Lima minggu berlalu…
Semenjak Nadira menghilang dari hidupnya, tangisan Azlan terus menyebut nama itu. Nama si bekas isterinya sendiri. Kini waktu telah berjalan ke hadapan. Akan dia menyusun tapak tanpa wanita itunya lagi. Meski ia sulit baginya melupakan semua kenangan indah bersama Nadira. Azlan menarik nafas. Nadira telah abadi di sana. Dirinya tak akan kembali buat kedua kali. Fikirannya menerewang merenungkan peristiwa beberapa minggu. Haryani! Sopan keterampilannya. Azlan mengetap bibir sambil merenung jauh ke dasar laut yang berombak. Apa khabar isterinya itu? Selama ini mereka hanya berhubung melalui telefon. Teruknya! Sesekali bila lapang sahaja mereka bertemu. Itu pun jarang sekali. Azlan terasa rindu. Rindukan dek bayangan Haryani. Dia gagal menjadi seorang suami.
“Azlan…”
Lelaki itu memusing tubuh. Terpukau melihat tubuh Haryani yang sedang berdiri. Tudungnya terkibas-kibas ditiup angin pantai yang damai. Mereka berdiri di atas jambatan yang sama. Haryani menghampiri Azlan. Tangan suaminya dikucup. Adakah ini kucupan terakhirnya juga buat Azlan? Benarkah dia ingin mengakhiri hubungannya?
“Saya datang sini nak ucapkan takziah kat awak atas pemergian Nadira. Hari tu tak sempat saya nak…”
“Tak apa” cepat Azlan mencantas. Haryani mengangguk.
“Saya harap awak sabar atas kehilangan isteri tersayang. Dan…saya nak minta kepastian dari awak”
“Apa dia, Yani?”
“Adakah awak dah persiapkan diri awak untuk lepaskan saya?”
“Kenapa? Awak rasa saya dah tak sayangkan awak?”
“Nampaknya begitulah…”
Perlahan-lahan Azlan menyentuh wajah Haryani. Berseri wanita itu hari ini. Jiwanya memanjatkan syukur. Tidak sangka kepiluan runcing menikam kalbunya.
“Saya tak akan ceraikan awak. Tak…”
Haryani tunduk. Kerongkongnya sakit! Tangan Azlan diambil lalu dibawa turun. Lelaki itu tergamam. Haryani mengesat matanya.
“Saya dah biasa hidup sendirian. Ada suami atau tak, sama je. Setahu saya tak salah awak lepaskan saya jika awak langsung tak ada hati terhadapnya”
“Saya tak mahu lepaskan awak sebab saya rasa saya belum mulakan apa-apa. Saya abaikan awak, saya biarkan awak hidup dengan penuh persoalan. Saya tak ajar awak sampaikan awak terpaksa mencari pendidikan buat diri awak sendiri. Saya banyak toreh perasaan awak. Luka berdarah awak, saya tak pernah ambil peduli. Maafkan saya”
Haryani tersenyum. Sekali lagi Azlan meraih tangannya.
“Dira dah ceritakan kat saya segala-galanya sebelum dia meninggal. Awak sengaja memberikan ruang pada saya dan Dira untuk saling mengasihi selama hampir setahun saya berkahwin dengan dia. Faisal pun ada ceritakan juga kat saya tentang awak yang sudah berubah”
Perempuan itu menghela nafas. Bibirnya diketap kuat. Mukanya dikalihkan ke arah lain menghadap pelangi di langit yang sedang membiaskan sinarnya membentuk seuntai warna berlainan nama. Ia selalu menonjolkan wajah setiap kali hujan berhenti. Pelangi itu sering datang mewarnai langit biru yang luas. Saat anak mata meneliti kebesaran ciptaan-Nya, terasa senang dalam hati.
“Saya tak suka mendesak sesiapa untuk membalas perasaan ni. Bukankah cinta itu perlukan ketulusan? Ia bukan bersifat terpaksa, dipaksa atau memaksa. Ia semulajadi yang wujud dalam jiwa” Haryani memandang Azlan. Mata mereka bersatu. “Saya berubah bukan atas paksaan sesiapa. Saya ni terlalu miskin dengan ilmu. Jadi Faisal yang tolong saya. Sekarang baru saya tahu, ujian Allah tu tak semestinya poligami. Masih ada berjuta-juta masalah yang melibatkan masalah dalam yang mungkin boleh buat hidup seseorang tertekan. Tapi saya percaya bila ada iman, dengan iman saya pujuk perasaan. Redha sahajalah apa yang berlaku. Adakala kebencian sesuatu itu adalah kebaikan untuk diri. Semuanya berbalik pada iman. Banyak hikmah yang tersirat”
Azlan terharu. Tersusun budi bicara Haryani. Tangan milik wanita itu terus digenggam erat. Dagu Haryani didongakkan. Kedua belahnya beralih menyentuh sepasang bahu perempuan itu. Perlahan-lahan dia menghadiahkan ciuman di dahi wanita yang telah bersabar akan kelakukannya selama ini.
“Awak sudi tak berikan saya peluang untuk baiki kesalahan saya?”
“Kenapa tiba-tiba? Adakah sebab Nadira dah tak ada?”
Azlan menggeleng. Bukan! Bukan itu maksudnya.
“Saya rindukan awak sejak awak ambil keputusan untuk bersendirian. Awak menghilang begitu saja. Saya pernah mengaku secara terus-terang di depan Nadira tentang perasaan saya yang mula menyayangi awak. Sebab saya tak mahu berhutang apa-apa dengan dia. Saya rindukan awak. Saya sayang kedua-dua isteri saya. Tapi jodoh saya dan Dira tak lama. Dia dah pergi tinggalkan saya selama-lamanya. Yang tinggal hanya awak seorang”
Lama Haryani membisu. Azlan menanti jawapan. Ombak yang memukul seakan mengusap kedua belah kakinya. Bagaikan menari-nari daam buaian. Jauh dia memandang ufuk kebiruan yang berpadu. Di mana ia menyatukan langit dan laut…
“Saya wanita yang hanya mampu berharap lelaki yang saya cinta dalam diam bahagia selalu walau tiada saya di sisinya. Wanita seperti saya juga boleh dianggap sebagai mesin ukur. Apabila dilayan baik, ia akan baik. Apabila dilayan tidak acuh, dia mudah cemburu. Serapuh-rapuh jiwa saya sebagai perempuan, saya tak mahu dilihat rapuh oleh awak. Walau saya ni ibarat makhluk yang sering menelan paku tajam, biarlah yang merasa luka itu saya. Asalkan bukan awak atau Nadira. Biarlah awak tak pandang saya, asalkan saya tetap isteri awak”
Lantas Azlan menarik tubuh Haryani dalam dakapannya. Ya Allah! Berdosanya dia! Lelaki itu merangkul tubuh itu erat seakan enggan dilepaskan pergi jauh.
“Yani saat ni, tak ada lagi kata yang mampu saya ucapkan selain kata maaf. Taka da lagi kata yang boleh saya ingat selain kata ampun. Saya juga tak ada ayat yang boleh huraikan selain saya boleh cakap yang saya sayangkan awak. Saya telah pinggirkan awak dan gantikan dengan sikap ketidak adil saya sehingga ia menyakitkan hati awak” Kedua belah pipi milik Haryani dipegang.
“Kalau awak sudi berikan saya peluang, saya janji pada diri saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga cinta dan kasih sayang awak sampai mati. Haryani sayang, maafkan semua khilaf saya. Maafkan saya…Saya sangat mendambakan agar awak kembali kepada saya. Kita mulakan lembaran baru”
Haryani menyeka airmata yang luruh di wajah Azlan. Lelaki itu ketawa kecil. Begitu Haryani sendiri.
“Jika Allah SWT memilih awak untuk menanti saya, dan saya menanti awak, sampai bila-bila pun saya sudi jadi pendamping hidup awak dalam suka atau duka. Menjadi penyejuk mata hati awak, dan menjadi pendamping awak yang setia. Saya akan bahagiakan awak mungkin melebihi kebahagiaan yang arwah Dira berikan pada awak. Insya-Allah”
Mereka sama-sama melemparkan pandangan ke lautan yang cantik beralun. Azlan memeluk bahu isterinya. Haryani selesa di bahu lelaki itu. Haryani tersenyum. Dia mahu lelaki itu tahu bahawa dia bukanlah wanita sesabar Saidatina Khatijah, tidak juga secekal Saidatina Fatima Az-Zahra. Airmata kesyukuran mengalir juga tanpa dipinta. Haryani hanyalah wanita biasa yang perlukan pelukan dan belaian suami. Seorang lelaki yang mampu memadamkan segala resahnya. Pelukan Azlan semakin erat. Melepaskan rindu yang selama ini bersarang…
‘Ya Allah…….Dengarkanlah permintaan hatiku. Izinkanlah kebahagiaan segera bersanding denganku. Kekalkanlah jodohku dengan wanita ini. Agar hari-hariku tak lagi terasa sepi. Izinkan kasih sayangnya menjamah setiap inci aliran darahku. Kerana aku mahu selalu tersenyum dalam limpahan rahmat-Mu Ya Allah. Bukan tersenyum dalam kesedihan, tetapi kelapangan.
Ya Allah Yang Maha Memahami, sebagai tanda aku dan dia telah bersama dalam ikatan suci, izinkan kebahagiaan menyelimuti kehidupan kami. Segeralah hancurkan kesedihan hati ini atas pemergian Nadira yang telah Engkau hadirkan buat aku. Terima kasih kerana meminjamkan dia untukku. Dan terima kasih kerana seiringan waktu, Engkau anugerahkan seorang lagi belahan jiwaku. Duhai Tuhanku, semoga Engkau tempatkan Nadira dalam golongan yang beriman. Aamin Ya Rabbal Alamin…
Share this novel