**********************
Awal pagi lagi mereka sudah keluar dari rumah dan menuju ke rumah sewa Ruby dan kawan-kawannya yang terletak di seberang pejabat mereka. Aini nekad untuk keluar dari rumah sewanya hari ini. Sebelum mereka bertolak tadi, Aini berjumpa dengan mak cik Kiah untuk membayar sewa selama dua malam dia tinggal di rumah itu, namun mak cik Kiah tak mahu menerimanya. Kata mak cik Kiah, belum cukup bulan, jadi tak perlu bayar. Penyewa sebelum ini pun, mak cik Kiah tak mengambil bayaran. Tanpa banyak soal, mak cik Kiah melepaskan Aini pergi.
‘’Agak-agaknya, semalam tu..hantu atau orang?’’ Ruby menyuarakan kemusykilannya. Aini, Hanis dan Suzie saling berpandangan. Mereka sendiri tiada jawapannya.
‘’Apa yang kau rasa?’’ Aini bertanya ragu-ragu.
‘’Mula-mulanya, aku sangka anak jiran sebelah yang cuba takutkan aku. Selepas dengar ada suara wanita ketawa, barulah aku rasa semacam. Ketika tu, aku terbayangkan wajah-wajah hodoh yang selalu aku tonton. Sebab itulah aku pecut masuk dalam rumah, sampai tak sedar kain aku dah hilang.’’ Ruby mula bercerita sambil membayangkan apa yang berlaku. Tiga orang kawannya tak semena-mena tersenyum kerana mereka juga teringat dengan peristiwa semalam. Pantas Ruby menampar paha ketiga orang rakannya.
‘’Yang kau orang ni, tersenyum, tersengeh ni, kenapa?’’ Ruby bersuara berang. Geram pula dengan respon rakan-rakannya.
‘’Assalamualaikum..’’ sedang rancak mereka bercerita, terdengar suara lelaki memberi salam. Mereka menoleh serentak ke arah suara itu. Tersentak mereka bila terpandang wajah lelaki itu. Kebetulan, ketika ini waktu rehat mereka dan mereka sedang berada di cafe sebelah pejabat. Macam mana pula lelaki ini tahu mereka ada di sini? Satu persoalan menjelma dalam minda masing-masing.
‘’Awak buat apa di sini?’’ Aini bertanya selepas salam lelaki itu dijawab perlahan. Empat pasang mata kini tertumpu ke arah lelaki yang baru menegur mereka.
‘’Kain awak, tertinggal. Emak saya suruh saya pulangkan balik, dan mak saya suruh minta maaf sebab tak cerita perkara yang sebenar sebelum awak tinggal di rumah itu. Sebenarnya, awak penyewa yang ke-20 di rumah itu. Rumah itu sebelum ini disewa oleh seorang perempuan siam yang mengamalkan ilmu hitam. Dia meninggal tiba-tiba dan sejak itu rumah itu berpenunggu. Awak orang terakhir yang hanya bertahan dua malam saja di rumah itu. Saya tak tahu macam mana nak cerita, tapi saya pernah cuba tidur semalam di rumah itu, tapi selepas sejam, saya lari keluar sebab tak mampu nak bertahan dengan gurauan penunggu rumah tu.
Maaf sekali lagi, sebab itulah mak saya tak ambil duit sewa, sebab dia tahu tak ada orang yang mampu tinggal di rumah itu. Semalam tu, saya bergurau saja, saya tak nak awak takut. Tapi, saya cakap benar tentang satu perkara, saya memang nampak ada dua orang lagi perempuan lain di dapur semalam.’’ Aman menyudahkan ayat-ayatnya dengan wajah selamba, sedangkan Hanis, Aini, Ruby dan Suzie sudah saling berpandangan dan bulu roma mereka meremang dengan tiba-tiba.
‘’Awak tak tipukan? Macam mana awak boleh cari kami sampai ke sini?’’ Ruby pula bertanya selepas melihat Aini terus membisu tanpa kata. Dia memang tak percaya dengan lelaki yang berada di depan mereka sekarang ni.
‘’Saya kerja di bengkel kereta sebelah cafe ni. Saya kenal awak semua, awak semua yang tak kenal saya. Mulai esok, kami pun akan berpindah dan..tu rumah yang baru siap belakang pejabat awak tu, rumah kami. Datanglah, kalau sudi.’’ Aman terus bercerita sambil tersenyum mesra. Aini sudah mengerutkan keningnya. Belakang pejabat mereka?
Sekali lagi empat sekawan berpandangan sesama mereka, sebelum mereka menoleh ke arah Aman. Minda masing-masing sedang berteka- teki.
‘’Awak nak main-mainkan kami ke?’’ Suzie bersuara geram. Setahu dia, di belakang pejabat mereka mana ada rumah orang.
‘’Kenapa awak cakap macam tu? Bila masa pula saya nak main-mainkan awak semua?’’ Aman masih bertanya dengan wajah selamba dan nada suara yang perlahan. Bibirnya mengulum senyum dalam diam.
‘’Belakang pejabat ni kan balai bomba, balai polis, kedai-kedai runcit dan pusat membeli belah. Bila masa pula ada rumah orang yang baru disiapkan?’’ Suzie membidas dengan suara serius dan sedikit lantang. Aman sudah tersengeh lebar.
‘’Tahu tak apa! Saya gerak dulu..assalamualaikum.’’ Aman memberi salam sebelum berlalu. Aini mengetap bibir. Ruby mengengam penumbuk. Suzie berdecit geram. Sementara Hanis pula memandang wajah ketiga-tiga orang rakannya dengan wajah blur. Yang mana satu betul ni? Mindanya sudah bertanya.
‘’Kau percaya tak dengan kata-kata lelaki tu?’’ Suzie mengajukan soalan kepada Aini.
‘’Serius, aku tak tahu yang mana satu harus aku percaya.’’ Aini menjawab dalam penuh keraguan. Kenyataan Aman yang selalu meragukan. Sekejap macam tu, sekejap macam ni, mana satu yang betul? Minda Aini pula berteka-teki sendiri.
‘’Aku rasa, lelaki tu baru keluar wad mental kot?’’ Ruby pula meneka dalam kesamaran sambil tersengih. Dan sengihannya mendapat sambutan.
‘’Jangan fikir lagi! Nanti, kita pun jadi tak betul. Sesungguhnya..Rumah Sewa Sementara yang aku duduk dua malam itu, memang benar-benar misteri/ Anggap saja macam tu, dan mak cik Kiah dan Aman tu tak wujud pun.’’ Aini mencelah dan mula bangun untuk keluar dari cafe. Mereka sempat melihat Aman yang sedang memerhatikan mereka sambil tersenyum lebar dari bengkel sebelah.
‘’Kalau Aman tu tak wujud, kenapa aku macam nampak dia saja?’’ Hanis bertanya.
‘’Anggap saja kau sedang berilusi!’’ Aini menjawab pantas. Dan..mereka terus nekad untuk melupakan setiap pengalaman ngeri itu untuk selamanya. Sebetulnya, dunia ghaib ini memang wujud dan ada mahkluk lain selain manusia yang wujud di atas muka bumi ini.
*********Tamat sudah**********
Nota : Kali pertama mencuba bakat menulis cerita seram. Agaknya langsung tak seramkan? Sebenarnya, ada di antaranya adalah kisah benar dan selebihnya adalah rekaan semata-mata. Hantu sebenarnya tak wujud, yang ada adalah Jin, tapi Jin ni ada yang Islam dan ada yang kafir. Yang kafir tu la dipanggil iblis dan syaitan. Yang Islam dipanggil Bunian. Allahu’alam.
Share this novel