Chapter 9

Romance Completed 8603

BAB 9

Bulan kembali bersinar terang. Meloloskan diri dari kepungan sang awan. Terang cahayanya tidak jua mampu menerangi jiwa yang kosong dan hampa. Kedinginan malam kian terasa. Menghambat segala saraf. Aku masih lagi membisu.

“Ranggi, aku ingin kau jadi seperti sang bulan itu”. Suara Rani mengejutkan aku. Lantas tangannya ditudingkan ke arah bulan yang memancar megah.

“Bulan memancarkan sinarnya demi menemani malam yang penuh kegelapan. Mewarnai lukisan kehidupan semesta. Begitu juga sahabat. Sentiasa di sisi ketika di perlukan. Itulah kau Ranggi….”. Ujar Rani sambil senyuman terukir di bibir. Pandangannya segera beralih kearah bulan. Aku segera mendongak ke langit memandang bulan yang megah bersinar di dada langit. Kata- kata Rani sudah ku jangkakan.

“Aku lebih suka jadi matahari”. Ujarku gurau. Aku tersenyum. Rani turut tersenyum.

“Apa bezanya?. Dua-duanya sama. Menyinari alam ini. Bukankah itu sifat sahabat”. Rani memberi pendapatnya. Kami tertawa bersama. Walaupun kecewa dengan kata-kata Rani, tapi itulah realiti yang pahit untuk diterima oleh hati. Kadang-kala, melepaskan sesuatu yang ingin kita miliki adalah sesuatu perkara yang dungu. Namun, ada masanya lebih baik melepaskan dari memiliki kerana tidak semua yang kita miliki itu indah.

Aku tiba-tiba bermonolog dengan hatiku sendiri. Aku dan Rani berjalan menuju ke kereta meninggalkan pantai Harapan yang semakin damai menanti sang pagi menunjukkan wajah. Aku pasti pagi nanti para nelayan akan kembali menjengah pantai ini. Seperti selalu.

“Pukul berapa bas kau”?. Rani bertanya sebaik sahaja aku selesai membeli tiket.

“Jam 6.30 pagi. Kenapa?”. Soal ku. Waktu ini orang tidak begitu ramai di Puduraya. Banyak kaunter tiket masih lagi belum di buka.

“Saja aku tanya. Terima kasih Ranggi,” sambil tersenyum. Aku terkejut dengan ucapan yang tidak disangka-sangka itu.

“Untuk apa?”. Aku menggaru-garu kepala ku yang tidak gatal.

“Untuk malam yang indah. Kau sudi menemani aku. Sepanjang kita berkawan, semalam merupakan hari yang paling gembira buat aku. Aku akan sentiasa mengingatinya”. Ada keriangan dan kepuasan terlukis di wajah ayunya.
“Aku pun begitu. terima kasih”. Aku mengukir senyuman.
“Rani, aku banyak berfikir malam tadi. Berfikir tentang hal kita”. Kata-kata ku membuatkan Rani terperanjat.

“Aku memikirkan kata-kata kau semalam.Mungkin itu yang terbaik buat kita”. Ujar ku. Rani diam. Dia kelihatan serius
mendengar setiap patah kata yang ku tuturkan. Sejurus itu dia menghulurkan tangan untuk berjabat. Aku terpinga-pinga. Kurang mengerti dengan maksud Rani.

“Sahabat?”. Tutur Rani. kegembiraan jelas terpancar di matanya. Seketika itu aku memahami maksud Rani.Aku segara menghulurkan tangan untuk berjabat.Aku tersenyum mesra.

“Ya, sahabat buat selamanya.” Kata ku. Kami tersenyum.

“Selagi ada matahari menyuluh alam, dan selagi bulan setia menemani malam. Persahabatan ini akan sentiasa kekal”. Rani bersuara. Hentian Puduraya mulai sibuk. Kaunter-kaunter tiket mulai dibuka. Orang kelihatan berpusu-pusu membeli tiket menuju ke destinasi yang diinginkan. Aku dan Rani segera bergerak ke tangga platform menuju ke deretan bas yang sedia menunggu para penumpang.

“Jadi, sampai sini saja ‘pengembaraan’ kita kali ini”. Rani menghulurkan tangan untuk berjabat. Tanda selamat jalan dari seorang sahabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience