Malam pertama, Haryani sepi di dalam kamar tidur. Awal-awal lagi Azlan sudah meminta diri untuk melawat Nadira di hospital. Jarum jam tepat menunjukkan angka sembilan. Haryani akui, dia tidaklah sehebat mana. Belum layak digelar isteri kepada sesiapa. Isteri apa namanya jika solat pun masih terkontang-kanting. Susah lengkapkan lima waktu. Dia masih jadil, dia masih degil. Malah Haryani merasakan lebih layak digelar seorang perampas. Tiba-tiba anak matanya jatuh pada cincin yang bertahta di jari manisnya. Di bawah bintang Haryani berbisik…
“Bodohnya aku. Aku memang bodoh sebab aku hancurkan kebahagiaan orang. Aku tak layak pakai cincin ni. Cincin yang penuh dengan kasih sayang Azlan terhadap Nadira. Cincin ni antara cincin yang penuh dengan harapan Dira yang mahukan Azlan sarungkan ke jarinya…”
Azlan itu orangnya nak katakan penyabar tidak juga. Tapi tidak pula lekas meradang. Patuhnya dia terhadap kedua ibu bapa sangat wajar dipuji. Haryani kagum. Sukar mahu bertemu lelaki zaman sekarang seperti suaminya. Suami? Aduhai, sulitnya untuk membuat pengakuan begitu. Entah mengapa terdetik di jiwa Haryani mahu berangkat ke hospital melawat Nadira…
Sekian kalinya Haryani terharu. Azlan di sisi Nadira lunak mengalunkan surah Yasin bersama titisan airmata yang mengalir. Haryani memujuk hati supaya jangan pantas cemburu. Cemburu itu bukan seharusnya ada pada dia. Bukan! Melalui pintu wad, Haryani memasang telinga. Lembutnya suara lelaki itu. Azlan masih memakai baju melayu putih siang tadi tanpa songkok. Haryani menelan liur. Lelaki itu menghabiskan bacaannya hingga ke tamat. Naskah itu ditutup lantaran letakkan ia di atas meja kecil di sisi katil.
“Dira, I tahu I tak patut cakap yang I dah penat tunggu you. I harap you bangunlah. I perlukan you sangat-sangat. Banyak perkara yang berlaku, banyak hal yang I nak ceritakan pada you. I sedih sangat, Dira”
Wanita berhijab itu setia mengkaku. Azlan bertambah sebak. Di samping Nadira teresak-esak dia menangis, tanpa disedari ada yang mendengar tangisannya itu. Haryani dari luar memohon beribu-ribu ampun kepada Allah SWT beserta merayu kepada-Nya semoga berikan kesembuhan pada Nadira agar Azlan kembali ceria seperti dahulu kala. Sesungguhnya dia tidak mampu mengukirkan senyuman di wajah suaminya sendiri.
“Perancangan kita untuk bernikah, lupus. Maafkan I kerana barang hantaran yang you mahukan tak ketersampaian untuk I berikan pada you. Enam bulan you koma, cukup lama bagi I. I tahu Haryani tak bersalah, sesiapa jua tak bersalah. Mama bimbangkan I yang semakin hari semakin tak terurus. I ambil jalan singkat. Pada masa yang sama I pula bimbangkan you yang tak pernah buka mata semenjak enam bulan lalu. I rindukan you, Dira…”
Lambat-laun Haryani menolak daun pintu. Senyap-senyap dia masuk, bersandar di dinding. Jelas kedengaran esakan suaminya. Azlan mengesat mata sambil leka merenung raut suci Nadira. Haryani menarik nafas sedalamnya. Bulan terasa malap, langit pun kian kelam. Hatinya sedikit gundah dan bergetar saat melihat Azlan meluahkan kerinduannnya pada si pesakit itu.
“Aris Azlan…”
Azlan mendongak. Berkerut! Sejak bila pula Haryani berada di situ. Perempuan itu mengulumkan sebaris senyuman yang paling manis untuk dipamerkan. Sengaja. Moga-moga senyumannya pengubat ketenteraman jiwanya sendiri.
“Menangislah. Supaya tangisan awak akan dibalas dengan kegembiraan”
“Huh?”
Haryani berdehem.
“Maafkan saya secara tak langsungnya saya dengar apa yang awak rintihkan. Kita kahwin tanpa ada rasa cinta. Sebelum ni kita hanya kawan biasa yang saling bergurau senda tapi hubungan kita tak pernah melampaui batas. Dira lebih kenal siapa awak, begitu juga awak yang lebih kenal Dira” berjeda. Bibir diketap seminit sebelum menyambung.
“Saya kagum dengan awak, Azlan. Awak sangat setia tak kira apa jua. Setia terhadap ibu bapa, keluarga dan…kasih awak terhadap Dira. Saya harap awak kekalkan sifat tu dalam diri awak.”
Bergerak-gerak halkum Azlan. Telinga terus menadah bicara Haryani yang mendatar. Haryani ketawa kecil. Dia ingin cemburu atas dasar apa? Apa yang dia fikir sebenarnya sehingga mindanya merasakan pedih yang tak berarah seperti ini? Adakala rasa takut, tetapi ketakutan adalah suatu perkara yang tidak nyata. Perlukah dia berlagak seperti orang yang kehilangan petunjuk arah di dalam sebuah ruang yang terang? Haryani lekas menggeleng.
“Sebaik saja Dira dah pulih kelak, awak janji dengan saya…”
“Janji apa? Saya tak faham…”
“Janji yang awak tetap akan menikahi Dira. Jangan awak sia-siakan perancangan awak yang telah lama awak rancang bersama Dira. Awak cintakan dia, bukan?”
Semertaan Azlan mengelu. Mengapa Haryani berkata demikian?
“Ya, saya cintakan Dira. Saya sangat cintakan dia. Saya terpaksa mengaku depan awak walau saya tahu ia satu dosa dan keji. Saya gagal sembunyikan rasa hati ni. Saya terlalu rindukan dia. Saya…”
“Jadi nikahi Dira selepas dia pulih. Saya rela hidup bermadu. Biar pun ada rasa sakit tapi Insya-Allah taklah sesakit perasaan Dira apabila dia dapat tahu awak berkahwin dengan saya sebelum dia sedarkan diri. Andai perlu awak ceraikan saya, saya akan terima. Asalkan saya bukan jadi penghalang kebahagiaan awak dan Dira. Kebahagiaan awak terletak pada Dira.
Saya percaya, Dira seorang yang boleh buat awak tersenyum semula” sebulat suara dia meyakinkan Azlan. Seketika cemburu itu hadir, sakit terus mengikuti. Haryani menunduk. Benarlah, berjuta kali dia menafikan, bertalu-talu cemburu itu menganggu benaknya.
Cemburu itu tidak memandang sesiapa tetapi terkadang Haryani juga bingung untuk menempatkan di mana rasa cemburu itu perlu dikurungkan. Apakah cemburu itu terkubur dalam hati atau sekadar ungkapan duniawi?
“Yani, betul ke apa yang awak cakap ni? Awak tak sakit hati? Umm? Nadira cinta pertama saya. Saya dah janji dengan dia yang tak akan ada yang lain” Mukanya diraup. Anak rambutnya diramas-ramas.
“Saya tak main-mainlah, Azlan. Insya-Allah saya tak sakit hati. Percayalah. Sejuk hati saya kalau dapat tengok awak berkahwin dengan perempuan cantik, baik, berbudi pekerti seperti Dira. Dia segala-galanya untuk awak. Ini…” tangannya diangkat. Kilauan batu permata di jarinya memantulkan cahayanya ke dalam pandangan Azlan.
“Cincin ni patutnya awak simpan. Nanti esok-esok awak nikah dengan Dira, awak nak guna cincin apa? Ini cincin pilihan dia yang saya pasti tersematnya seribu erti” matanya memerah. Haryani menelan liur sebiji-sebiji liurnya. Seakan menelan biji kedondong.
“Lagipun…” ayatnya tersekat di situ.
“Saya ni bodoh”
Share this novel