Bab 10

Horror & Thriller Completed 2916

                Geng empat sekawan baru saja sampai ke rumah sewa Aini. Mereka menaiki kereta Kancil milik Suzie. Aini terpaksa meninggalkan motosikalnya di rumah sewa kawannya yang berada di seberang jalan pejabat mereka.

                       Lorong yang sempit menyukarkan mereka melaluinya, nasib baiklah semak samun di kiri dan kanan jalan  sudah ditebas. Walaupun masih sukar, namun Suzie tetap meredah tanpa sebarang masalah.

                       Kereta diparkir di tepi rumah sewa Aini. Hujan pula mula turun renyai-renyai. Suasana alam semakin gelap walau jarum jam baru menunjukkan angka 6.00 petang. Ketika mereka mula turun dari kereta, kilat sudah mula sabung menyabung.

                      Grummm!!..kuat bunyi guruh yang kedengaran disusuli cahaya kilat yang terang benderang. Empat sekawan menjerit serentak akibat bunyi guruh yang agak kuat itu. Terasa bumbung rumah turut bergegar dan bunyi sesuatu yang sangat kuat di belakang rumah juga kedengaran. Aini dan rakan-rakannya menerpa laju ke belakang rumah. Aini membuka selak pintu dapur.

                     Krekkk..ensel pintu yang sudah berkarat berbunyi kuat. Mereka tak hairan pun dengan bunyi itu. Minda masing-masih sudah fokus untuk melihat apa yang terjadi di belakang rumah.

                         "Pokok kelapa disambar petir." Aini bersuara perlahan. Lututnya mengigil akibat masih terkejut dengan bunyi guruh sebentar tadi.

                                Kilat masih sabung menyabung dan guruh masih berdentum kuat. Hujan semakin lebat dan mencurah di atas bumbung rumah. Aini menutup pintu dapur dan mengajak tiga orang rakannya ke ruang tamu. Aini memetik suiz lampu hingga seluruh rumah menjadi terang.

                         "Ain, aku tak sedap hatilah. Aku nak balik.." Hanis yang paling penakut di antara mereka berempat berbisik kepada Aini. Tubuhnya dirapatkan dengan tubuh Aini. Dengan hujan yang lebat dan kilat sabung menyabung, disertai dengan guruh yang berdentum, Hanis mula berpeluh dingin.

                              "Kita baru saja sampai, takkan kau dah angkat bendera putih Hanis? Relax la, aku semalam sorang-sorang saja tau tinggal dalam rumah ni. Sekarang ni kita berempat, lagi pun, kita ada Ruby yang paling kuat semangat." Aini cuba memujuk Hanis yang masih menghimpit dirinya. Ruby dan Suzie pula dah macam pegawai penguatkuasa yang sedang mengeledah rumah.

                            "Aaaaarrghhhh...." terdengar suara Suzie menjerit kuat. Aini tersentak, begitu juga Hanis yang sudah memegang kejap lengan Aini. Ruby berlari ke dapur dan mencari Suzie. Aini dan Hanis mengikut sama.

                          "Kenapa ni Suzie?" Ruby bertanya Suzie yang terburu-buru keluar dari bilik tidur yang ada berdekatan dengan dapur. Aini bercadang untuk menjadikan bilik itu sebagai bilik bacaan kerana terdapat rak buku yang masih kosong di dalamnya. Aini sudah lama menanam minat membaca dan dia mempunyai perbagai koleksi bahan bacaan termasuk novel-novel cinta dan misteri, tak terkecuali majalah-majalah keluarga, resepi dan langskap.

                        "Ada orang cuit aku, lepas tu..aku macam perasan ada bayang yang lalu di sebelah aku. Kemudian..tiba-tiba macam ada angin menghembus ke wajah aku. Tak semena-mena bulu roma aku meremang. Aku terjerit tanpa sedar." Suzie bersuara sambil termengah-mengah. Jantungnya masih bergetar akibat perasaan seram yang masih menguasai dirinya.

                          "Perasaan kau saja kot?" Ruby cuba menafikannya, walaupun dia sendiri pun sudah terasa seram sejuk seluruh tubuh sejak menjejakkan kaki ke dalam rumah ini.

                       "Aku nak balik!" Hanis mula menangis. Nadanya sayu dan bergetar. Aini sudah mula meremang tengkuk. Dia sendiri tidak sedap hati melihat keadaan Hanis yang di luar sangkaannya. Ingatkan Hanis ni kebal semangat, rupanya lagi penakut daripada yang disangka Aini.

                       "Tak apa..biar aku pasang surah Al-Baqarah dulu sambil cas telefon." Aini teringat dengan kejadian semalam. Selepas surah Al-Baqarah dipasang, perasaannya kembali tenang dari rasa takut.

                       "Aini, aku rasa..kau kena pindah dari rumah ni." Ruby berbisik kepada Aini agar Hanis dan Suzie tidak mendengar kata-katanya. Ruby sengaja mengikut Aini yang berniat untuk memasang surah Al-Baqarah yang sudah tersedia di dalam telefon bimbitnya.

                           "Kenapa kau cakap macam tu Ruby? Bukan kau tak percaya ke semua benda ghaib ni?" Aini turut berbisik.

                              "Aku dah mula percaya Ain, selepas masuk ke dalam rumah ni. Aku rasa apa yang kau rasa Ain. Bulu roma aku mula meremang sejak masuk ke lorong rumah ini lagi. Disertai dengan kelibat bayang-bayang yang aku nampak sebaik aku masuk ke dalam rumah." Ruby masih berbisik. Aini sudah pucat muka. Ini bermakna, dia bukan berkhayal atau sedang berilusi. Ini semua adalah kenyataan. Rumah ini ada sesuatu yang menjadi penghuninya.

                                     "Apa kita nak buat sekarang ni Ruby?" Aini bertanya Ruby dengan suara gugup. Benarkah telahannya? Rumah ini tidak selamat untuk dihuni atau penghuni rumah ini hanya sekadar ingin menyakat?

                      Dalam Aini berfikir tindakan selanjutnya dan surah Al-Baqarah yang dipasang baru sebaris dibaca, guruh dan kilat bersabung kuat sekali lagi. Kali ini betul-betul kedengaran di atas kepala mereka disertai dengan lampu yang sudah terpadam. Fius utama sudah disambar kilat agaknya, atau kilat yang menyambar membuatkan fius utama tertutup dengan sendirinya?

                        "Masih awal Ain, baru pukul 7.30 malam, keputusan harus dibuat dengan segera." Ruby terus mendesak. Aini teringat dengan perbualan mereka tengahari tadi, beria-ia Ruby menafikan ceritanya.

                             "Aku rasa, kita tidur semalam lagi di rumah ni. Siang tadi, kau yang beria-ia bercakap, semua ini hanya khayalan aku. Dah, jom teman aku pergi rumah sebelah. Aku nak pinjam lilin." Aini sengaja mencabar Ruby. Aini pasti, mereka takkan diapa-apakan, kalau benar pun ada sesuatu yang turut menghuni di dalam rumah ini.

                      "Siapa nak ikut aku? Jom..kita pergi berkenalan dengan jiran baru aku." Aini berkata dengan suara girang. Melihat wajah rakan-rakannya yang sudah pucat lesi, mengembalikan semangatnya untuk membuli rakan-rakannya. Tak percaya sangat cakap aku! Aini bermonolog di dalam hati.

                        Belum pun Aini membuka pintu untuk keluar, pintu rumahnya sudah diketuk orang. Mereka saling berpandangan sebelum Aini memulas tombol pintu dan menjengukkan wajahnya.

                           "Ehhh.." hanya itu yang keluar dari bibir Aini sambil jari telunjuknya menunjuk ke depan pintu dengan wajah tercengang.

                           "Lektrik terputus ke? Tadi guruh kuat, tentu fius utama tertutup sendiri. Selalu jadi macam tu. Boleh saya masuk tengok. Buatnya bergelaplah awak malam ni sampai ke pagi." Dalam bertanya, lelaki itu menerpa masuk sambil menuju ke arah suis utama yang terletak di penjuru dapur. Aini masih begitu, dengan wajah tercengangnya tanpa kata.

                               "Siapa tu Ain? Kau kenal dia ke?" Ruby yang bertanya, Aini mengangguk dan mengeleng serentak. Lampu yang padam tadi kembali menyala. Lelaki yang separuh lencun itu kembali ke ruang tamu dan bersedia untuk keluar.

                               "Kalau lampu padam lagi, awak petik suis utama saja. Tapi, hati-hati sebab dah lama, takut ada arus elektrik. Esok saya datang tukar fius baru. Rasa macam tak selamat dah tu." Sebelum keluar sempat lelaki itu memesan. Aini dah macam patung lilin memerhatikan lelaki itu yang sudah berada di muka pintu.

                       "Ehh..awak! Macam mana awak boleh ada di sini? Macam mana awak datang?" akhirnya Aini berjaya membuka mulutnya untuk menyoal lelaki itu.

                              "Awak lupa ke? Saya ni kan penyelamat awak, bila-bila masa saja awak dalam kesusahan, saya pasti tahu." Lelaki itu menjawab dalam nada jenaka. Aini tak puas hati dengan jawapan itu. Dia turut keluar sebaik lelaki itu keluar, namun kerana hujan yang masih lebat di luar rumah, Aini membatalkan hasratnya untuk mengekori lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience