F L A S H B A C K : 11 TAHUN LALU,
PERPUSTAKAAN SEKOLAH,
2010.
"SELAMAT pagi, cikgu."
Saudah mengangkat wajah. Muncul segaris senyuman, melihat seorang pelajar perempuan bertubuh 'comel' yang menyapa.
Setiap kali waktu rehat menjelma, perpustakaan inilah yang menjadi 'kantin' buat si 'comel' selama lima tahun menjadi pelajar. Sementara pelajar lain sibuk mengisi perut dengan makanan, si 'comel' pula sibuk mengisi mindanya dengan ilmu. Senang cerita, ulat buku.
"Lambat hari ini, Dhia?" Saudah bertanya, sambil tangan cekap meng-klik tetikus komputer. Menyelesaikan rekod peminjaman buku.
"Kelas Sejarah, cikgu," Dhia menjawab tenang. Langkah diatur ke rak buku.
Saudah tersenyum. Faham maksud yang disampaikan. Kelas Sejarah, diajar oleh Cikgu Sa'ari. Ada dua situasi sahaja. Sama ada keluar lambat sebab menulis nota yang banyak, atau situasi 'tahan ngantuk' dengan cerita sejarah Cikgu Sa'ari yang bagai ubat tidur.
Pandangan sekilas dikerling pada Dhia. Gadis itu sedang melabuhkan punggung di meja kegemarannya, bersama beberapa timbunan buku rujukan. Buku rujukan Ekonomi. Ah, pasti selepas ini Dhia ada kelas ekonomi.
Dhia memang begitu. Ulat buku yang mengutamakan ilmu. Semua jenis buku Dhia baca. Novel, puisi, sajak, surat khabar, buku rujukan bahkan komik juga. Apa sahaja yang boleh dibaca, akan Dhia baca. Cuma jenis buku, adalah mengikut waktu. Contohnya, jika waktu pembelajaran seperti sekarang, buku rujukan yang akan menjadi pilihan.
Berbekalkan buku nota yang sering dibawa, tangan Dhia laju sahaja mencatat maklumat baru yang diperoleh dari hasil bacaan. Sedangkan rutin di selepas waktu persekolahan pula, Dhia akan membaca novel atau komik setelah selesai menunaikan Zohor.
Kata Dhia, itu adalah sebagai waktu untuk 'cheat-kan' minda, jadi bacaan yang menghiburkan adalah terapi terbaik bagi menghilangkan tekanan selepas belajar.
Ralit Saudah 'mengintrepasikan' Dhia, tiba-tiba muncul seorang pelajar lelaki. Biasa? Ya, biasa sahaja jika pelajar masuk ke perpustakaan.
Tapi, yang buat dahi Saudah berkerut, apabila pelajar lelaki itu seperti bersembunyi dari seseorang. Sambil bersembunyi di belakang pintu, pelajar lelaki itu sesekali menjengahkan kepala, bagai memerhatikan kelibat seseorang.
Dipandang sekali imbas, macam 'stok' pelajar kelas belakang. Rambut agak serabai. Baju tidak di-tuck in. Tinggi mungkin dalam 162cm? Kurus, tapi tidak serangka.
Saudah mengecilkan anak mata. Rasanya, macam kenal kelibat ini. Familiar.
Belum sempat Saudah ingin bertanya, pelajar lelaki itu berlari keluar dari perpustakaan. Terkebil dek terpinga dengan apa yang berlaku.
Dari siapa budak itu bersembunyi? Sedang terpinga, telefon pula bergetar. Ada pesanan dari pihak atasan. Saudah menyuruh pelajar yang bertugas menjaga kaunter, lalu langkah diatur keluar.
Dhia memandang sekilas, Saudah yang melangkah meninggalkan ruang perpustakaan. Jam di dinding dikerling. Masih berbaki lima belas minit sebelum waktu rehat tamat. Cermin mata empat segi disentuh dengan telunjuk kiri. Pembacaan dan sesi mencari ilmu diteruskan.
BUK!
Dhia tersentak. Wajah diangkat. Terkaku melihat seorang pelajar lelaki yang tidak dikenali, kini sudah terjelupuk atas lantai perpustakaan. Bukan sahaja Dhia, malah dua orang penjaga kaunter dan beberapa pelajar yang ada di perpustakaan turut terkejut dengan kemunculan pelajar itu.
"Awak-" belum sempat salah seorang pelajar yang menjaga kaunter ingin bertanya, pelajar lelaki itu terus bangun, memandang sekeliling dengan nafas tercungap.
Dhia mengerutkan dahi. Apa masalah dia? Rupa seperti dikejar lintah darat. Sekali tengok, memang langsung tak kenal siapa pelajar ini. Yang pasti, dia bukan belajar tingkatan lima. Sangat yakin, kerana cuma ada lima buah kelas tingkatan lima sahaja di sekolah ini, dan semua wajah pelajar tingkatan lima sudah Dhia kenal.
Ini? Tiada! Mungkin pelajar tingkatan aras rendah? Tingkatan tiga ke? Tapi tinggi macam bukan pelajar Tingkatan Tiga. Mukanya tampan dan nampak matang. Waduh! Siapa sih kamu ini?
Pelajar lelaki itu dengan mengah, memandang rak buku. Rak buku di sudut paling belakang. Itu! Itu tempat yang paling sesuai!
Sekali lagi, semua pandangan manusia di perpustakaan membulat apabila pelajar misteri itu berlari pantas ke rak sudut hujung. Disembunyikan dirinya di sebalik rak itu.
Dhia terkebil. Rasa macam baru sahaja tengok 'The Flash' versi tak semenggah.
"Aaah!"
Bahu Dhia terhenjut lagi. Suara jeritan terkejut penjaga kaunter, membuatkan kepala Dhia dipaling semula ke hadapan.
Ah, sudah! Tadi si 'The Flash' versi tak semenggah, yang ini 'The hulk' sesat pulak ke? Ok, salah. Sepatutnya, kena letak 's' kat 'The hulk' tadi, sebab bukan hanya ada seorang pelajar yang bertubuh sado, tetapi TIGA!
Cumanya, Dhia kenal tiga ketul pelajar itu! Budak degil kelas Lima Elit! Kelas paling hujung! Dhia mengecilkan anak mata, mengingati nama setiap pelajar yang sering naik ke pentas semasa perhimpunan. Naik pentas sebab apa? Bukan sebab tarik bendera, tapi kena denda sebab datang lewat dan ponteng perhimpunan!
Dhia senyum senget. Ok, bingo! Baddrol, Helmi dan Sakai. Eh, bukan Sakai, Tapi Syukri. Kalau sudah 'Tiga Abdul' itu yang muncul, maka memang 'The Flash' tadi ditimpa bahaya. Dhia kenal sangat perangai buruk mereka.
"Oi, budak, 'Si Nyamuk' tu ke sini kan tadi?" tanya Baddrol, bersama pandangan tajam.
Terjongket kening Dhia. Nyamuk? Nyamuk apa pula dalam perpustakaan yang berpenghawa dingin ni? Entah-entah, mereka ini yang nyamuk sebenarnya. Ridsect! Mana Ridsect?!
"Er..aa..," pelajar tersebut jadi serba salah. Juga takut dengan pandangan mencerun Baddrol.
"Jawab aje ada ke tidak? Kitaorang nampak dia masuk ke sini tadi," si 'Abdul' kedua, Helmi pula menggertak penjaga kaunter itu.
Dhia senyum sinis. Geram dengan perangai sampah 'Tiga Abdul' di hadapan, Sudahlah tiga-tiga tidak rupawan, saiz badan menakutkan dan perangai pun, serupa langau!
"Hoh? Ada si gemuk lah!"
Tersentak Dhia apabila pandangan dan suara si 'Abdul' ketiga, Syukri menerjah ke arahnya. Semua pandangan beralih pada Dhia.
Baddrol tertawa senang, seperti mengejek Dhia. "Eh Si Gemuk 5 Amanda! Lupa pula kau ni ulat buku kat sini!" langkah diatur ke meja Dhia. 'Dua Abdul' mengikut tingkah Baddrol.
"Oi, gemuk." Baddrol memanggil sinis.
Dhia hela nafas perlahan, Gemuk? Ya, gemuk. Dia memang gemuk, berat tepat 84kg bersama tinggi 162cm.
"Macam ni lah, aku tahu kau sibuk, kan? Kau mesti rasa aku macam mengganggu kententeraman kau nak membaca. So, apa kata kau senangkan kerja aku, dan aku pun akan senangkan kerja kau," sambung Baddrol lagi, menimbulkan senyuman sinis dua orang 'konconya'.
Dhia masih diam. Tenang seperti biasa. Orang yang banyak membaca akan lebih diam dari bertindak tanpa akal. Itulah beza dia dan tiga 'lalat' di hadapannya.
Nak ejek dia gemuk? Sudah lali. Lima tahun panggilan itu melekat di telinga, sudah tidak terasa bisanya. Malu? Semua yang ada di perpustakaan ini adalah pengunjung setia, sama sepertinya. Sudah sangat kenal wajah dan tubuh Dhia ini pada mereka semua. Tiada sebab untuk Dhia berasa malu.
"Budak tu ke sini, kan?" suara Baddrol bertukar serius.
Budak? Ah, jadi mungkin benar lelaki tadi bukan seusia dengan Dhia dan juga mereka bertiga.
"Budak mana? Aku tak ingat," senada Dhia menjawab.
Baddrol tersenyum sinis, "Jangan buat kelakar, orang ulat buku macam kau jarang cepat lupa."
Dhia angkat bahu, "Ulat buku banyak sangat membaca, otak pun ada limit nak ingat,"
Jawapan Dhia menimbulkan senyuman pelajar yang ada di perpustakaan itu. Itulah Dhia, tenang seperti namanya.
"Eh, gemuk!" meja diketuk kuat, terhenjut sekali lagi bahu Dhia.
"Behave boleh? Library kot? Tahulah tempat ni macam 'neraka' buat orang macam kau, tapi jangan tunjuk sangat 'bahangnya' tu," sekali lagi Dhia menyindir tenang.
Baddrol memejamkan mata. Geram. Kedua tangan naik menyekak pinggang, lalu kedua rakannya dipandang.
"Cari dia!" arah Baddrol, lagak seperti Ketua Gangster.
"Baik!" laju Helmi dan Syukri berpecah ke sisi kanan dan kiri sudut perpustakaan. Mencari kelibat 'Si nyamuk' di setiap celahan rak.
Dhia menelan air liur. Entah kenapa, dia pula yang risau dengan 'Si Nyamuk' atau 'The Flash'. Tidak kenal pun siapa budak itu. Tapi, itu bukan bermaksud "Tiga Abdul" ini boleh sesuka hati buat perkara yang tidak semenggah pada dia!
"Cari betul-betul sampai jumpa!" arah Baddrol lagi. Sempat memandang Dhia. Sinis. Ingat tak boleh jumpa si nyamuk itu? Nak 'berjual mahal' dengan Baddrol? Silap langkahlah, gemuk!
Dari hujung ekor mata, Dhia memandang langkah Helmi yang semakin menghampiri rak hujung, tempat persembunyian 'Si Nyamuk'. Hujung bibir digigit. Tolonglah. Tolong jangan sampai jumpa!
"Baddrol! Helmi! Syukri!"
Serentak semuanya memandang muka pintu. Cikgu Saudah?
Saudah menghela nafas. Tajam pandangan pada tiga murid yang disebut nama mereka itu, "Kamu bertiga merokok lagi, ya? Ada pelajar yang laporkan nama awak bertiga,"
Baddrol memejamkan mata. Bibir diketap geram. Sekilas dia mengerling ke arah rak hujung yang belum sempat diperiksa Helmi.
Dhia mengerut dahi. Melihat tingkah dan reaksi Baddrol, dapat Dhia tafsirkan orang yang melaporkan mereka pasti 'Si Nyamuk'. Senyuman sinis muncul. Sudah buat 'tahi', mahu lemparkan ke orang lain pula. Sendiri sudah buat salah, hadaplah hukuman sendiri!
"Saya nak awak bertiga ke bilik disiplin. Sekarang," tenang, namun tegas arahan diberikan.
Baddrol, Helmi dan Syukri mengeluh. Akur dengan arahan Saudah. Mereka bertiga akhirnya melangkah keluar dari perpustakaan. Dhia, penjaga kaunter serta semua pelajar yang ada di perpustakaan, menghela nafas lega. Hilang sudah keributan yang menyerabutkan!
Saudah memandang rak di hujung sudut. Itulah pelajar misteri yang dilihatnya tadi. Rupanya bersembunyi dari Baddrol. Nafas dihela perlahan.
"Awak boleh keluar sekarang,"
Dhia, serta pelajar yang lain menoleh ke arah rak tersebut.
Dua saat kemudian, 'Si Nyamuk' yang dimaksudkan 'Tiga Abdul' tadi muncul dari sebalik rak. Pelajar lelaki itu kelihatan sedikit mengah, mungkin menahan nafas akibat debaran tadi.
Dhia sempat menilik reaksi wajah 'Si Nyamuk'. Tidak ada reaksi takut seperti dibuli atau seumpamanya. Wajahnya tenang, cuma nafas sahaja mengah, bersama peluh di tubuh dan wajah.
"Awak buat tindakan yang betul. Lepas ni, mereka bertiga mungkin akan digantung. Jadi, awak tak perlu risau lagi, ya?"
Pelajar lelaki itu sekadar tersenyum senget. Bagai tidak begitu bangga dengan tindakannya.
"Awak pelajar Tingkatan Satu Elit, kan?" soal Saudah.
Dhia dan yang lain ternganga. Tingkatan Satu? Tingkatan Satu boleh tinggi macam tu?! Muka! Muka macam BUKAN budak hingusan Tingkatan Satu je! Ini 'stok' muka Tingkatan Empat atau Lima!
Namun, hampir jatuh rahang Dhia apabila Si Nyamuk itu mengangguk tenang. Masha-Allah! Kok bisa sih budak hingusan 13 tahun mempunyai susuk tubuh dan bentuk wajah sebegitu? Laju betul dia 'Glow-up'!
"Apa nama awak?" Saudah bertanya lagi, entah kenapa semua mata tertumpu terus pada 'Si Nyamuk'. Menarik barangkali, siapa sangka budak ini baru berusia 13 tahun? Hingusan!
"Fa-"
"KRINGGG!"
Dhia memejamkan mata. Bengang! Kenapa masa ini juga loceng nak berbunyi?!
Saudah menepuk meja, "Rehat dah habis, semua! Boleh beredar sekarang. Sila kembalikan buku ke tempat asal!"
Lambat-lambat Dhia bangun, mengemas meja. Hampa. Buku dipeluk lalu disimpan ke dalam rak asal. Sempat dia mengerling 'Si Nyamuk', dan Dhia terkaku.
Si Nyamuk senyum padanya! Senyum paling.., PALING MANIS!
"Lidhia! Nak pecah rekod awak sebagai pelajar yang menepati masa ke?"
Dhia tersentak. Jadi tak keruan dia, sampai tanpa sengaja terlanggar bucu rak akibat kalut. Langkah kemudian diatur pantas ke muka pintu. Sempat menunduk hormat pada Saudah.
Sedang Dhia menyarung kasut, masih sempat juga mata mengerling lagi pada 'Si Nyamuk'.
Kali ini, 'Si Nyamuk' tergelak! Nampak gigi putih tersusun cantik! Sumpahlah! Macam mana budak 13 tahun boleh buat jantung Dhia bergendang macam kompang orang kahwin ni? Gelak sebab apa, ya? Sebab Dhia terlanggar bucu rak tadi ke?
Mata Dhia membulat besar. Aduh! Malu lah kalau benar tentang itu!
Dengan tergopoh, laju Dhia meninggalkan perkarangan perpustakaan.
E N D - O F - F L A S H B A C K
"Tak sangka saya, rupanya abang ni dulu pembuli ya?" si isteri Baddrol sudah berpeluk tubuh. Hampir pitam mendengar cerita Baddrol dan Dhia tentang apa yang berlaku sebelas tahun lepas.
Dhia tertawa kecil, Baddrol pula menggaru belakang leher.
"Alah yang, biasalah budak lelaki dulu nakal-nakal. Lagipun, manusia berubah, kan? Tengok Dhia ni je dah cukup. Dari si ulat buku gemuk, boleh jadi si kurus macam model," Baddrol senyum, kagum dengan perubahan gadis di hadapannya.
Dhia ikut senyum.
"Tapi betul ke Dhia ni memang sebaya dengan abang? Abang 28 kan? Dhia ni.., macam baru 22-23 tahun je. Muka babyface,"
Dhia senyum. Tenang seperti biasa. Itupun kerana sudah biasa dengan ayat itu. Bukan mahu berlagak, tapi sudah lali. Terpulanglah mereka mahu percaya atau tidak, tapi Dhia sentiasa sedar umur dia adalah 28 tahun dan akan bersikap matang seperti wanita berusia 28 tahun.
"Tanyalah dia pakai susuk apa," macam biasa, Baddrol masih dengan usikan nakalnya.
"Hish abang ni!" si isteri geram. Malu juga dengan sikap suami di hadapan Dhia. Tapi itulah, Dhia tetap dengan senyuman.
"Tak apa, puan, Saya dah biasa dah dengan perangai dia," kata Dhia.
Baddrol angkat bahu, "Tengok? Abang dah kata dia ni jenis cool je,"
Si isteri menjeling ke langit.
"Eh tapi kan, Bad." Dhia ingin bertanya.
"Hah,"
"Kenapa kau panggil budak tu 'Si Nyamuk?"
Baddrol senyum sinis, rasa terhibur bila ingat kisah lama. Lagi-lagi tentang 'Si Nyamuk' itu.
"Sebab dia ada masalah anti dengan rokok. Banyak kali dia intip aku, Helmi dengan Syukri merokok,"
"Dia macam nyamuk kau tahu tak? Menyemak je. Sekali dua aku biarkan jelah sebab malas aku nak cari pasal dengan budak hingusan macam tu. Tapi bila dia berani mati report pada cikgu, tu yang aku terus panas sampailah jadi kes kat library,"
Dhia mengerut dahi, entah kenapa senyuman bagai ingin terbit di bibir. Seperti ada yang menarik pada 'Si Nyamuk' itu.
Baddrol tarik nafas, senyum. "Tapi benda dah lama lepas kan. Si Nyamuk tu pun dah jadi orang 'ada-ada' sekarang,"
"Orang ada-ada?" Dhia panasaran.
Baddrol mengherotkan bibir. "Hm, sebab aku macam pernah nampak muka dia kat surat khabar. Bahagian sukan. Sayangnya, aku tak ingat pulak nama dia. Tak tahulah itu memang 'Si Nyamuk' tu atau bukan,"
Bahagian sukan?
- NEXT UPDATE : 12 JAN 2021 -
Share this novel