BAB 7

Horror & Thriller Completed 18074

Faryzal Aidil dan Khaidir merebahkan badan di atas katil masing-masing. Tercungap-cungap mereka melepaskan nafas kerana penat berlari. Peluh yang memercik di dahi dikesat perlahan. Tiba-tiba Khaidir yang berbaring di katil tingkat atas, bangun mengejut. Katil itu sedikit berbunyi. Matanya terbeliak memandang katil dua tingkat di sebelahnya.

“Kenapa dengan kau ni?” soal Faryzal. Dia pelik melihat wajah Khaidir yang pucat.

“Ttt... tuu... tuu...” Khaidir menundingkan jari telunjuknya ke bahagian atas katil dua tingkat milik Faryzal dan Firdaus.

Faryzal dan Aidil bangkit dari katil masing-masing. Kedua-dua mereka turut terkejut. Badan mereka mula menggigil. “Buu... buu... bukan ke tadi Fir ada kat bilik kosong tu? Ma... macam mana dia boleh sampai awal dulu dari kita?” Tergagap-gagap Faryzal menyoal kawan-kawannya.

Khaidir turun dari katil lalu melangkah mendekati Firdaus yang sedang nyenyak tidur. Baru sahaja tangannya ingin mengejutkan Firdaus, Faryzal dan Aidil sudah menahan. Khaidir menoleh. “Kenapa?” soalnya.

“Kau rasa yang tengah tidur tu Fir ke?” Faryzal meluahkan keraguan.

“Ssshhh...aku tahu apa nak buat.” Khaidir mengeluarkan telefon bimbit di poket seluar lalu menekan-nekannya. Kemudian dia bergerak merapati katil Firdaus lalu meletakkan telefon bimbitnya di telinga lelaki itu. Suara bacaan ayat kursi kedengaran di corong telefon bimbit itu.

“Mak!!!” Firdaus kelam-kabut bangun. Berbekalkan cahaya lampu di meja belajar, dia berpaling untuk melihat gerangan yang mengacau tidurnya. Sekali lagi dia terkejut melihat ketiga-tiga orang kawannya berdiri kaku memandangnya. Kemudian dia mengurut dada. “Kau orang ni kenapa? Buat terkejut aku jelah!” marahnya. “Yang kau ni apasal letak handphone kat telinga aku?” Mencerun matanya memandang wajah Khaidir.

Khaidir mematikan bacaan ayat kursi. “Betul ke kau ni Fir?” soalnya teragak-agak.

“Habis tu, takkan aku ni jebon kot?!” Dia bersuara geram.

“Macam mana kau boleh ada kat sini?” soal Faryzal.

“Apa punya soalanlah kau ni. Ni kan bilik kita... habis tu aku nak tidur kat mana lagi?”

“Bukan tadi kau ada kat atas ke?” soal Aidil curiga.

“Ha ha ha...” Firdaus ketawa lantang. “Kau orang sendiri dengar yang aku tak nak join kau orang main permainan seram sejuk tu, kan? Bila masa pulak aku ada kat atas?” Dia mengerutkan dahinya.

“Kalau bukan kau, siapa yang ada dengan kita orang kat bilik tu tadi? Muka dia sejibik macam kau.” Khaidir sudah pelik.

“Entah, tak tahu... hantu kot?” serkap Firdaus.

Khaidir, Aidil dan Faryzal sudah berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka kelam-kabut berlari ke katil masing-masing. Selimut ditarik menyelubungi seluruh badan. Mata dipejam serapat-rapatnya untuk menghilangkan kejadian di bilik kosong tadi yang masih berlegar-legar di ruang mata.

“Itulah, lain kali apa yang aku larang, jangan buat. Kan dah kena,” sindir Firdaus lalu baring semula untuk menyambung tidur yang terganggu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience