Beberapa tahun yang lalu..
Kebahagiaan rumah tangga Safuan dan Khaili bahagia tak sampai dua tahun. Safuan yang dikenali sebagai lelaki yang sangat romantik dan penyayang sudah menunjukkan wajah sebenarnya. Tiada lagi sifat seorang suami idaman Khaili pada Safuan, tinggal cuma Safuan yang bersikap dingin.
" Emak nak kita balik hujung minggu ni. Awak jangan lupa kemaskan barang-barang kita, " ujar Safuan seraya melangkah masuk ke dalam rumah.
Kasutnya dibiarkan di depan pintu. Khaili susun di rak kasut. Safuan terus menuju ke bilik. Khaili yang turut pulang dari kerja menuju ke dapur. Sudah jam 5:30 petang, waktu untuk dia memasak makan malam.
Sementara menunggu menanak nasi dan sup mereneh, Khaili memunggah bakul pakaian kotor dari bilik turun ke tingkat bawah. Tempat mencuci pakaian terletak bersebelahan dengan dapur. Pakaian kotor dimasukkan ke dalam mesin basuh automatik.
Khaili capai penyedut hampagas. Walaupun di rumah itu, mereka cuma tinggal berdua namun setiap hari Khaili perlu membersihkan habuk. Safuan mempunyai daya hidu yang sensitif, alahan terhadap habuk.
Khaili mengelilingi rumah bersama penyedut hampagas. Lantai, dinding, dan syiling semuanya siap dibersihkan daripada habuk. Dia lakukan setakat mana yang dia mampu dalam masa yang singkat.
Nasi pun siap masak. Api gas mereneh sup dipadam. Sayur yang sudah bersih dibasuh dipotong kasar. Bawang merah, bawang putih pula dihiris nipis. Bahan-bahan itu dileburkan ke dalam kuali. Bahan tambahan lain serta penambah perisa tidak dia lupakan. Kurang dari 5 minit, sayur tumis siap dihidang bersama sup ayam dan nasi panas.
Jam hampir menunjukkan pukul 8 malam. Dengan pantas Khaili berlari naik ke tingkat atas. Dia belum menukar pakaian kerjanya sebelum makan malam.
" Abang dah makan? " Soal Khaili melihat Safuan sedang mencuci tangan di singki. Tangannya yang basah direnjis-renjis.
" Dah, " jawabnya ringkas. " Abang dah lapar sangat tadi. Tunggu awak mandi, lama betul! " Safuan menapak ke tingkat atas semula. Pasti dia mahu membereskan kerjanya.
Khaili mengeluh perlahan. Matanya merenung ke singki. Pinggan, mangkuk, cawan, serta sudu dan garfu dibiarkan berlonggok tak dibasuh. Bertambah lagi kerjanya.
Sekurang-kurangnya dia lega. Safuan tidak lagi memberikan komen tak baik pada masakannya. Kelas memasak yang dia ambil membuahkan hasil! Dia tetap puas hati melihat suaminya dapat makan dengan berselera.
" Abang dah tidur ke? " Soal Khaili perlahan-lahan menolak daun pintu. Bilik gelap dan hanya disinari cahaya malap dari lampu tidur.
Safuan sudah berkeruh tidur sambil berselimut. Tentu sangat letih, berulang-alik dari rumah ke tempat kerja di luar negeri. Bukannya sesuatu yang mudah.
Berhati-hati Khaili melangkah masuk ke dalam bilik. Katil dipanjat. Seboleh-bolehnya dia tak mahu mengejutkan suaminya yang lena itu. Pernah sekali, Safuan mengamuk teruk seolah-olah seekor harimau yang sedang tidur dikejutkan.
Khaili mengiring membelakangkan Safuan. Mata baru hendak dipejam, terasa tangan miang Safuan menjalar ke tubuhnya. Hembusan nafas Safuan meniup ke cuping telinga. Tubuh Khaili dirangkul erat.
...
" Kahwin dah 5 tahun tapi seorang cucu pun aku tak dapat daripada kau, " wanita itu bersuara. Tajam matanya merenung ke wajah menantu yang tidak pernah menang tempat di hatinya.
Puan Zarina, wanita separuh abad dan merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki. Beliau turut digelar ibu mertua dari neraka oleh menantu-menantu perempuannya.
Umaira dan Khaili, dua orang menantu Puan Zarina yang sangat berbeza. Umaira, menantu yang pertama. Sopan santun, pandai menjaga hati mertuanya, sememangnya ciri-ciri menantu idaman Puan Zarina walaupun Umaira masih memiliki beberapa kekurangan.
Lain pula dengan Khaili, isteri kepada anak bongsunya.
" Belum ada rezeki lagi, mak. Nak buat macam mana? Kalau Khaili dengar, terasa hati dia, " ujar Safuan bersahaja. Lagi-lagi soal anak yang dibangkitkan emaknya. Dia naik muak.
Puan Zarina mengeluh, tak senang akan sikap anak bongsunya. Susah untuk memihak pada emak sendiri berbanding isteri. Hanya perasaan isterinya yang dia lebihkan. Emak pula macam mana?
" Mak ni bukan apa, Fuan. Anak mak ada dua je. Kau dengan arwah abang kau. Sekarang, tinggal kau seorang. Arwah abang kau cuma tinggalkan anak-anak perempuan. Kepada siapa lagi mak nak harapkan cucu lelaki? "
Pening kepala Safuan. Setiap kali pulang, ini saja yang dibualkan emak. Tak ada topik lain. " Mak, bukannya senang nak dapat anak, " balasnya sambil mengurut dahi.
" Ye, tak senang. Bini kau tu susah nak mengandung! Entah-entah mandul! " Puan Zarina menempelak.
" Aduh, mak! Apa cakap macam tu? Kuat suara mak, Khaili boleh dengar, " Safuan mengeluh.
Puan Zarina membungkam geram. Sakit benar hatinya mengenangkan Khaili. Menyesal kerana memberi restu untuk perempuan itu berkahwin dengan anak lelakinya.
" Eh, Ili kata nak hantarkan air mak, " ujar Umaira. Dulang berisi teko dan dua biji cawan teh itu diangkut ke dapur semula.
Khaili mencuci tangannya di singki. " Akak hantarkan. Biar saya yang masak, " kata Khaili. Rambut panjangnya diikat sanggul tinggi. Apron dipakaikan ke tubuh.
Mereka beralih tugas. Umaira menatang dulang itu. Waktu petang-petang begini ialah waktu minum teh ibu mertuanya. Dia turut menghidangkan biskut kering dan kuih yang dipanaskan.
Umaira mengukir senyum apabila matanya bertembung dengan sepasang mata Safuan. Teh panas dituangkan ke dalam cawan.
" Jemput minum, mak. Abang, " ujar Umaira. Sedikit kekok untuk dia membiasakan diri dengan panggilan baru itu. Sebelum ini, Safuan ialah adik iparnya. Sekarang, mereka suami isteri.
Tetapi, Umaira cuma berani memanggil suami barunya dengan panggilan istimewa hanya ketika Khaili tiada.
" Khaili mana? " Soal Safuan. Sekadar untuk kepastian.
" Ada di dapur. Dia kata dia nak masak, " jawab Umaira. Tak lekang senyuman di wajahnya. Yalah, tersipu-sipu malu di hadapan suami.
" Hmm.. Umaira nak masuk dapur. Nak tolong Khaili mana yang patut, " sambungnya lalu meminta diri. Inilah sikap semula jadi Umaira, Safuan hanya perhatikan.
Puan Zarina mengeluh berat. " Kesian mak mengenangkan kau berdua. Dah kahwin pun tetap kena rahsia, " katanya. Teh panas itu dicicip perlahan. Dengan hanya menghidu aroma teh itu, beliau tahu bukan air tangan Umaira.
" Kau bila nak bagitahu Khaili? "
" Sekarang bukan masanya, mak. Khaili mesti tak sedia, " ujar Safuan.
" Apa benda kau merepek ni? Nak tunggu dia sedia buat apa? Kau dengan Umaira dah dua minggu kahwin! Esok lusa kalau Umaira mengandung macam mana? "
*Pfft! Tersembur teh panas Safuan.
" Apa mak ni! Kami baru je kahwin, " balasnya.
" Baguslah, cepat bagi mak cucu. Nak harapkan bini kesayangan kau tu sampai mak mati pun tak ada, " selamba Puan Zarina membahasakan. Sebagai orang tua dalam keluarga, beliau ada hak.
" Sekarang ni, kau dah ada dua bini. Kena berlaku adil. Kau dengan Umaira baru je kahwin, lebihkan dia sikit. Pergilah honeymoon ke apa, untuk luangkan masa. Semuanya nak dah uruskan, "
" Lagipun, mak suruh kau seorang je yang balik. Bukannya bawa balik sekali bini kau! "
SUASANA makan malam agak riuh dengan kehadiran dua orang kanak-kanak perempuan. Mereka tak puas berlari sekeliling rumah, bergelak tawa tak ingat dunia, bila sudah lapar barulah menuju ke meja makan.
" Ayah dengan aunty nak bawa kitorang jalan-jalan tak esok? " Kakak yang sulung seorang yang peramah dengan semua orang.
" Hmm.. entahlah? Tanya aunty macam mana. Aunty yang drive, " Safuan sememangnya agak malas untuk melayan. Semuanya salah Khaili juga, gemar memanjakan mereka.
Khaili tersengih. " Er.. rasanya, "
" Naina, esok aunty kena balik. Tak dapat nak bawa Naina dengan Nelly jalan-jalan. Lain kali jelah, " Puan Zarina mencelah.
Berkerut dahi Khaili aneh. Entah bila masa perancangan dia dan Safuan begitu. " Abang? " Khaili menyiku lengan Safuan.
" Ye, sayang. Esok abang ada urusan kerja kat sini. Awak baliklah dulu. Abang nanti pinjam kereta arwah abang Saiful, " ujar Safuan agak gugup. Puan Zarina tak henti merenung tajam.
" Baiklah kalau macam tu. Boleh Ili pergi salon esok, " ujar Khaili.
Puan Zarina mengeluh. " Heh, Khaili! "
Tinggi suara Puan Zarina menjerkah. Terus semua terdiam. Selera makannya hilang, berubah menjadi marah.
" Sudah-sudahlah dengan perangai macam anak dara. Kau tu dah jadi bini anak mak. Buatlah perangai elok sikit. Dari awal kau berdua kahwin, memang tak berubah perangai kau, " selamba Puan Zarina menengking Khaili di hadapan Safuan dan Umaira serta dua orang kanak-kanaknya.
" Mak.. " Khaili tergamam hebat ditengking. Apa silapnya?
" Mak kasihankan anak mak. Kau sebagai isteri sepatutnya layan suami elok-elok. Tapi apa? Kau sibuk kerja, sibuk nak melawa! Sampai makan minum Safuan tak terjaga! Isteri jenis apa macam ni? Suami selalu terabai tapi kau asyik dengan dunia sendiri! Sebab itulah sampai sekarang kau tak beranak! "
Cemuhan daripada Puan Zarina itu terngiang-ngiang di fikiran Khaili. Lama dia termenung jauh. Dia buntu, di mana silapnya sebagai isteri dan menantu kepada keluarga itu?Hanya gara-gara dia tidak mampu memberikan zuriat kepada Safian.
" Janganlah fikir sangat apa yang mak cakap. Mak tu bagi nasihat je, " kata Safuan acuh tak acuh. Mungkin sibuk di tempat kerja ketika Khaili menelefon.
Khaili masih esak menangis. " Ili dah tak ada orang lain nak mengadu. Ili sedih, abang tahu tak? " Adunya. Di rumah, tinggal dia seorang sejak dia lari balik malam tadi.
" Ye, abang faham. Tapi, awak pun kenal mak abang tu macam mana. Dia risaukan kita, " lagi-lagi perkara yang sama diulang Safuan dalam bentuk ayat yang berbeza. Dia tak reti memujuk.
" Hmm.. yelah. Abang tengah busy kerja? "
" Ye, busy. Kenapa awak tiba-tiba call? Semata-mata nak mengadu fasal mak bebel? " Safuan tertawa menyinis.
" Tak, Ili call bukan sebab tu je, " ujar Khaili.
" Habis tu, apa? Cepatlah bagitahu, abang banyak kerja ni! " Keluh Safuan.
" Paip sinki bocor. Mula tadi Ili perasan kecil je, sekarang dah mula besar, " kata Khaili.
" Haih, bukan ke awak reti nak baiki paip? Selama ni pun awak tak mengada pun suruh abang tolong, " pening kepala Safuan.
" Habis banjir dapur? " Keluhnya. Boleh dengar suara halus isterinya tersedu-sedan menahan hiba. Masih belum habis drama air mata.
" Salur air tu Ili dah buka. Tak adalah banjir tapi paip singki tu menyembur, " jawab Khaili lalu menyambung, " tak tahu nak minta tolong siapa sekarang ni. Sudahlah sekarang pun waktu dah senja, "
" Yelah, abang call kawan suruh tolong, "
Berkerut dahi Khaili. " Nak ke dia datang waktu senja macam ni? Kenapa tak call tukang paip je? "
" Kebanyakan tukang paip sekarang, semuanya pendatang tanpa izin. Awak nak ke diorang masuk rumah? Macam-macam boleh berlaku, " ujar Safuan.
" Hmm, baiklah kalau macam tu. Kawan awak yang mana boleh tolong? "
Safuan mengeluh lagi, banyak pula soalannya. " Siapa lagi? Hariz, lah! Rumah dia pun tak jauh mana. Fasal paip ni dia memang tahu, " katanya.
Khaili pula mengeluh. Mendengar nama itu, buatkan dia tak senang duduk. Sejak peristiwa reunion zaman sekolah rendah kelmarin, hubungan dia dan lelaki itu tidak baik.
" Takkanlah abang nak dia datang rumah. Apa pula orang cakap? Tak eloklah, sudahlah Ili seorang je dalam rumah, " Khaili timbulkan alasan. Macam-macam perkara boleh berlaku. Tambah pula jika hanya berdua.
" Apalah awak ni. Nak fikir yang tak elok pasal Hariz? Kitorang dah kawan sejak di universiti lagi. Kalau pasal jiran-jiran, rumah kita bukannya dekat dengan jiran. Jauh! " Balas Safuan
" Abang.. "
" Sudahlah ni, Khaili. Abang ada kerja, takkan sampai malam pun nak bergayut ni? " Keluh Safuan lalu panggilan telefon itu dimatikan Saiful. Tak sempat Khaili memberitahunya sesuatu.
Tentu Safuan sangat sibuk di pejabat. Khaili tidak sepatutnya menganggu. Mujurlah Safuan tidak marah.
" Abang borak apa dengan Ili? " Soal Umaira sambil memeluk bahu lebar suaminya. Haba panas dari tubuh Safuan meresap ke tubuh Umaira. Dengan keadaan bilik yang berpenghawa dingin pun tubuh mereka berdua berkeringat.
Telefon diletakkan ke tepi. Wajah Umaira yang menggoda itu diusap lembut lalu bibir merahnya dilumatkan. Umaira memeluk leher Safuan dan perlahan-lahan tubuh mereka rebah ke ranjang.
Share this novel