pukul 3.00 petang. Hari ini, bos besar mereka di cawangan utama syarikat datang memantau, jadi banyak kerja yang perlu dilakukan hingga terbabas masa pulangnya. Jarum jam pula, macam cepat sangat berputarnya hari ini.

                          Pommm..tayar motornya meletup. Aini mula mengelabah dan cuba mengawal motornya agar tak terbabas. Brek motor ditarik dan Aini cuba menghentikan motornya di tepi jalan, namun kudratnya tak seberapa. Ditambah pula dengan kelajuan motornya sebentar tadi menyebabkan motor Aini terbalik di tepi jalan.

                            Allahu Akhbar, Aini bertakbir di dalam hati. Dalam masa yang sama, dia cuba bangun dan mengangkat motornya. Waktu begini, kereta pula berkurangan di jalan raya. Sunyi sepi saja keadaan jalan di ketika ini. Aini melihat jam di pengelangan tangan. Lagi beberapa minit, pasti Azan Maghrib akan berkumandang.

                            Cobaan apakah ini? Aini merintih di dalam hati. Dia menyapu tapak tangannya yang sudah bercalar. Motor sudah berjaya diangkat. Aini memerhati sekeliling yang sudah mula kelam. Hatinya turut berdoa agar ada insan berhati mulia akan melalui jalan itu dan membantunya. Baru beberapa minit, kelihatan sebuah motosikal melewatinya. Hati Aini melonjak gembira, namun hanya beberapa detik saja dia mengeluh hampa. Motor itu terus bergerak laju disertai bau lumpur yang amat kuat. Aini menahan nafasnya hingga bau lumpur yang kuat itu hilang.

                      Hanya beberapa minit saja bau itu hilang, motor yang sama melewatinya lagi. Dari arah belakangnya seperti tadi. Dan, bau yang sama terus menusuk hidung. Bulu tengkuk Aini sudah mula meremang. Aini memerhatikan motor itu berlalu sambil memerhatikan nombor platnya.

                  Ya Allah, lindungilah aku, daripada gangguan makhluk-makhluk yang tidak dapat dipandang mata dan daripada kejahatan manusia. Sempat Aini berdoa di dalam hati.Hanya kepada Allah, dia serahkan dirinya kerana Allah yang lebih tahu segalanya.

                          Aini terpaksa menyorong motornya sambil mulut terkumat - kamit membaca surah-surah yang diingatinya. Dalam keadaan ini, Aini tiada pilihan. Motornya takkan ditinggalkan di tepi jalan, zaman sekarang ni bukan boleh cuai sangat. Ini saja harta yang dia ada buat masa ini.

                           Pinnnn...bingit bunyi hon yang berbunyi di belakangnya. Aini menoleh, sebuah kereta kancil sudah berhenti di sebelahnya.

                      "Kenapa ni cik?" Seorang lelaki yang memakai baju melayu, berkain pelikat dan bersongkok keluar dari kereta dan menegurnya.

                      "Tayar motor pancit." Aini menjawab dengan tenang. Cuba berlagak tenang sebenarnya kerana dia cuba menjadi seorang wanita yang nampak berani di depan lelaki yang tidak dikenalinya ini.

                       "Dah nak maghrib ni. Jom, saya tumpangkan awak. Kita solat maghrib dulu, lepas ni saya tolong awak call pomen. Tinggalkan dulu motor awak di sini." Lain yang Aini harap, lain pula yang terjadi. Niat tak mahu tinggalkan motor kesayangannya di tepi jalan, nampaknya menghadapi jalan sukar.

                         "Kenapa? Awak takut motor awak kena curi ke? Awak tahu tak? Sebulan lepas ada kemalangan di depan selekoh tu, ada orang kata, motor dia selalu berulang alik di kawasan ni waktu maghrib. Awak tak takut ke?" Soalan yang ditanya lelaki tadi mengundang curiga di hati Aini. Dia serba salah sekarang ni. Nak menunggu di jalan ni pun bahaya, nak naik kereta lelaki tak dikenali pun bahaya juga.

                            "Awak tak percaya dengan Allah? Kun Fa Ya Kun, kalau dengan izin Allah, motor awak akan dicuri, depan mata awak pun, motor awak tetap dicuri." Lelaki tadi cuba memujuk lagi sambil mengambil alih menyorong motor Aini ke tepi jalan dan menongkatkannya lalu mengunci motor itu.

                              Kunci motor diserahkan kepada Aini. Dan ketika itu motor yang berbau lumpur tadi melewati tempat mereka. Pembonceng motor menoleh. Aini mengigil dan terus berlari masuk ke dalam kereta. Mukanya sudah pucat lesi.

                                "Saya nak solat di masjid depan tu. Selepas solat, saya bawa orang untuk ambil motor awak tu. Awak tunggu saja di masjid, lepas solat nanti." Lelaki itu berkata sambil menghidupkan enjin keretanya.

                              "Encik, encik nampak tak, apa yang saya nampak tadi?" Aini bertanya dengan suara terketar-ketar. Kata-kata lelaki itu tentang motornya, langsung tidak dipedulikan.

                          "Apa yang awak nampak?" Lelaki itu bertanya semula dengan wajah hairan.

                          "Aaa..mooo..mootoorr tadi, dah tiga kali lalu dari arah yang sama. Motor yang sama, orang yang sama, dan tadi..dia berpaling..."

                           "Haa..kenapa pula? Orang tu tak ada muka ke?" Aini mengangguk laju. Orang lelaki di sebelahnya tergelak kuat.

                          "Khayalan awak saja tu. Dah azan tu. Selepas solat nanti awak tunggu saya di depan pintu pagar. Saya akan tolong awak. Masuk solat dulu, selepas berwuduk dan bersolat, hilang semua imaginasi separa sedar awak tu." Lelaki tadi berkata sambil mengulum senyum. Aini mengebam bibir. Memandangkan lelaki itu telah menolong dia dan membawa dia ke masjid ini, dilupakan dulu rasa sebal yang dirasainya.

Kereta kancil membelok masuk ke halaman masjid dan berhenti di tempat parkir. Aini turun dari kereta dan berbuat perkara yang sama, lelaki itu lakukan. Mereka mula melangkah masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat maghrib.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience