BAB 3

Horror & Thriller Completed 18074

Pintu usang bilik kosong itu dikuak perlahan. Faryzal, Aidil dan Khaidir melangkah masuk. Mereka mula meletakkan papan yang bertulis huruf A hingga Z, nombor 0 hingga 9 serta perkataan yes, no dan home di atas lantai. Bilik yang sememangnya gelap, sudah diterangi dengan empat batang lilin yang diletakkan pada setiap penjuru papan itu. Kemudian Faryzal meletakkan duit syiling lama pada home lalu mereka bertiga meletakkan jari telunjuk di atas duit syiling.

“Spirit-spirit of the coin, dari kegelapan kau kuseru,” ucap mereka sebanyak tiga kali. Namun tiada apa-apapun yang berlaku. Duit syiling masih tidak bergerak. Mereka mencuba sekali lagi dan lagi tetapi keadaan tetap sama.

Faryzal mulai bengang. Dia mengeluarkan pisau lipat yang tersimpan di kocek seluarnya lalu menoreh sedikit jari telunjuknya.

Aidil dan Khaidir sudah terkejut. “Ke... kenapa kau toreh jari kau?” Tergagap-gagap Aidil menyoal. “Hantu ni degil sangat tak nak keluar. Dinesh kata, kalau nak lagi mencabar kena guna darah...” Faryzal tersengih lalu menitikkan darahnya itu di atas permukaan duit syiling. “Apa yang kau orang tunggu lagi? Cepatlah letak jari,” gesanya.

Baru sahaja Aidil dan Khaidir mahu meletakkan jari, tiba-tiba pintu bilik terkuak. Berkeriuk bunyinya. Bulu roma mereka bertiga mula menegak. Dengan wajah pucat mereka menoleh perlahan.

Fuhh... Mereka mengeluh lega sebaik sahaja melihat Firdaus yang melangkah masuk lalu mendudukkan diri di sebelah Faryzal.

“Bukan ke tadi kau beria-ia nasihatkan kita orang jangan main benda ni? Sekarang apa kes?” soal Faryzal. Keningnya terjungkit sedikit meminta penjelasan.

“Aku bosanlah duduk bilik sorang-sorang. Nak bersembang, kau orang pulak tak ada. Takkan nak sembang dengan dinding kot? Daripada aku mati kebosanan, baik aku ikut kau orang,” jelas Firdaus lalu mula meletakkan jari telunjuknya di atas duit syiling.

“Tapi macam mana kau boleh tahu kita orang ada kat bilik ni? Kita orang cuma bagitau kat tingkat empat je, kan?” Khaidir menyoal curiga. Matanya dikecilkan sedikit.

Firdaus tersengih. “Bukannya susah sangat nak cari kau orang... tempat ni kan keras sikit. Aku yakin kau orang ada kat sini punyalah...”

“Okey, stop bersembang. Kita mulakan sekarang. Khaidir, Aidil, cepat letak jari kau orang,” arah Faryzal. Dia tidak mahu membuang masa lagi memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.

Setelah semua meletakkan jari, mereka mula membaca mentera sekali lagi. “Spirit-spirit of the coin, dari kegelapan kau kuseru...”

Tiba-tiba angin bertiup kencang. Pintu yang tidak ditutup Firdaus tadi berdentum kuat. Kipas siling yang tidak dibuka suisnya tiba-tiba sahaja berpusing mengikut tiupan angin. Api di lilin pula hampir-hampir terpadam. Kemudian duit syiling lama itu bergerak ke perkataan yes

“Dari mana pulak datang angin ni? Nak kata nak hujan, tak ada pulak bunyi petir.” Faryzal pelik. Dia masih tidak menyedari duit syiling itu sudah bergerak. “Yang kau orang berdua ni apesal muka pucat macam nampak hantu?” soalnya tanpa berlapik sambil memandang wajah Aidil dan Khaidir.

Aidil dan Khaidir memuncungkan bibir mereka, menunjuk ke arah duit syiling yang sudah beralih arah.

Faryzal dan Firdaus pantas memandang ke arah yang ditunjuk. “Aik, macam mana boleh beralih ni? Tadi bukan ke duit syiling ni ada dekat home?” soal Faryzal sambil menggaru kepalanya dengan tangan kiri. “Siapa yang gerakkan duit ni?”soal Faryzal tidak puas hati.

“Hantu...” Aidil berbisik perlahan.

“Ah, aku tak percayalah! Kau orang nampak ke hantu kat sini? Tak ada, kan? Mesti salah seorang dari kau orang bertiga yang gerakkan duit syiling ni, kan? Baik mengaku cepat!” soal Faryzal lagi.

“Betullah Ryzal, duit syiling ni yang bergerak sendiri!” Khaidir bersuara geram.

“Erk... aku nak tarik diri boleh tak?” pinta Aidil. Bulu romanya terasa tegak semacam.

“Jangan nak mengada-ngada! Tak ada siapa pun yang dibenarkan menarik diri. Bagaimana kita mulakan, macam tu jugaklah kita akan tamatkan!” tegas Firdaus yang sedari tadi mendiamkan diri.

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi! Tadi kau jugak yang cakap tak percaya dengan game ni, kan? Bila angin tiup sikit, duit bergerak je dah nak cabut pulak? Kenapa tak berfikir dulu sebelum nak main?” potong Firdaus.

Khaidir, Faryzal dan Aidil sudah tergamam. Tidak pernah mereka lihat Firdaus sekasar itu.

Firdaus membuang pandangannya ke arah duit syiling. “Spirit-spirit of the coin, siapakah nama kau?” Firdaus memulakan soalan tanpa menghiraukan pandangan kawan-kawannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience