BAB 7

Other Completed 7677

Troot…troot…troot…

“Hello, ya kakak? Apa? Allahuakbar!”

Henset Nurul Jannah hampir melurut jatuh dari pegangannya. Air mata laju merembes keluas. Nur Islah yang melihatnya mula kaget. Dia dapat merasakan ada berita buruk yang telah diterima oleh Jessica.

“Nur…mama tenat!”

Nurul Jannah mengemas buku-bukunya dan berlari keluar tanpa menghiraukan pandangan pelajar-pelajar lain yang berada dalam perpustakaan tersebut.

Nur Islah turut mengikut Islah dari belakang.

“Jannah! Tunggu! Nur bawa Jannah pulang. Ayuh!”

Nur Islah yang sempat memegang tangan Nurul Jannah segera menariknya menuju ke kereta yang diparkir di belakang Dewan Kuliah.

Setibanya di rumah Nurul Jannah, kelihatan adik-beradik Nurul Jannah turut berada di sana. Tidak terkecuali sekelompok keluarga Islam yang Nur Islah tidak mengenali mereka turut kelihatan di halaman rumah Nurul Jannah. Nur Islah bergerak menyalami mereka.

“Mama! Ini Jess, mama!”

Nurul Jannah mendapatkan Puan Erica yang terbaring lesu. Matanya begitu lemah untuk dibuka. Nurul Jannah memegang erat tangan mamanya dan cuba mengatakan sesuatu. Kakak Nurul Jannah, Joanne merapati Nur Islah.

“Kamu cuba baca apa-apa ayat di telinga ibu kami supaya rohnya dapat keluar dengan tenang. Kami yakin, agama kamu mesti mengajarkannya.”

Nur Islah tersentak dengan ayat yang dikeluarkan oleh Joanne. Bagaimana dia begitu yakin dengan agamaku sedangkan mereka sangat membenci Islam? Ini bukan masa untuk memikirkannya.

Tanpa membuang masa, Nur Islah mendekati Nurul Jannah dan membisikkan sesuatu.

“Ajarkan ibumu kalimah syahadah.”

Bisik Nur Islah perlahan. Nurul Jannah memandang Nur Islah meminta kepastian. Nur Islah mengangguk berulang kali. Lalu dipandang pula seorang lelaki yang berkopiah dengan wajah “Chinese look”. Anggukan sama juga diberikan.

“Mama, ikut Jess baca ya?”

Tanpa jawapan, Nurul Jannah mendekatkan mulut ke telinga mamanya.

“Lailahaillah….…”

“Muhammadurrasulullah….…”

Sayu suara Nurul Jannah melantunkan kalimah suci tersebut. Air matanya masih tidak mampu berhenti menitis.

“La…ila..haillah…Muhammad Rasulullah…”

Bibir pucat itu akhirnya menuturkan kalimah suci tauhid, sekaligus memisahkannya dengan alam dunia.

“Papa! Mama mengucap papa!”

Nurul Jannah berlari mendakap lelaki berkopiah yang sejak tadi berdiri di sebelah ibunya. Tahulah Nur Islah kenapa ibu bapa Nurul Jannah bercerai. Kerana perbezaan agama. Dan keluarga Islam yang berada di luar rumah tersebut merupakan keluarga baru papanya.

Rasa syukur masih tidak berhenti terucap. Nur Islah meraup wajahnya berkali-kali. Matanya sudah sembap dengan air mata. Mudahnya Puan Erica mengucapkan kalimah syahadah. Begitu sayang Allah kepada hamba-Nya yang terpilih.

“Maafkan kakak dan abang, Jess. Sebenarnya sudah seminggu mama ingin masuk Islam. Tapi kami diamkan daripada Jess. Kalau tidak, mama mesti dari awal sudah pergi dengan tenang.”

Joanne memeluk Nurul Jannah. Rasa bersalah begitu mengetuk pintu hatinya. Kerana sayangkan agama Kristian, mereka tidak mahu mama mereka juga masuk Islam.

Jason pula hanya memerhati dengan wajah yang sugul dan suram. Tidak berminat untuk mendekati kedua-dua beranak itu.

“Sudah, mari papa siapkan mayat. Kami akan tanamnya diperkuburan Islam. Mama kamu sudah Islam.”

Encik Adam Ng Wei menelefon beberapa orang sahabat Islamnya untuk datang menguruskan jenazah.

“Jess, bawa kakak masuk Islam juga.”

Joanne memegang erat tangan Nurul Jannah dan Nur Islah. Nurul Jannah dan Nur Islah berpandangan.

“Alhamdulillah!!”

Mereka berdua menjawab serentak. Pelukan dieratkan. Sesungguhnya hidayah milik Allah. Jika Dia ingin memberi, tiada siapa lagi dapat menghalang-Nya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience