Agak rasa bersalah, berdosa pun iya. Ini semua gara-gara sikap gelojoh Puan Maimun dan Puan Asma yang terlalu bimbang andai Azlan kesunyian. Lagi pula kata doktor, Nadira barangkali hidup dalam keadaan tidak menyedarkan diri memakan tempoh yang panjang. Setahun? Dua tahun? Atau lima tahun? Entahlah.
Namun, tidak pasti pula sama ada Azlan ikhlas menerimanya mahupun tidak. Walau Azlan tidak bermasam muka tetapi jauh di sudut hatinya tetap terpahat satu nama iaitu Nurul Nadira. Terlentang kekasih lelaki itu di hospital kerana kemalangan sewaktu melawat tapak pembinaan bapanya beberapa bulan lalu.
Pejam celik, pejam celik sudah menjangkau hampir enam bulan Nadira koma di sana. Haryani mengaminkan doa setelah lafaz akad nikah usai dilancarkan Azlan. Berat terasa perasaannya untuk menghulurkan jari. Cincin yang pada asalnya milik Nadira kini menjadi miliknya? Ini memang sesuatu perkara yang tidak layak bagi Haryani. Peribadi Nadira lebih mulia berbanding dirinya. Siapalah dia ingin berdamping bersama Azlan? Walaubagaimana pun, Haryani redha akan jodoh yang telah diatur oleh-Nya. Sejauh mana sanubarinya redha?
Haryani tunduk menekur permaidani surau yang berjalur. Dari aura batinnya, dia terasa seakan ada kelibat yang menghampirinya. Azlan yang kemas bersongkok itu membuka kotak baldu yang terisi sebentuk cincin permata. Ya, objek indah itu merupakan pilihan Nadira sendiri. Ah! Bukan itu sahaja tetapi segala barangan hantaran yang sepatutnya Azlan hadiahkan buat Nadira, kini beralih kepadanya. Berdosanya.
Tapi mengapa Azlan seolah-olah rela atas pernikahan ini meski jiwa lelakinya sarat? Hairan, sungguh hairan! Haryani menggenggam jari jemarinya antara satu sama lain.
“Yani, hulurkan tangan awak” bisik suara separa garau itu. Haryani enggan. Sekilas dia pandang sekeliling. Mujur orang lain duduk tidak terlalu dekat dengannya.
“Kenapa Azlan? Tak patut saya berada kat sini. Hati awak tak tulus menerima cadangan ni, bukan?”
“Hulurkan tangan tu, Yani…” Azlan masih mengarah. Sebentuk cincin beremas putih itu disarungkan jua untuk Haryani. Lelaki itu mengetap bibir. Sebak di dada mencengkam hebat. Bayangan Nadira menerjah layar mata. Kalaulah Nadira tahu bahawa dia sudah sah menjadi suami orang lain, apakah Nadira bakal memarahinya? Jujur, Azlan juga terasa letih menanti Nadira yang tidak bangun-bangun. Ya Allah! Nadira itu seorang perempuan yang baik. Haryani? Mana mungkin dia membezakan kedua-duanya. Nadira…
“Azlan…Tak salah awak ceraikan saya andai hati awak tak sudi”
“Kita baru nikah, awak dah sebut pasal cerai? Melangkah keluar dari surau ni pun belum. Malam ni saya tak balik, saya nak ke hospital” sinis nadanya. Meski perlahan cukup di pendengaran Haryani.
Wanita itu mengangguk. Lekas tangan suaminya dicapai lalu dikucup. Terpaksalah dilayankan sahaja kerenah Azlan yang acuh tidak acuh. Lain benar wataknya sewaktu mereka berkawan dahulu. Kawan dengan kahwin itukan jauh maknanya. Azlan menyentuh ubun-ubun Haryani. Terasa bagai dia sedang membelai Nadira. Puan Asma turut rasa bersalah. Tetapi sangat dia berharap semoga Haryani dapat menjadi pengganti Nadira.
Bukan sengaja dia bertindak kejam, bukan niatnya ingin mempergunakan Haryani. Tidak! Puan Asma risau jika Azlan terus meratapi kesengsaraan Nadira. Agak lama Nadira mematung sendirian di atas katil, takkan mahu membiarkan Azlan ikut sama? Sampai bila? Doktor juga tidak menjamin apa-apa berkenaan kondisi Nadira. Relakah dia sebagai ibu melihat Azlan mematung sehingga tiada selera makan dan minum?
‘Ampunkan aku Ya Allah. Aku sayangkan anakku…’
“Mama…” Azlan mencium pipi ibunya. Kemudian dipeluk erat tubuh itu sebelum beralih pada Puan Maimun. Haryani dari jauh hanya menjadi pemerhati. Mengapalah Azlan masih berbaik terhadap ibunya? Dia tergelak sendiri. Kasihan Azlan…
“Tahniah ya Azlan. Mama sayang Lan” muka anak lelakinya diusap dengan belakang telapak tangan. Azlan angguk seraya tersenyum nipis. Lekas dia menghalakan posisinya ke arah ibu mertuanya pula. Tubuh Puan Maimun didakap. Sekali lagi, Haryani terasa kelakar. Baginya, bijak teramat Azlan berlakon. Lebih hebat daripada pelakon pementasan teater.
“Mak, maafkan Lan ya…”
“Isy, apa pula minta maaf? Tahniah Lan, mak bangga dapat menantu macam Azlan”
Di saat Azlan memusing leher, tika itu pandangannya dan Haryani bertaut. Gadis itu kelihatan tenang dan bersahaja.
Share this novel