BAB 5

Romance Completed 6027

Sepenuh kudrat Haryani membantu Azlan menghias dewan. Lelaki itu aneh. Mengapa Haryani rela? Pula tu, minggu lepas bersemangat Haryani memilihkan pakaian pengantin buatnya. Reaksi perempuan itu bersahaja. Dari jauh, Haryani tertunduk-tunduk menyeka peluh sambil mengibas alas meja. Jika ini yang terbaik, pasti dia akan bantu tanpa mengenal jenuh dan lelah. Puan Asma di atas pentas hanya mengerling Azlan dan Haryani silih berganti. Tangan pula setia memegang sehelai kain untuk diletakkan di pelamin. Tekaknya kering dari mengeluarkan suara. Sungguh! Seperti suatu keajaiban. Nadira sudah pulih seperti dahulu. Azlan meninjau jam tangan. Kata Nadira lagi sepuluh minit dia akan tiba di dewan itu. Lekas kaki melangkah menghampiri Haryani.

“Yani, saya nak cakap sikit dengan awak” separuh berbisik Azlan berkata. Haryani mendongak. Senyumannya terpalit di bibir.

“Oh, cakaplah. Apa dia?” soalnya. Alas meja dikemaskan sebelum meletakkan pasu bunga kecil di bahagian tengah meja. Ya, itu adalah meja bakal pengantin yang akan makan beradab di situ. Demi suaminya sendiri. Salahkah dia cuba sediakan sehabis sempurna? Haryani mengetap bibir.

“Awak rasa kecewa atau marah?”

Haryani menggeleng. Lehernya terasa berat mahu menoleh suaminya buat kali terakhir sebelum Azlan berkahwin.

“Tak. Insya-Allah tak. Apa yang terbaik untuk awak, terbaik juga untuk kita semua” dia berjeda sejenak. Liurnya terasa kelat. Kerongkong pula terasa tersangkut-sangkut. Tangan direhatkan di tebing meja. Haryani menekur kedua buah kerusi raja sehari.

“Kenapa awak terima cadangan mama?” tidak tumpah seakan orang hilang akal Azlan menyoal. Si isteri ketawa kecil. Masih sama. Matanya terbeban mahu menatap raut lelaki yang memberi makna dalam hatinya. Namun wajarkah dia akui itu semua? Haryani sedar siapa dirinya. Dia hanyalah perempuan. Bukan wanita impian Azlan. Memang benar, perkahwinan antara mereka merupakan penyatuan dari orang tua. Tetapi dia dan Azlan tidak pernah anggap bahawa perkahwinan mereka merupakan sesuatu paksaan.

“Saya yang seharusnya tanya soalan ini kat awak. Kenapa awak ikut cadangan mama awak? Atau awak takut untuk bersuara?”

“Saya tahu niat mama hanya nak lihat saya bahagia. Mama mungkin salah faham dengan hubungan kita. Saya akur dengan permintaan mama kerana saya tak mahu lukakan perasaan dia sebagai seorang ibu. Kita sama-sama rela, kita sama-sama turutkan permintaan diorang…”

“Tapi rela awak tak sepenuhnya rela. Jiwa awak pada Nadira. Barangkali kita juga sama-sama silap langkah. Mak saya dengan sikap gelojohnya yang tak sabar-sabar mahukan menantu. Mama awak pula kasihankan awak yang asyik meratapi kesepian diri. Sekarang, dah tiba masanya kita pulihkan keadaan” Haryani berjalan menuju ke arah pintu gerbang yang dihias cantik dek bunga-bunga berkelopak merah jambu. Indahnya!

“Yani, sewaktu Dira koma saya fikir harapan saya dah musnah. Ternyata tidak. Kesempatan masih ada buat saya. Saya tahu berdosa besar kalau saya katakan yang saya sangat cintakan Dira depan awak”

Lama Haryani mengunci bibir. Bisakah Azlan menghargainya sebagai wanita yang diam-diam mula jatuh cinta kepadanya? Biarpun suaminya melihat dirinya hanya sekelip mata, itu sudah memadai bagi dia. Tak perlu lemparkan permintaan yang banyak. Sekadar itu!

“Cukuplah Lan. Apa yang awak luahkan kat Dira tempoh hari cukup membuatkan saya mengerti. Dua bulan tempoh perkenalan kita itu tak akan menjamin hubungan kita akan kekal. Kedengaran macam sesuatu yang bodoh, kan? Beginilah…” Haryani memalingkan tubuhnya menghadap si suami yang nampak sedikit runsing.

“Awak sendiri dah dengar jawapan mama dan papa awak minggu lepas masa saya beritahu hajat saya yang setuju kalau awak berkahwin bersama Dira. Diorang gembira, adik-beradik awak juga suka. Lebih-lebih lagi…papa awak” lambat Haryani menyebut barisan terakhir ayatnya. Encik Azmin jarang bertegur sapa dengannya.

Sepatah yang ditanya, sepatah jua yang dijawab. Mungkin bapa mertuanya tidak restu. Biasalah, ego lelaki dan perempuan tidak sama. Walau dari zahir Encik Azmin kelihatan tenang melayaninya tetapi jauh di sudut hati pasti lelaki itu merindui Nadira sebagai bakal menantu. Lihat sahajalah apa yang berlaku minggu lalu. Encik Azmin setuju sebulat suara jika Azlan bernikah lain tanpa berfikir panjang. Adik-beradik Azlan semuanya lebih menyayangi Nadira. Empat tahun mereka kongsi kasih bersama. Agak sukar menerima perempuan yang hadir entah dari mana sebagai galang ganti. Memang tak patut!

“Papa awak begitu sayangkan Dira. Adik-beradik awak semuanya rapat dengan dia berbanding saya. Mendalam cinta awak terhadap Dira mana mungkin saya menafikan fakta tu. Saya minta awak janji sesuatu…”

Azlan mematung. Ada anggukan lemah di kepalanya. Sementara Haryani memerhatikan sekeliling. Adik-adik iparnya di sana sedang bergembira mengikat bunga mangga dan bunga telur. Seronok sangat mahu menerima kakak ipar baru agaknya.

“Awak tolong rahsiakan hal ni dari pengetahuan mak saya. Saya tak mahu dia tahu sampai saya sendiri yang beritahu dia. Buat masa ni, biarlah saya tetap dengan pendirian saya. Saya akan hadapi ini semua dengan tabah”

Lelaki itu menekur lantai seraya menyeluk kedua belah kocek seluarnya. Malam ini dia akan diijab kabulkan. Mengapa reaksi Haryani langsung tidak meragukan? Dan…sudikah Haryani hadir malam ini untuk melihat upacara akad dilafazkan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience