Bab 9

Horror & Thriller Completed 2916

                 Aini pergi kerja seperti biasa, cuma mindanya diburu tanda tanya. Pemuda yang menolongnya pada malam tayar motornya pancit itu, manusia atau pun apa. Bila dia ditegur pagi tadi, baru beberapa saat dia menoleh dan melihat pemuda itu kembali, pemuda itu sudah ghaib, hilang entah ke mana. Walau pun sudah pagi, namun bulu roma Aini tetap meremang, bila memikirkan setiap kemungkinan.

              Waktu rehat, ketika Aini keluar makan bersama kawan-kawannya, dia bercerita tentang pengalaman pelik dan seramnya di rumah sewa yang baru semalam didudukinya. Masing-masing menunjukkan minat. Ada yang tak percaya dan menganggap semua yang Aini cerita hanya khayalan Aini semata-mata.

            ‘’Kau banyak sangat tengok filem horror agaknya tu?’’ respon daripada Ruby sahabat baik Aini. Ruby memang tak percaya dengan perkara ghaib, walaupun dia yakin benda itu wujud.

           ‘’Aku pun tak pasti sebenarnya. Kadang-kadang, aku rasa macam mimpi saja. Tapikan..kenapa bulu roma aku meremang, dan aku rasa takut semacam saja? Orang kata, kalau benda tu tak ada, mesti takkan ada kesan apa-apa pun?’’ Aini berkata dalam nada perlahan. Wajahnya macam orang kebingungan dan pastinya dia sedang keliru antara hakikat dan khayalan.

             ‘’Aku ada satu cerita, korang nak dengar tak?’’ tiba-tiba Suzie mencelah. Mendengar cerita Aini pasal rumah sewa barunya, dia pun teringat akan kenangan zaman lampaunya.

            ‘’Cerita apa?’’ Aini bertanya pantas. Dia teruja untuk tahu, kalau-kalau cerita Suzie ada persamaan dengan ceritanya.

              ‘’Cerita seram tapi kelakar..hahaha..’’ Suzie menjawab sambil ketawa diakhir hayatnya.

                ‘’Kau sindir aku ya Suzie? Kalau kau tak percaya dengan cerita aku pun, janganlah main-mainkan aku.’’ Aini terasa hati, disangkanya Suzie sengaja nak mengenakan dirinya. Dia tahu, kawan-kawannya tak percaya dengan cerita yang baru disampaikannya sebentar tadi.

               ‘’Mana ada Aini! Kau ni sensitif sangat ni, kenapa? Dengarlah dulu, cerita aku ni. Pengalaman aku masa aku form 3, masa tu aku teman kakak aku di rumah dia. Kakak aku sarat mengandung anak dia yang nombor empat rasanya.’’ Suzie menyangkal kata-kata Aini dan mula bercerita.

   Sebelas tahun yang lalu...

               Musim kemarau melanda dan air mula kering. Air paip juga turut dicatu dan air hanya ada pada malam hari, itu pun tekanan air sangat rendah. Kakak Suzie tinggal di kampung bersama suami dan keluarga mertuanya, tapi bukan tinggal serumah. Dalam kawasan mereka hanya ada empat buah rumah dan jarak rumah mereka sangat dekat di antara satu sama lain.

            Rumah kakak Suzie di tengah-tengah, di sebelah rumah kakaknya sebelah kanan adalah rumah mertuanya yang tinggal bersama kakak ipar kepada kakaknya. Di sebelah kirinya pula rumah emak saudara abang iparnya, manakala rumah yang paling hujung sekali adalah rumah sepupu kepada abang ipar Suzie.

            Ketika Suzie bermalam di rumah kakaknya kerana menemani kakaknya yang sedang sarat mengandung, suatu malam kakaknya mengerakkan Suzie untuk bangun kerana nak menahan air di luar rumah. Jam waktu itu menunjukkan pukul 3.00 pagi. Suzie mengeliat beberapa kali dan matanya, begitu payah untuk dibuka dan akhirnya, kakaknya keluar rumah seorang diri untuk menahan air yang jaraknya beberapa meter dari rumah mereka. Di depan tempat kakaknya menahan air ada jalan untuk jiran-jiran kakaknya lalu-lalang.

               Ketika kakaknya sedang ralit menahan air, pokok pisang yang ada di depannya, di tepi jalan bergoyang dengan kuatnya. Tanpa tunggu lama, kakak Suzie terus bangun dan lari sambil menjerit. Malam yang penuh misteri dan sejarah. Malam yang kelam dan menyeramkan. Suzie yang nyenyak tidur pun, terlompat bangun apabila mendengar jeritan kakaknya. Riuh rendah malam itu dan pastinya Suzie yang menjadi mangsa kemarahan abang iparnya. Harapkan pagar, pagar langsung tak boleh diharap. Asyik berdengkur saja, sampaikan amanah abang iparnya langsung tak ditunaikan.

              ‘’Benda apa yang goyang pokok pisang tu? Kakak kau nampak apa-apa tak? Mata merah menyala ke? Makhluk berbulu hitam ke, atau wanita berambut panjang?’’ Ruby bertanya laju sebelum habis Suzie bercerita. Aini dan Hanis sudah berpeluh dingin dan minda mereka sudah membayangkan sesuatu yang amat menyeramkan di sebalik pokok pisang.

           ‘’Tak! Kakak aku tak nampak apa-apa pun, cuma pokok pisang tu saja yang bergoyang kuat. Kakak aku terus pecut lari, sampai dia lupa, dia sedang sarat mengandung.’’ Suzie menjawab malas, tapi bibirnya sudah terukir dengan senyuman.

            ‘’Kenapa kau senyum? Apa yang kelakarnya?’’ Aini pula menyoal. Dia tak rasa pun cerita Suzie tu kelakar.

           ‘’Beberapa hari selepas tu, sepupu abang ipar aku buka cerita. Sebenarnya dia yang goyangkan pokok pisang tu selepas dia mengintai kakak aku sorang-sorang dok menahan air. Dia dapat idea nak menyakat kakak aku, tak sangka pula kakak aku tu pengecut. Sepupu abang ipar aku pun terkejut sama selepas dia mendengar kakak aku menjerit dan dia pun turut pecut sama balik ke rumah. Bila orang pakat heboh, sepupu abang ipar aku diam membisu, bila semua dah reda, baru dia berani bercerita. Hampeh betul..aku juga yang kena ambush free dengan abang ipar aku..’’ Suzie terus bercerita dengan pelbagai mimik muka. Lucu, marah, gelihati semuanya diperlihatkan di wajahnya.

            ‘’Hahaha..memang hampeh sungguh! Kau dengar tu Ain, jangan-jangan kau pun kena sakat dengan jiran sebelah rumah kau juga? Kau ada cakap tadikan, ada orang sebut nama kau dan cakar dinding? Kemudian, pagi ni, kau jumpa lelaki yang tolong kau di tepi rumah dan tiba-tiba dia ghaib? Cuba kau fikir semula, dekat tempat dia ghaib tu ada pokok besar tak untuk bersembunyi.’’ Ruby ketawa sambil menyoal Aini pula. Lama betul Aini terdiam. Otaknya sedang mencerna kata-kata Ruby dan otaknya sedang mengimbas kembali permandangan di belakang rumahnya.

             ‘’Aku tak ingatlah, lagi pun berkabus sikit pagi tadi..’’ Aini menjawab ragu-ragu. Kalau tak salah Aini, belakang rumah tu hanya ditumbuhi belukar. Mungkin ada jalan di belakang rumahnya, tapi dia tak pasti lagi kerana baru sangat di tempat itu dan dia belum meronda sekeliling kawasan itu lagi.

             ‘’Aku macam terujalah Ain, malam ni aku teman kau, nak tak? Aku teringin juga nak rasa pengalaman real macam tu..hihi..’’ Ruby yang ternyata bersemangat waja memberikan tawaran menarik untuk Aini. Tanpa berfikir panjang, Aini terus mengangguk laju. Pucuk dicipta, ulam yang menjelma..

            ‘’Aku nak join!’’ Suzie mencelah dan mengangkat tangan tanpa sedarnya dan dia turut tersengeh, macam nak pergi melancong saja cara dia tu.

           ‘’Aku pun teringin jugak, tapi..aku ni lemah semangat sikit, kalau aku pengsan, macam mana?’’ Hanis turut berminat, namun dia ragu-ragu dengan keupayaannya. Tengok filem seram pun dia tak berani, inikan pula berada dalam rumah yang menyeramkan.

           ‘’Korang tahu tak, apa yang aku tahu? Sebenarnya kan..aku pernah terbaca satu artikel ni tau, iblis dan setan ni terhasil dari jin kafir. Jin ni sejenis makhlus yang dicipta dari api, kalau tak salah akulah. Mereka pun ada yang kafir dan Jin Islam. Jin Islam selalunya orang panggil mereka Orang Bunian.

             Yang kafir inilah digelar iblis dan syaitan. Di dunia ni kita tak nampak mereka tapi mereka nampak kita. Namun, Allah itu Maha Adil, di akhirat esok kita nampak mereka tapi mereka pula tak nampak kita. Artikel tu kata lagi, kalau kita takut dengan makhluk ghaib, sebenarnya mereka seribu kali takut dari kita, sebab kita ni asal-usul dari nabi Adam dan Hawa.

             Kaum kita sudah terpilih sebagai Khalifah. Kita ni lebih istimewa dari mereka. Persoalannya di sini, kenapa kita harus takut dengan mereka, sedangkan mereka pun sebenarnya lagi takut kita daripada kita takut dengan mereka?’’

               Panjang lebar Ruby memberi huraian. Tiga orang rakannya sudah memandang kagum ke arahnya. Mereka pun pernah dengar pasal tu, cuma antara yakin dan tidak saja. Semuanya atas kekuasaan Allah. Yakin dengan Allah.. In Sha Allah segalanya pasti selamat. Allah lebih berkuasa dari segala makhluk di atas dunia ini!

              ‘’Betul ke korang nak teman aku malam ni? Kalau kau orang pun rasa, apa yang aku rasa..rasa-rasanya, hari seterusnya aku kena cari rumah barulah agaknya..huhu..’’ Aini bertanya sekali lagi untuk mendapat jawapan pasti. Ruby, Hanis dan Suzie saling berpandangan sebelum mereka mengangguk serentak. Aini sudah tersenyum gembira. Sekurang-kurangnya dia ada teman untuk malam kedua di rumah sewa barunya. Bukan seorang tapi tiga orang yang akan menemaninya. Yes!..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience