'SAKURA VOLLEYBALL CLUB'
TERKEBIL mata membaca tulisan di papan iklan yang sebesar alam. Terus teringat akan perbualan telefon bersama Amsyar ketika di dalam bas.
"Kelab dia bukan kelab official yang hantar pemain-pemain hebat pergi bertanding satu negara. Tapi, kelab Mei Chin ni sediakan perkhidmatan mengajar dan melatih pemain bola tampar bawah 18 tahun. Kira untuk bagi up diaorang punya skill-lah."
"Majoriti yang joined kelab dia, budak-budak dari sekolah berdekatan. Since semuanya perempuan, so harap kau kebalkan hati jelah layan kerenah diaorang. Perempuan ni lain sikit dari lelaki."
"By the way, aku tak ingat nama kelab dia apa, tapi macam nama bunga kat jepun, "
Nafas berat dihela.
"Memang betul-betul Sakura ek nama kelab dia? Aku fikir main-main,"
Jam tangan ditilik. 2.45 petang. Langkah diatur memasuki pusat latihan bola tampar tersebut. Besar, memang besar. Seperti sekolah. Moden pula tu. Sempat senyuman sengetnya muncul. Boleh tahan kaya rupanya si Mei Chin ini. Mesti banyak modal yang dilabur untuk bangunkan pusat latihan sebesar sekolah.
Langkah dihentikan apabila mata menangkap kelibat seorang gadis. Wajah tak berapa jelas, tapi rupa macam budak-budak sekolah lagi. Tinggi boleh tahan untuk budak yang masih bawah umur 18 tahun. Ah, sudah tentu sekarang ini kakinya berada di pusat latihan bola tampar, pastilah penghuninya tinggi lampai belaka.
Apa yang menarik perhatian bukanlah kecantikan, tinggi atau apa yang ada pada gadis itu. Tapi, tingkah si gadis yang hanya diam berdiri. Kedua tangan yang berada di sisi tubuh juga dikepal kuat, bagai sedang menahan amarah.
"Kecil-kecil dah ada masalah," selamba Luqman mengomel perlahan. Kaki memusing, menukar arah untuk meninggalkan 'gadis misteri' tersebut.
Luqman menolak pintu yang tertulis 'Court 1'.
PAP! Servis dari pihak lawan berjaya disangga oleh Lia, berposisi Libero.
"Nice receive, Lia!"
"Jia Lin, bola kau!" Fatin, berposisi Setter bersiap sedia untuk mengumpan bola pada Jia Lin.
Jia Lin berlari lalu melompat tinggi, "Now!"
Fatin senyum kecil. Nice timing! Dengan kedua tangannya, bola ditolak tinggi ke arah Jia Lin.
BUSH! Sekuat tenaga, tangan Jia Lin yang berotot merejam kuat bola ke gelanggang lawan.
"Nice-"
BAM! Di gelanggang lawan, Luqman sudah terlentang mencium lantai. Tangan kirinya lurus ke hadapan, dek berjaya menyelamatkan bola yang direjam kuat oleh Jia Lin.
Tergamam dan kaku semuanya melihat bola yang berjaya disangga Luqman. Lebih memeranjatkan, bola itu melantun masuk kembali ke gelanggang pasukan Jia Lin, dan berhenti betul-betul di atas garisan kanan gelanggang.
"Ma..suk," Lia terkedu melihat bola di sebelah. Lupa sudah tugasnya sebagai Libero pasukan. Dia memang sudah kaku hingga tidak dapat membalas bola yang disangga Luqman tadi.
Perlahan-lahan semua memandang Luqman. Baik kumpulan Jia Lin, mahupun kumpulan lawan. Lelaki pelik tapi berwajah tampan itu benar-benar memeranjatkan mereka. Sebelum ini, tidak pernah ada sesiapa pun yang berjaya membalas balik rejaman Jia Lin. Apatah lagi bila Jia Lin menggunakan sekuat tenaga seperti tadi.
Persoalannya, siapa lelaki ini?
Luqman bangun. Tangan selamba membersihkan seluar. Sempat menolak rambut ke belakang sebelum memandang semua gadis yang ada di hadapan.
"Masuk tak? Rasa macam terlebih timing tadi," selamba Luqman bertanya, sedangkan semua gadis di hadapannya sudah hampir kaku seperti mayat hidup.
Luqman berdehem perlahan apabila tiada sebarang respon. Seram sejuk pula rasa. Bernafas ke tidak mereka ini?
"Who..are you?" dengan berpisahkan jaring, Jia Lin bertanya dengan wajah serupa mahu menelan.
Luqman terkebil. "Me? Well, I am-"
"Luqman?"
Semua menoleh.
Dahi Luqman berkerut. Kejap-kejap, kalau tak silaplah, dia ni.., "Mei Chin?"
Mei Chin ketawa senang. Tangan ditepuk. "Luqman! You dah sampai rupanya!"
Semua mula memandang sesama sendiri. Siapa pula Luqman ini? Kenapa Madam mereka begitu senang dengan kehadiran lelaki asing tersebut?
"Attention girls! Since Luqman already here, biar Madam kenalkan Luqman pada semua, ya? He is Luqman Fakeh, pemain bola tampar negeri Pahang, dan Luqman akan menjadi jurulatih sementara kita selama tiga bulan," jelas Mei Chin dengan senyuman.
"What?!"
* * * * *
JAM menunjukkan angka 4 petang namun bilangan pelanggan yang mengunjungi Kafe Ilmu masih tidak surut. Inilah yang berlaku setiap bila tibanya hari Sabtu. Semua kakitangan di Kafe Ilmu bagaikan tidak ada masa untuk bernafas!
"Americano," secawan Americano panas diletakkan di meja bernombor tujuh.
"Thanks, my pretty lady boss!" ucap Riana, pelanggan setia Kafe Ilmu, juga merupakan salah satu manusia yang tidak pernah putus asa untuk menjadikan Lady Boss Kafe Ilmu sebagai kakak iparnya.
Dhia menjeling ke langit. Kaki mahu beredar memandangkan masih ramai pelanggan yang mahu diurus.
"Eh, Dhia! Kejaplah!"
Mata dipejam, bibir digigit. Tak usah diteka apa mahu gadis itu. Namun Dhia akur juga. Walau sudah dapat diagak, tubuh tetap dipaling semula pada si gadis yang sudah tersengih minta penampar.
"Riana, kalau kau nak borak pasal menjodohkan aku dengan abang kau, aku minta maaf eh? Aku busy!"
"Alaa Dhia! Mak aku berkenan gila dengan kau, weh! Sejak dia nampak kau kat sini, tak henti-henti dia tanya aku, bila nak bawa kau ke rumah jumpa dia. Mak aku nak tengok kau depan-depan. Sini, dapat tengok jauh je,"
Dhia mengenggam kuat dulang di tangan kanan. Sempat buat-buat tingkah mahu mengetuk kepala Riana dengan dulang itu.
"Dhia, please-lah. Sekali je, kau ikutlah aku ke rumah," kali ini Riana meraih tangan kiri Dhia.
"Aku tak naklah, Riana. Aku malas nak bercinta, nak berkahwin bagai ni! Aku ni dah tua!"
"Tua apanya, Dhia? Kau baru 28 tahun, kot? Abang aku tu 30. Ngam lah dengan kau! Abang aku cikgu, Dhia. Padan sangat dengan kau. Aku ni SUKAAAAAA sangat kalau kau jadi kakak ipar aku," masih tidak mahu mengalah Riana memujuk si 'bakal kakak ipar'.
Nafas berat dihela. "Abang kau boleh terima anak-anak aku ke?"
Riana senyum, "Tak ada hal lah kalau pasal si kembar tu! Lagipun, diaorang bukannya anak-"
"Diaorang anak aku, Riana." serius suara Dhia.
Riana telan air liur. Sedar tersalah kata. "Eh, Dhia.., bukan itu maksud aku. Aku cuma-"
"Dahlah, aku busy ni. Sorry tak dapat borak lama. Next time kau datang, kita borak," senyum tawar dihadiahkan buat Riana sebelum kaki melangkah pergi.
Riana menggumam mulut, memandang langkah Dhia yang semakin menjauh. Timbul rasa serba salah menyelubung hati.
Dhia menghembus nafas perlahan. Geram dan marah. Itu yang dirasakan sekarang. Tapi, ini Lidhia. Jarang sekali untuk tunjukkan rasa marah itu depan-depan. Sebolehnya, akan cuba mengawal diri untuk kekal tenang.
Kepala ditoleh, ke sudut rooftop kosong yang tidak berpenghuni. Susuk tubuh Qayyum sedang duduk berehat, dipandang lama.
Ada satu perkara yang susah untuk Dhia kawal. Kembar itu. Liyana dan Qayyum. Hati memang cepat panas jika ada yang mengatakan bukan-bukan tentang mereka berdua. Tadi juga, hampir Dhia hilang pertimbangan jika bukan Riana yang ada di hadapan. Kalau orang lain, memang percuma makan penampar dari Dhia.
Langkah diatur ke sudut rooftop. Muncul senyuman kecil melihat Qayyum yang ralit bermain dengan kamera di tangan.
Bahu Qayyum dicuit, "Curi tulang ke, hah?"
Qayyum menoleh sekilas. "Cakap diri sendiri ke?"
Membulat mata Dhia. "Qayyum!"
Qayyum senyum kecil. Saja mengusik.
Dhia menyandarkan tubuh di balkoni. Tangan naik memeluk tubuh. Mata memandang lama dinding bewarna putih yang masih kosong tidak berhias.
"Upah jelah orang lukiskan mural kat dinding tu. Bukannya Kak D tak berduit. Kata owner kafe?" Qayyum memula kata walau mata ralit membelek skrin kamera. Tidak perlu melihat, pasti Dhia sedang memandang ke arah dinding tersebut.
Dhia hela nafas berat. "Masalahnya Kak D ni cerewet. Susah nak cari pelukis yang kena taste Kak D. Karang upah mahal-mahal, tapi hasilnya tak macam yang Kak D harapkan,"
Qayyum menggeleng. "Kalau susah sangat, Kak D jelah yang lukis sendiri. Senang. Confirm puas hati,"
Dhia hanya memuncung. Wajah Qayyum yang ralit membelek kamera dipandang.
"Are you okay, Qayyum?"
Qayyum senyum kecil, "Do I look like i am not?"
"Qayyum tak ada sorok apa-apa pada Kak D, kan?" nada suara masih tenang.
Diam sejenak.
Dhia gigit bawah bibir. "Qayyum, esok kita pergi hos-"
"Qayyum gerak dulu. Abang Victor panggil tadi suruh cover kat bawah," kamera terus diletak dalam laci.
"Eh, Qay-" tidak sempat Dhia memintas, Qayyum lebih pantas beredar.
Dhia baru berkira mahu mengejar langkah Qayyum tatkala telefon yang berada di poket apron, tiba-tiba bergetar.
"D!"
Berkerut dahi mendengar suara Mei Chin yang seperti menjerit.
"Ya, Mei. Kenapa kau ni? Kalut je aku dengar suara kau?" balas Dhia, tenang.
"Liyana! Dia bergaduh lagi!"
"Apa?!"
Share this novel