BAB 8

Other Completed 7677

“Jannah, jom ikut Nur pergi satu tempat.”

Nur Islah menarik tangan Nurul Jannah menuju ke tempat keretanya di parkir. Tanpa banyak soal Nurul Jannah menuntun Nur Islah berjalan.

“Mahu bawa saya pergi mana ni, Nur?”

Mata Nurul Jannah memandang sekeliling. Dia merasakan tempat yang mereka tuju ini sangat familiar baginya.

“Tadaa!! Inilah taman yang Nur selalu datang setiap petang. Cantikkan tempat ni? Tapi tak ramai pengunjung.”

Nur Islah terus keluar dari kereta dan menuju bonet belakang kereta.

Nurul Jannah tersenyum. Inilah taman yang dia juga selalu datang satu waktu yang lalu. Menikmati keindahan alam, sambil mencari penyelesaian kepercayaan terhadap agamanya. Waktu itu dia suka datang untuk melihat gelagat gadis muslim yang memberikan kucing makan. Dari situ dia mula berminat untuk mengenali Islam. Cuma, selepas memeluk Islam jadualnya terlalu padat kerana perlu mengikuti kelas-kelas agama untuk mualaf sepertinya.

Meow…meow…meow… bunyi kucing membuatkan dia rindu untuk melihat gadis muslim tersebut. Nurul Jannah memejam matanya rapat-rapat membayangkan ukhuwah yang terjalin jika menemui gadis muslim itu lagi. Dia ingin mengucpakan terima kasih sebab menunjukkan satu akhlak yang sangat baik kepadanya. Tak ubah seperti Nur Islah sewaktu pertama kali mengenalinya.

Tetapi Nurul Jannah terasa semakin aneh. Bunyi suara kucing jalanan terasa begitu hampir ditelinganya. Semakin dekat…dekat…dan dekat…

“Allah!”

Nurul Jannah terkejut apabila melihat Nur Islah sudah berada di sebelahnya dengan memegang seekor kucing. Di sekeliling Nur Islah pula terdapat lebih kurang tujuh hingga lapan ekor kucing yang mengiau tanpa henti. Seperti mereka sudah biasa dengan kehadiran Nur Islah di situ.

Nurul Jannah mengurut dadanya. Terkejut!

“Hmm..berangan lagi budak ni.”

Ujar Nur Islah dengan gelengan. Nurul Jannah ketawa sakan. Betul-betul dia ingatkan bunyi kucing itu dari khayalannya.

“Dah-dah. Turun cepat. Bantu Nur agihkan makanan ni. Makin banyak nampaknya kucing di sini.”

“Agihkan makanan?”

“Ya cik adik sayang yang kuat berangan. Kucing-kucing ni memang akan selalu tunggu Nur beri makan setiap petang.”

Jawab Nur Islah. Tangannya mula meletakkan makanan ke dalam bekas-bekas yang dia sudah sediakan khusus untuk kucing-kucing tersebut.

“Jannah tau, besar pahala jika kita memberi binatang makan. InsyaAllah rezeki yang masuk juga tidak akan putus. Kelak, binatang-binatang pula yang akan tolong kita dan menjadi saksi untuk kita di akhirat kelak. Nur tak dapat belanya di rumah sebab Umi ada penyakit asma. Jadi, kami peruntukkan sedikit rezeki yang Allah berikan untuk berkongsinya dengan binatang-binatang yang terbiar dan orang yang memerlukan. Paling tidak, kami ada saham untuk tuntut di akhirat nanti.”

Sambung Nur Islah lagi. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya.

“Maksudnya, selama ini Nur yang memberi kucing-kucing ini makan? Yang memakai kerudung hitam keseluruhan tu?”

Nurul Jannah meminta kepastian.

Tangan Nur Islah yang sedang membelai kucing terhenti. Bagaimana Jannah tahu? Rasa pelik mengetuk pintu hati. Namun, wajah Nurul Jannah dipandang dengan penuh kasih sayang.

“Ya, sayang. Setiap petang memang Nur akan ke sini. Kucing-kucing ini umpama ‘kawan-kawan’ Nur dah. Nur pakai macam tu untuk elakkan orang mengenali Nur dan sekaligus untuk menutup sifat riak dalam hati.”

Jawab Nur Islah jujur.

“Subhanallah. Alhamdulillah ya Allah. Saya sayangkan Nur kerana Allah.”

Ucap Nurul Jannah jujur. Pantas dia memeluk tubuh comel Nur Islah yang masih terpinga-pinga dengan gelagat sahabat syurganya ini.

“Nur pun sayangkan Jannah kerana Allah. Kerana kita kan sahabat syurga.”

Nur Islah mengeratkan pelukan. Mereka sama-sama tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience