BAB 4

Romance Completed 10503

Danial Farhan pandang Aiman Shauqi yang sedang elok duduk di sofa depannya. Mereka baru sahaja selesai berbincang tentang projek perumahan yang akan dijalankan. Bukan dia tak perasan yang dari tadi Aiman Shauqi memandangnya.

Danial Farhan menjungkitkan keningnya seolah-olah menyoal.

Aiman shauqi tergelak kecil mempamerkan barisan giginya yang cantik tersusun. Danial Farhan memang bijak membaca bahasa tubuhnya. Ternyata persahabatan yang terjalin selama 8 tahun buat mereka benar-benar faham di antara satu sama lain.

“ Kau dah tak keluar jumpa perempuan.” Sebaris pernyataan dari Aiman Shauqi yang menerbitkan bunga-bunga senyuman di bibir Danial Farhan.

Danial Farhan menghirup kopi di atas meja. Sengaja mendera hati Aiman Shauqi yang masih menanti jawapan darinya.

“Pelik ke kalau aku tak keluar dengan perempuan?” Pertanyaan pula yang dilontarkan.

Aiman Shauqi menyandarkan tubuhnya. Cuba membaca riak tersirat di wajah Danial Farhan. Namun dia gagal menebak apa yang berada di hati temannya. Seolah-olah ada rahsia yang disembunyikan tapi apa?

“Memang pelik sebab ni bukan macam diri kau. Selalunya kau jarang lekat kat ofis. Keluar memanjang je dengan perempuan. Sally, Melina, Lily, Zetty dan banyak lagi la sampai aku sendiri tak boleh nak hafal senarai nama perempuan yang pernah keluar dengan kau. Tapi aku tengok sekarang ni kau dah tak keluar dengan mana-mana perempuan. 24jam mengadap kerja. Pelik aku tengok. Kau ada apa-apa nak cerita kat aku pasal perubahan kau?”

Dah lama dia nak bertanya tapi keadaan tak mengizinkan kerana sudah beberapa bulan dia agak sibuk menguruskan projek besar bernilai jutaan ringgit. Jadi dikesempatan yang ada terus dia bertanyakan perubahan sikap temannya itu.

Danial Farhan yang dia kenal dulu bukan begini. Hidupnya dikelilingi perempuan-perempuan cantik. Siang dan malam Danial Farhan temankan teman-teman wanitanya bershopping. Tidak kisah langsung berhabis duit. Namun dia sangat menghormati Danial Farhan, walaupun Danial Farhan banyak menghabiskan masa dengan perempuan tapi Danial Farhan tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya sebagai COO ( Chief Operational Officer). Kerja yang dilakukannya memang terbaik dan sering mendapat pujian dari pihat atasan.

“Salah ke kalau aku nak melakukan perubahan? Aku dah tak nak hidup macam dulu lagi. Hidup yang tak ada maknanya. Hidup aku lebih tenang rupanya tanpa perempuan-perempuan tu.” Tenang Danial Farhan membalas. Dia yakin yang Aiman Shauqi sedar akan perubahan dirinya cuma lelaki itu tak tahu kenapa.

“ Tapi mesti ada sebab kenapa kau berubah. Misalnya siapa yang boleh buat kau berubah seratus peratus macam ni?” Timbul juga tanda tanya di hati Aiman Shauqi.

Danial Farhan mengeluh berat. Kepalanya disandarkan ke sofa. Matanya dipejam rapat. Muncul wajah Marissa yang sedang tersenyum manis.

Aiman Shauqi semakin pelik. Lagak Danial Farhan bagaikan ada masalah berat. Dia masih menanti Danial Farhan meneruskan bicara tapi Danial Farhan masih lagi senyap. Aik, tidur ke?

Tak lama kemudian Danial Farhan membuka mata dan menegakkan tubuhnya. Dagunya ditopang menggunakan tangan. Pandangan matanya jauh..seolah-olah mahu tembus ke dinding.

“Aku dah jatuh cinta.” Perlahan saja ayat itu meniti dari bibir Danial Farhan tapi masih boleh didengari Aiman Shauqi.

Aiman Shauqi tersentak.

“Kau apa?” Dia bagaikan tidak percaya. Tapi dia yakin yang telinganya tak salah dengar.

“Aku dah jatuh cinta.” Buat kali yang keduanya Danial Farhan membuat pengakuan.

Aiman Shauqi terdiam sejenak. Seketika kemudian dia menepuk bahu Danial Farhan mesra. Wajahnya ceria. Seolah tumpang gembira dengan pengakuan Danial Farhan. Bukan mudah nak buat lelaki seperti Danial Farhan jatuh cinta.

“ Tahniah. Aku tak sangka pula yang kawan aku ni dah dilamun cinta. Siapa perempuan bertuah tu?”

Danial Farhan mengeluh.

“ Marissa. Tapi dia tak suka aku.” Seperti merajuk saja bunyinya.

Aiman Shauqi mengerutkan dahi.

“ Maksud kau sekarang ni kau bertepuk sebelah tangan. Pulak…macam mana boleh jadi macam ni. Memang unik la perempuan ni sebab tak terpikat dengan kau.” Perempuan mana la yang tak tertawan dengan Danial Farhan ni. Pelik sungguh.

“Lebih kurang la. Dah macam-macam aku buat tapi sikit pun dia tak hairan. Lagi dia menyampah dengan aku ada la. Aku dah tak tahu nak buat apa sekarang ni.” Sedikit terkilan dengan penerimaan Marissa. Langsung tak nak beri dia peluang. Ah, kalau dia jadi Marissa pun mungkin dia akan melakukan perkara yang sama. Dengan status yang pernah dipegang sebagai playboy, sudah tentu Marissa tidak mempercayai ketulusan hatinya.
Kusut!

“Jangan cepat mengalah. Kau bukan orang yang cepat mengalah. Kau kena berusaha lagi untuk dapatkan cinta dia. Mungkin yang susah nak dapat ni yang akan kekal dengan kau sampai ke akhir hayat.”

Danial Farhan hanya menganggukkan kepalanya. Dia sedikit tersenyum sebagai tanda terima kasih di atas nasihat Aiman Shauqi. Dia tak akan mengalah. Selagi dia masih lagi bernafas di muka bumi ini selagi itu la dia akan berusaha mendapatkan cinta Marissa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience