Bab 2

Horror & Thriller Completed 2916

Aini membuka mata. Bulu romanya meremang, dia mengenyeh matanya berkali-kali. Ya Allah, aku mimpi rupanya. Aini berdialog di dalam hati. Baru saja baca alamat rumah, dia sudah bermimpi begini. Mudahan, mimpi ini bukan petanda buruk. Aini berharap di dalam hati.

                   Aini bangun dan menuju ke bilik air. Cadangnya, petang nanti baru dia nak keluar dan mencari rumah itu. Pagi ini dia nak selesaikan dulu urusan kerja yang masih tertangguh.

  Jarum jam sudah menunjukkan angka 6.00 petang. Aini bergegas untuk pulang kerana takut terlewat untuk mencari rumah sewa melalui alamat yang diberi. Satu kilometer dari tempat kerja? Soalan itu yang berlegar di fikiran Aini. Tentu hanya beberapa minit perjalanannya dari sini? Aini bermonolog dalaman lagi.

                       Aini mula menekan starter dan memulas minyak. Perlahan Aini membonceng motornya. Dia menoleh kiri dan kanan dalam perjalanannya dan mengikut semua arahan yang diberikan kawannya. Aini melalui jalan kecil. Kiri kanannya dipenuhi semak. Aini mula mushkil, selamatkah tempat begini untuk didiami? Aini menyoal hatinya lagi.

                      Dari jauh sudah kelihatan sebuah rumah yang seakan sama dilihat di dalam mimpinya subuh tadi. Rumah separuh papan dan simen, cuma kawasan rumah itu tidaklah sebersih yang dilihatnya di dalam mimpi. Halaman rumah dan sekeliling rumah penuh dengan dedaunan kering. Pasu-pasu bunga hanya tinggal pokok bunga kering yang sudah mati. Kalau ada pokok bunga yang hidup pun, kelihatan sudah layu dan daunnya kekuningan.

                    Di sebelah rumah itu ada sebuah rumah lagi yang lebih besar. Rumah itu masih terjaga halamannya dan seorang wanita separuh umur keluar dari rumah besar itu bila Aini menghentikan motornya. Aini menongkat motornya dan menunggu wanita separuh umur itu datang kepadanya. Semakin dekat dan Aini terus mengukirkan senyuman.

                    "Assalamualaikum mak cik. Tumpang tanya, boleh mak cik? Rumah ni untuk disewa ke?" Sambil bertanya Aini menuding jari ke arah rumah di depannya.

                       "Ya, tapi rumah ni cuma ada dua bilik saja. Macam mana anak tau pasal rumah ni? Bukan apa, sebelum ini, rumah ni memang ada dua orang penyewa tapi belum sebulan mereka menyewa, mereka dah pindah. Katanya, dah dapat rumah sewa baru. Anak ke yang nak sewa rumah ni?" Banyak pula soalan yang diajukan wanita separuh umur ini. Aini hanya tersenyum sambil mengangguk.

                      "Ya mak cik. Saya yang nak menyewa, berapa sewa sebulan mak cik? Macam mana pula dengan bayarannya?" Giliran Aini pula menyoal. Wanita separuh umur itu menarik tangan Aini dan mengajak Aini masuk ke dalam rumah.

                     "Mak cik tak ambil mahal. Sebulan cuma seratus lima puluh. Anak boleh bayar hujung bulan. Perabot semua sudah lengkap. Anak cuma bawa baju dan keperluan sendiri saja. Setiap bulan pula, selain duit sewa, anak cuma perlu bayar bil elektrik dan bil air." Wanita separuh umur itu berkata lagi. Masing-masing belum mengenalkan diri lagi.

                      "Oh.." perlahan saja Aini bersuara dan memerhatikan sekeliling rumah. Memang agak usang semua perabut di dalamnya, namun masih bersih dan terjaga.

                       "Bila nak pindah masuk?" Wanita separuh umur bertanya lagi.

                       "Petang esok boleh tak mak cik. Selepas habis kerja, saya pindah masuk. Hari ni saya tak bawa barang-barang saya. Kalau nak pindah malam ni, macam tak sesuai saja. Err..saya Aini. Mak cik?" Aini baru teringat untuk mengenalkan diri. Bibirnya mekar dengan senyuman sambil menatap wajah wanita separuh umur yang mungkin sebaya dengan ibunya.

                         "Panggil mak cik Kiah. Sebelum ni Ain tinggal di mana?" Aini tersenyum lagi mendengar soalan mak cik Kiah, wanita separuh umur yang baru dikenalinya. "Ain menyewa dengan kawan-kawan tapi masing-masing dah berpindah sebab mereka dah berkahwin. Kebetulan pula, rumah sewa kami tu, tuan dia nak ambil balik. Terpaksalahlah saya cari rumah sewa baru." Ain menjawab pertanyaan mak cik Kiah dengan lancar. Terangguk-angguk kepala mak cik Kiah mendengarnya.

                          "Dah petang ni mak cik. Saya nak minta diri dulu. Takut maghrib pula nanti." Cepat-cepat Ain meminta diri bila melihat jam tangannya yang sudah merangkak ke angka tujuh petang. Orang kata waktu maghrib, iblis setan semua akan keluar berpesta. Seram pula Aini membayangkannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience