BAB 6

Horror & Thriller Completed 18074

“Aku rasa baik kita stop jelah. Makin lama kita main, makin seram sejuk pulak badan aku dengan roh si Rahimi ni,” putus Faryzal.

Aidil dan Khaidir hanya bersetuju, memandangkan jarum jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi.

“Aku tak setuju!” bantah Firdaus sambil menjeling tajam ke wajah kawan-kawannya.

“Kenapa?” soal Khaidir, Faryzal dan Aidil serentak.

“Sebab roh ni takkan lepaskan kita!”

“Ma... mana kau tahu?” soal Aidil tergagap-gagap.

“Kau tak baca ke apa yang dia tunjuk tadi? Kalau dia dah kata nak pergunakan kita, dia akan buat! Dan kita susah nak suruh dia balik!” tekan Firdaus dengan wajah serius.

“Ryzal, kita cuba hantar dia balik dululah. Roh lain senang je bila kita suruh balik,” pinta Khaidir. Dia sudah tidak sabar mahu beredar dari bilik itu.

“Spirit-spirit of the coin, pulanglah ke tempat asalmu...” Mereka bertiga membaca mentera itu. Hanya Firdaus sahaja yang senyap. Matanya masih tidak lepas merenung kawan-kawannya.

Duit syiling itu bergerak ke no.

Masing-masing sudah cuak, tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Sekali lagi mereka membaca mentera, namun gagal memujuk roh Rahimi pulang. Badan Faryzal, Aidil dan Khaidir sudah berpeluh dan menggigil. Mereka sudah kusut memikirkan cara apa lagi mahu memujuk. Kedengaran guruh berbunyi, kilat mula memancarkan cahaya. Hujan pula turun semakin lebat. Tempias hujan mula masuk ke celah-celah tingkap.

“Spirit-spirit of the coin, pleaselah pulang ke tempat asalmu... kami tak mahu lagi bermain dengan kau,” rayu Faryzal.

Sekali lagi duit syiling itu bergerak ke no.

“Arrghhh!” jerit Faryzal sambil meramas rambutnya kasar dengan tangan kiri.

“Kan aku dah kata susah nak hantar dia balik!” Firdaus tersenyum sinis.

“Aku tak kira! Apa nak jadi pun jadilah! Aku nak /blah/ dari sini. Siapa nak ikut aku, ikutlah.” Faryzal nekad. Dia tidak menghiraukan pesanan Dinesh yang mengatakan dia tidak boleh mengangkat jari sebelum menghantar roh itu pulang kerana takut roh itu akan ikut. Dia bangkit lalu lari meninggalkan bilik kosong itu. Mujurlah pintu bilik itu tidak berkunci.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience