7.

Romance Series 3558

Sudah jam 11 malam, namun rumah masih riuh rendah dengan bunyi gelak tawa anak beranak itu. Lebih-lebih lagi si kecil Azim. Tak kering gusinya tertawa dek digomol oleh si ayah. Konon mahu melarikan diri dengan merangkak laju mendapatkan ibunya namun tak sempat apabila tubuh kecilnya sudah disauk Safuan.

" Mana nak lari tu! " Safuan mengejar anaknya yang merangkak laju. Akibat terlalu banyak ketawa sampai kakinya lemah dan tak dapat berjalan seimbang.

Belakang ibunya jadi tempat menyembunyikan diri. " Abang! " Teriak Khaili menahan geli digeletek. Dia pun ikut terkena.

Telatah anak beranak itu diperhatikan Umaira sambil menyudahkan kerja-kerja di dapur. Banyak pinggan dan mangkuk yang perlu dicuci sendiri sementara mereka bergurau senda. Umaira mengeluh, hatinya berasa cemburu.

Sudah berminggu-minggu Safuan tidak pulang kerana sibuk bekerja. Tak tertanggung lagi rindu di hati Umaira akan suaminya. Namun, minggu ini Safuan pulang bersama Khaili dan anak mereka. Sedikit pun tidak mengendahkannya. Bahkan dua orang anak perempuannya pun rasa rindu terhadap Safuan yang dianggap bapa kandung.

" Apa yang Maira menungkan tu? Sampai tak berkelip mata, " ujar Puan Zarina yang turut membantu mana yang mampu. Esok, sanak saudara mereka akan datang berkunjung. Beberapa persiapan untuk menyambut tetamu perlu dibereskan sebelum esok.

Umaira mengukir senyum. " Tak adalah, mak. Maira rasa mengantuk, " jawabnya dengan suara yang lembut. Tidak pernah sesekali pun dia meninggikan suara, itu sifat semula jadinya.

" Mak faham apa yang kau rasa, " kata wanita tua itu. Belakang Umaira diusap perlahan.

Puan Zarina mengeluh kecil. " Tak apalah, Maira. Janganlah Maira fikirkan sangat. Nanti lepas ni Maira tolong urutkan kaki mak, " ujar wanita tua itu.

Umaira mengangguk akur.

Tak lain tak bukan tugasannya dalam keluarga itu untuk menjaga dan merawat Puan Zarina. Sebagai menantu yang baik, tak pernah sesekali pun dia menolak. Semuanya dilakukan dengan hati yang ikhlas.

" Umaira cemburu tengok Fuan dengan Khaili? " Soal Puan Zarina. Matanya terpejam menikmati urutan Umaira. Inilah sebabnya Umaira menjadi menantu kesayangan.

Umaira hanya membungkam diri. Jika diluah pun, hanya menyakitkan hati. Cukuplah dengan apa yang dipendam sekarang.

" Mak pun tak sangka. Tak lama lepas Maira kahwin dengan Fuan, Khaili pula mengandung, " ujar Puan Zarina lagi. Ketika itu, beliaulah orang yang paling gembira. Lebih-lebih lagi ketika dimaklumkan bahawa Khaili mengandungkan anak lelaki.

Kenduri menyambut kelahiran bayi lelaki itu diadakan besar-besaran. Sepanjang tempoh Khaili mengandung, Puan Zarina yang merawatnya sehingga habis pantang. Safuan turut memberikan sepenuh perhatian terhadap Khaili. Sedar tak sedar, Umaira dan dua orang anaknya terabai.

Padahal, Umaira bersungguh-sungguh mahu mengandung terlebih dahulu demi memberikan keturunan lelaki kepada keluarga itu. Jiwanya benar-benar runtuh! Malah, hingga ke hari ini pun dia gagal untuk mengandung.

" Kalau dari awal mak tahu Khaili dah mengandung, mak tetap nak nikahkan Umaira dengan abang Fuan? " Soalnya.

" Eh, apa Maira cakap macam tu? Sekurang-kurangnya Maira ada untuk jaga dan teman mak di rumah ni. Kalau bukan kerana Maira, tak tahulah apa jadi pada mak, " ujar Puan Zarina.

Walaupun menantu sulungnya itu bukan seperti yang diharapkan, Umaira tetap menang di hati Puan Zarina sebagai menantu kesayangan. Umaira seorang yang lembut dan patuh mendengar kata, itulah ciri-ciri utama menantu idamannya. Bukan seseorang yang degil dan keras kepala.

" Fuan dah tidur ke? " Soal Puan Zarina.

" Dah, mak, " jawab Khaili ringkas sambil mengacau air Nescafe. Nafas dihela perlahan. " Apa yang mak nak bagitahu? " Sambungnya.

Sekarang sudah lewat malam. Suasana benar-benar sunyi di antara mereka berdua. Tentu ada sebabnya Puan Zarina mahu berbincang dengan Khaili di waktu begini.

" Sepatutnya hal ni Fuan sendiri yang patut selesaikan. Tapi, mak rasa lebih elok kalau mak masuk campur. Mak tak nak anak mak terbeban, " ujar Puan Zarina.

Di masa yang sama, dua cawan Nescafe sudah siap. Khaili bawa ke meja makan seraya melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan ibu mertuanya.

" Apa bendanya, mak? Ada apa yang saya tak tahu? " Soal Khaili, aneh.

Puan Zarina tersenyum. " Nampaknya Fuan memang tak bagitahu kau langsung. Dia tu tunduk benar dengan kau, " ujarnya. Air Nescafe panas itu dicicip perlahan. Air buatan Khaili berbeza rasanya berbanding Umaira meskipun menggunakan paket dan guna yang sama.

" Mak, cakap jelah. Tak payah bermadah lagi, " Khaili kekal tenang. Dia sudah terbiasa dengan sindiran pedas Puan Zarina, memang makanannya.

" Baik, kalau itu yang kau nak. Fuan dengan Umaira dah kahwin. Sekarang dah masuk 2 tahun, " Puan Zarina berterus terang. Biar hari ini Khaili tahu, beliau tidak sanggup melihat Umaira menderita lagi kerananya.

Puan Zarina mengerut dahi, tiada sebarang reaksi balas negatif daripada Khaili. Malah, kekal tenang. Tanda-tanda marah atau sedih pun tiada.

Khaili tertawa kecil. " Saya dah tahu. "

" Jadi, kenapa selama ni kau diam je? Kau sengaja nak sakitkan hati Umaira? Kau suka tengok dia menderita? " Kata Puan Zarina. Naik turun dadanyaz nafas hampir sesak. Wajah menantunya itu sungguh menyakitkan hati.

" Ini bukan pasal Umaira. Saya nak tengok berapa lama Safuan boleh rahsiakan daripada saya, " ujar Khaili sambil berpeluk tubuh.

" Bukan pasal Umaira? " Puan Zarina tertawa sini. " Kau dengan Umaira dah jadi madu. Kau kena belajar kongsi kasih. Fuan bukan hanya milik kau je. Kau tak sepatutnya biarkan Fuan abaikan Umaira, "

" Dan mak tak sepatutnya biarkan diorang kahwin tanpa persetujuan saya, " Khaili mencelah. " Apa kurangnya saya kalau nak dibandingkan dengan Umaira, menantu kesayangan mak? " Sambungnya.

Antara Khaili dan Umaira. Tentunya pilihan Puan Zarina ialah Umaira meskipun dua wanita itu mempunyai jurang perbezaan. Khaili, wanita yang berpelajaran tinggi dan juga merupakan pilihan Safuan sendiri. Namun tidak pernah menang di hati Puan Zarina.

" Safuan tu anak aku! Aku ada hak menentukan masa depan dia. Kau beruntung aku tak suruh Safuan ceraikan kau! " Luah Puan Zarina. Apa yang selama ini terpendam dalam terluah juga.

" Antara kau dengan Umaira, aku tak pernah anggap kau menantu! Aku tak ingin! Entah apa yang kau dah jampi kat Safuan sampai dia tergila-gilakan kau! "

" Mak! " Khaili menjerkah. Dia bangun. " Jangan nak fitnah saya. Saya tak boleh maafkan mak, "

" Habis tu, apa sebabnya Safuan setia pada kau? Bertahun-tahun kahwin tapi anak baru satu. Nak tunggu berapa lama lagi baru dapat dua anak? Kau kena sedar apa kekurangan kau! Disebabkan kau jugalah, Umaira masih tak dapat mengandung! " Bentak Puan Zarina.

Apa-apa pun sebabnya, Puan Zarina tetap menyalahkan Khaili. Punca Umaira tidak dapat mengandung ialah Khaili kerana menjadi orang tengah dalam hubungan Safuan dan Umaira.

" Mak ingat saya tak tahu agenda utama mak tu? Terdesak sangat nak ada pewaris lelaki. Mak fikir, Safuan akan dapat mewarisi harta Dato' Muaz? Apa pun yang terjadi, Safuan atau mana-mana keturunan daripada mak takkan dapat, " Khaili tersenyum sinis.

" A—apa!? "

" Sebab mak tu isteri kedua. Macam tu juga dengan Umaira. Langsung tak ada hak, selamanya akan jadi perampas, "

...

" Sampai macam tu sekali dia cakap dekat aunty? Tak sangkanya perangai dia macam tu! "

Puan Zarina mengangguk perlahan. Pening kepalanya memikirkan hal anak dan menantu yang bermasalah. Harap-haraplah umurnya panjang sehingga masalah ini berakhir.

" Inilah yang aunty tanggung. Puas aunty bersabar dengan dia. Tapi kali ni Khaili betul-betul menyakitkan hati, " adu Puan Zarina. Semua masalah diluahkan kepada wanita muda itu.

" Haih, kesiannya aunty. Tapi, apa boleh buat? Khaili dah kahwin dengan Safuan. Anak pun dah ada, " ujarnya mengeluh. Jari jemari berkedut itu digenggam. Setidak-tidaknya dia cuba untuk menenangkan hati Puan Zarina, wanita tua yang sangat dia hormati.

" Aunty nak kopi atau teh? Lia boleh buatkan, "

" Nescafe? "

" Alah, Lia lupa pula! Sekejap ya, Lia buatkan, "

Lia atau nama sebenarnya Aulia, wanita cantik yang cukup rapat dengan Puan Zarina suatu masa dulu. Nada suaranya lunak, wajahnya ayu, dan perwatakannya yang lembut. Aulia juga merupakan wanita bekerjaya yang memiliki butik pakaian sendiri. Semua tentang Aulia beliau suka.

" Sampai sekarang aunty menyesal dengan keputusan aunty dulu, " kata Puan Zarina perlahan.

" Hmm? Apa, aunty? "

Puan Zarina tersenyum memandang ke raut wajah Aulia. Wajah yang manis walaupun pelbagai liku hidup telah ditempuhi. Beliau sangat kagum.

" Kenapalah aunty tak pilih Lia dulu? Kalau tak, tentu kami sekeluarga dah bahagia. Memang tak sepatutnya aunty biarkan Safuan dengan pilihan sendiri! Aunty menyesal! " Keluh Puan Zarina. Apabila difikirkan 7 tahun lalu, hatinya benar-benar sakit.

Hati Safuan sudah terpahat pada Khaili, seorang gadis yang tidak pernah mendapat restu Puan Zarina. Oleh kerana Safuan sendiri yang merayu, beliau sebagai ibu akur dengan kemahuan anak. Itulah kekesalahan Puan Zarina sehingga kini.

" Aunty, tak usahlah kita ungkit perkara lama. Safuan pun dah bahagia dengan Khaili. Lia dah tak nak masuk campur, "

" Tapi, Lia mesti tak bahagia, "

Aulia terkelu.

" Aunty tahu, Lia masih ada perasaan pada Safuan. Dah bertahun-tahun Lia cuba mengelak dari keluarga kami. Lia pun tak bahagia dengan bekas suami Lia tu. Semua ni tak adil untuk Lia, " kata Puan Zarina.

" Aunty.. " tangan Puan Zarina digenggam erat. " Walau apapun, Khaili tetap kawan Lia. Lia tak boleh hancurkan perkahwinan kawan sendiri, " ujar Aulia.

Sememangnya Safuan mengenali Khaili terlebih dahulu. Aulia merupakan rakan karib kepada Khaili namun sikap dan budi pekerti Aulia lebih menarik perhatian Puan Zarina. Oleh kerana sikap setia kawan itu, Aulia mengalah dan membawa diri.

" Hubungan diorang berdua bukannya bahagia mana sampai nak bercerai. Perangai Safuan berubah pun sejak ada anak. Kalau tak, tentu dah bercerai. Safuan sendiri tahu, Khaili banyak kekurangan! "

" Lia sendiri pun tahu. Safuan masih ada hati dengan Lia, cuma dia pendamkan. Konon nak jaga hati isteri. " Puan Zarina tertawa sinis. " Aunty kenal anak aunty macam mana. Dia tak cintakan Khaili macam mana dia cintakan Lia sampailah sekarang. Lia cubalah dekati Safuan semula, mesti Safuan akan pilih Lia, "

Aulia mengerut dahi. " Apa aunty cuba maksudkan? "

" Lia kahwin dengan Safuan, " ujar Puan Zarina serius. Dari raut wajahnya, wanita tua itu tidak main-main.

Wanita muda di hadapannya cukup sempurna. Aulia menantu idamannya berbanding Umaira sendiri. Tak mungkin akan dilepaskan kali ini.

" Macam mana dengan kak Umaira? Dia pun isteri Safuan juga. Kalau Lia berbaik semula dengan Safuan, dan kami kahwin. Lia akan bermadu dengan kawan baik sendiri dan jadi isteri ketiga! Lia tak nak jadi perampas! " Tumpah air mata Aulia.

Bertahun-tahun membawa diri pergi daripada lelaki yang paling dia cinta. Apabila dia kembali, Safuan bukan hanya bahagia bersama rakan baiknya malah sudah berkahwin dua. Kehadirannya pun ibarat orang asing di mata lelaki itu.

Air mata Aulia diseka. " Safuan tak ada perasaan pada Umaira. Aunty mengaku, memang salah aunty sebab satukan diorang. Tapi, sekurang-kurangnya Umaira menantu yang baik bukannya Khaili. Antara diorang berdua, tak ada yang boleh menandingi Lia, "

" Lia bukannya perampas. Safuan sememangnya lebih cintakan Lia. Lia pun layak bahagia. Begitu juga dengan Safuan. Percayalah, Lia boleh pujuk Safuan semula. Dia mesti akan mengalah juga, " Puan Zarina tak putus asa.

" Mana tahu, Safuan terbuka hati nak ceraikan salah satu isteri dia ataupun kedua-duanya. Safuan tentu sanggup lakukan apa saja demi Lia, "

Lama Aulia membungkam diri. Tangan mencengkam ke hujung baju menahan bibirnya yang terketar-ketar menahan sengihan.

" Lia pun sanggup buat apa saja demi Safuan. Lia tak sanggup hilang Safuan lagi, aunty. Dah lama sangat Lia tanggung rasa benci dengan Khaili! Kalau bukan sebab dia, mesti.. mesti Lia.. "

Pecah tangisan Aulia yang ditahan-tahan. Semuanya dilepaskan sambil memeluk erat tubuh wanita tua itu. Puan Zarina menggosok-gosok belakangnya, Aulia sudah diangkap anak sendiri. Hiba hatinya mengenangkan nasib Aulia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience