BAB 7

Romance Completed 10503

Dia hanya berjalan seorang diri di Sunway Pyramid. Alia tidak dapat ikut kerana menghadiri majlis kahwin sepupunya. Nasib badan la, kena jalan seorang.

Kakinya berhenti melangkah di depan satu butik. Dia begitu tertarik dengan baju pengantin yang dipakaikan di badan patung. Tangannya dilekapkan ke dinding kaca. Sulamannya begitu halus dan cantik sekali. Teringin pula nak pakai tapi nak buat pergi mana. Bukannya dia nak kahwin sekarang. Sayangnya…

“Awak nak pakai baju tu ke?”

Tersentak Marissa dengan kehadiran Danial Farhan. Ish, dia ni buat aku terkejut je. Nasib baik tak terkeluar jantung. Sejak bila Danial Farhan berada di situ dia sendiri tak tahu. Dia kembali mengatur langkah. Terasa langkahnya diekori. Dia menjeling bengang.

“Nanti awak pakai untuk majlis nikah kita.” Danial Farhan menutur selamba. Tidak sangka dapat terserempak dengan Marissa. Niatnya hanya ingin berjalan-jalan kerana bosan duduk di rumah. Dia tersenyum. Kalau dah jodoh lari la ke mana pun, Marissa pasti akan hidup dengannya.

Marissa hanya mencebikkan bibir. Perasan. Siapa nak kahwin dengan dia entah.

“ Tak baik buat muka macam tu kat bakal suami. Derhaka namanya.”

“Peduli apa saya. Awak bukannya suami saya pun”

Tiba-tiba badannya terasa melayang. Dalam berapa saat sahaja dia dah jatuh terduduk. Sakit punggungnya jatuh macam tu. Macam mana dia boleh tak perasan ada kulit pisang kat atas lantai tadi. Buat malu je, dah la jatuh depan Danial Farhan.

Danial Farhan dah panik. Dia mencangkung sebelah Marissa. Nampak muka Marissa yang sudah merah padam.

“Awak ok tak? Sakit ke?” Riak risau yang dipamerkan Danial Farhan tidak diendahkan Marissa.

Boleh pula dia tanya sakit ke tak. Memang la saki! Berdenyut-denyut punggung aku ni.

“ Tak sakit pun. Rasa seronok sangat. Rasa macam nak buat lagi la.” Sinis je Marissa membalas.

Danial Farhan menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Padan muka aku! Tanya lagi soalan macam tu.

“ Sory…tu la Rissa. Derhaka lagi kat abang. Kan Tuhan dah bagi balasan.”

Marissa terdiam sebentar bila mendengarkan panggilan nama yang sudah bertukar. Rissa?Abang?ish mengarut betul.

Dia cuba untuk bangun tapi dia kembali terduduk. Ouch..sakitnya..pergelangan kakinya dipegang. Mungkin terseliuh. Baru sekarang dia terasa sakit.

“Rissa terseliuh ke? Boleh bangun tak?Sini abang tolong.” Lengan Marissa dipegangnya tapi pantas sahaja ditepis oleh wanita itu. Dah sakit pun masih nak berdegil. Keras kepala!

“Awak bukan muhrim saya. So, jangan nak mengada sentuh saya.” Keras Marissa bersuara. Dengan susah payah dia cuba bangun. Tangannya memgang dinding dan dia berjaya berdiri. Kaki kanannya dijungkitkan sedikit supaya tak jejak lantai. Sakit…

La…macam mana nak jalan macam ni. Tumit tinggi aku pun dah patah tumitnya. Marissa merengus geram.

Danial Farhan yang faham akan situasi itu menanggalkan kasut yang dipakainya.

“Rissa pakai kasut abang. Kasut Rissa dah tak boleh pakai ni.”

Marissa memandang kaki Danial Farhan yang sudah pun berkaki ayam. Erk…sungguh ke dia ni?

“Habis tu awak macam mana? Kaki ayam je ke?”

“Eh, apa pula kaki ayam. Kaki abang la ni.”

Mahu je diketuk kepala lelaki itu dengan kasutnya. Aku tanya betul-betul dia main-main pula.

Danial Farhan memandang wajah Marissa yang sudah kelat. Spontan tangannya mengusap kepala Marissa lembut seolah-olah memujuk.

Terpana Marissa dengan perlakuan Danial Farhan. Ini kali kedua Danial Farhan mengusap kepalanya. Satu perasaan halus menerjah ke dasar hatinya. Dia mendongak. Mencari anak mata Danial Farhan. Dia nampak ada selautan kasih buat dirinya di mata lelaki itu. Tiba-tiba je dadanya bergetar hebat lantas kepalanya dihalakan ke tempat lain.

“Takpe…Rissa pakai je kasut abang dulu. Nanti kita pergi cari kedai beli kasut untuk Rissa.” Danial Farhan mencangkung dan membuka kasut yang dipakai Marissa lalu disarungkan kasutnya. Memang kasutnya agak besar tapi boleh la dipakai buat sementara waktu.

“Terima kasih.” Perlahan saja Marissa berkata. Terharu sebenarnya kerana lelaki itu sanggup berkaki ayam kerananya. Langsung tidak kisah dengan mata yang memandang. Dia pula yang rasa bersalah.

“Kasih Rissa diterima.” Marissa memandang Danial Farhan yang tersenyum. Manis pula dirasakan senyuman Danial Farhan kala ini. Baru dia perasan akan kehadiran lesung pipit yang menghiasi kedua belah pipi lelaki tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience