3.

Romance Series 3558

Safuan tersenyum girang apabila kepulangannya disambut baik oleh dua orang kanak-kanak perempuan. Mereka berlumba-lumba mendapatkan Safuan. Tubuh Safuan dipeluk erat seakan tidak mahu lepas.

" Ayah! " Rengek dua beradik itu. Terlalu rindu terhadap si ayah yang sudah lama tidak pulang ke rumah.

" Abang, "

Wanita ibu kepada dua beradik itu tersenyum manis. Tangan Safuan disalam dan dikucup lembut. Kepulangan Safuan tidak hanya disambut baik dua orang kanak-kanak itu malah, isterinya juga.

" Lama kau tak balik sini, Fuan? " Lain pula ragam emaknya. Tidak ada senyum pun terukir di wajahnya. Hanya kerutan kening.

" Nak buat macam mana, mak? Fuan sibuk kerja. Kesian pula kat Khaili, takkan nak tinggalkan dia berdua je kat rumah, " ujar Safuan.

" Bini kau tu je kau kisahkan. Bini kau yang kat sini macam mana? Emak dengan budak-budak ni pula? Engkau asyik nak melebihkan Khaili tu je. Kau kena sedar, isteri kau dua orang! " Keluh emak, marah. Sememangnya emak patut marah, yalah sudah lebih sebulan dia tidak pulang ke rumah ini.

" Mak, Khaili masih tak tahu apa-apa, "

" Itu masalah kau, Fuan. Kalau dari awal kau bagitahu dia, tak adalah kami kat sini terabai! " Bentak emak lalu melangkah masuk ke dalam rumah.

" Emak.. " lembut suara ibu dua anak itu memanggil emak.

Safuan menghela nafas berat. " Jomlah, kita masuk, " ujarnya kepada dua orang kanak-kanaknya itu.

Safuan nampaknya sangat bahagia apabila kepulangannya disambut mesra. Sayu mata Khaili merenung ke rumah itu dari tingkap kereta. Tak salah lagi, dia diduakan suami sendiri.

" Kau kenal ke siapa perempuan tu? " Soal Hariz sebelum memandu kenderaannya melewati rumah itu. Dia sedar, air muka Khaili yang berubah 100%.

Agak lama Khaili berdiam. " Isteri arwah abang ipar aku. Biras aku, Umaira, " jawabnya.

" Budak-budak tu? " Soal Hariz lagi. Lantang lidahnya.

" Anak-anak arwah abang Safuan dan Umaira, " agak berat suara Khaili.

Hariz merenung sisi wajah Khaili. Dia sedar, mungkin tak sepatutnya dia masuk campur dalam rumah tangga sahabatnya. Tetapi, penipuan Safuan sudah pun berlanjutan hingga 2 tahun. Khaili berhak untuk tahu.

" Aku tak sangka. Setiap kali balik kampung, atau balik raya. Aku berhadapan dengan madu aku sendiri! " Luah Khaili. Jatuh berjujuran air matanya. Dia gagal menahan lagi.

" A—aku minta maaf sebab tak bagitahu dari awal, " ujar Hariz. Dia memberhentikan keretanya. Nafas dihela perlahan.

Air mata Khaili diseka dengan kain sapu tangannya. Tak sanggup dia melihat wanita itu tersakiti begitu lama. Entah bagaimana Safuan boleh memainkan watak sebagai suami mithali begitu bagus?

" Tapi, sekurang-kurangnya kau dah tahu perangai sebenar Safuan, "

" Hariz, " tangan Hariz ditepis lemah. Sapu tangan itu dirampas dan menyeka air matanya sendiri.

Keadaan jadi agak kekok untuk mereka berdua. Kalau bukan Hariz yang mendesak Khaili, entah sampai bila pun Khaili tidak tahu Safuan beristeri dua. Gambar dan segala bukti Hariz ada, satu pun Khaili tidak percaya hinggalah terpampang di depan mata.

" Aku nak balik, Hariz. Azim tinggal kat rumah, " ujar Khaili. Dia melarikan wajah sembabnya.

" Azim selamat dengan maksu aku, " balas Hariz seraya mengoyakkan senyum pada Khaili. Dia mula memandu.

Sepanjang perjalanan mereka, Khaili tak lepas memandang ke luar. Tidak sedikit pun dia menoleh ke tempat pemandu. Hariz turut diam, memberikan Khaili sedikit ruang untuk memujuk hati.

Kereta diparkir di luar perkarangan rumah banglo itu. Dari jauh sudah kelihatan batang tubuh Kak Suri menanti di luar rumah sambil mendukung bayi yang esak menangis.

" Khaili! " Tak sempat untuk Hariz menahan Khaili.

Khaili berlari keluar dari kereta. Dia melulu masuk ke dalam rumah. Hariz segera mengejar dari belakang.

" Apa dah jadi ni, Riz!? Apa kamu dah buat!? " Soal Kak Suri cemas. Wanita itu tidak tahu menahu. Melihat pula wajah Khaili yang sembab gara-gara menangis, menambahkan tanda tanya.

" Nanti Riz terangkan! " Balas Hariz, di masa yang sama dia mengambil Azim dari ibu saudaranya dan meninggalkan wanita itu terpinga-pinga.

" Hariz! Jangan kau masuk campur hal rumah tangga orang! " Teriak Kak Suri hampir hilang sabar.

...

" Khaili! " Sempat pergelangan tangan Khaili dipegang sebelum dia melangkah ke tingkat atas. Azim yang didukung Hariz melalak semakin kuat.

" Apa kau nak lagi? Cukuplah apa yang aku dah nampak tadi! Kau nak aku berterima kasih pada kau? " Bentak Khaili. Tangan Hariz ditepis kasar.

" Tinggalkan Safuan, itu yang aku nak, " kata Hariz nekad.

Berkerut dahi Khaili. Cukuplah hatinya yang kini sudah cukup disakiti, ditambah lagi dengan ayat mengarut dari Hariz.

" Kau merepek apa, Hariz? "

" Minta cerai pada Safuan dan kahwin dengan aku, " Hariz ulangi lagi.

Laju Khaili menggeleng. Tak mungkin dia akan meninggalkan suaminya. Ya, hatinya sudah pun berkecai namun Safuan tetap lelaki yang dia cinta.

" Setelah apa yang Safuan dah buat? "  Hariz semakin kuat mencengkam pergelangan tangan Khaili.

" Dia tetap suami aku! " Khaili meronta.

" Setelah apa yang dah jadi antara kita!? " Tempik Hariz.

Khaili tersentak, air matanya menitik lagi. Fikirannya mengimbau dosa-dosa yang telah dia lakukan membelakangkan suami.

" Bahkan kau ada anak dengan aku! Apa Safuan akan rasa bila dia dapat tahu Azim bukan anak dia!? Kalau sampai Safuan tahu, dia pasti akan ceraikan kau! " Jerkah Hariz. Lantas menyebabkan Azim menangis di dalam pelukannya.

" Bukan salah aku. Semuanya gara-gara kau! Kalau kau tak rogol aku hari tu, benda ni takkan terjadi! Aku maafkan kau itu pun dah cukup baik! " Bentak Khaili. Rasa marahnya masih tersisa banyak. Melihat wajah Hariz yang berlagak tidak bersalah itu membuatkan Khaili cukup sakit hati.

Khaili tertanya-tanya setiap masa, bagaimanakah lelaki itu boleh bersikap selamba di hadapan dia mahupun Safuan. Rumah tangga mereka boleh runtuh gara-gara Hariz, lelaki paling tak guna!

" Kau maafkan aku? " Hariz tertawa. " Mestilah, gara-gara aku jugalah kau dapat beri suami kau anak yang dia mahukan. Kau pun sedar, kan? Safuan tak mampu, "

" Sudahlah, Hariz! Apa yang kau cuba buat sebenarnya!? " Nada suara Khaili meninggi. " Bagi anak aku! " Dia lantas merampas Azim. Hariz tak layak pun menganggap Azim itu anaknya.

" Khaili! " Teriak Hariz. Lengan Khaili sempat diraih. " Aku nak kau! Aku nak anak kita! Kau tak sepatutnya kahwin dengan Safuan dari mula. Kita yang sepatutnya bersama. Safuan dah rampas kau daripada aku! " 

Naik turun dada Khaili. Nafasnya sesak.

" Aku tak pernah suka kau! " Tempik Khaili.

Tubuh Khaili dipeluk erat. Khaili tetap meronta dalam pelukannya. Ubun-ubun Azim dikucup Hariz agak lama dengan mata yang pejam. Rambut panjang Khaili diusap perlahan.

" Tak guna pun kau nak menafikan lagi. Aku tahu.. Azim, anak kau yang lahirkan ini ialah anak aku bukannya Safuan. Aku minta maaf, Khaili atas apa yang telah terjadi. Memang salah aku tapi aku terlalu sayangkan kau, " tutur Hariz.

Lidah Khaili kelu. Segala sendiri terasa lemah dalam pelukan erat itu. Raut muka, warna kulit, juga bentuk badan Azim semuanya saling tak tumpah seperti Hariz. Apa yang Khaili cuba nafikan lagi?

" Hariz.. "

" Cukuplah, Khaili. Jangan seksa aku lagi. Tak kisahlah jauh mana pun kau cuma untuk lari, aku akan tetap cari sampai ke lubang cacing! "

" Maafkan aku, Hariz. Safuan tetap suami aku. Sampai bila-bila pun kau takkan pernah ada dalam hati aku, " ucap Khaili tepat ke muka Hariz seraya meleraikan pelukan itu. Tubuh genit Azim dirampas.

" Andai aku dan Safuan berpisah sekali pun, aku takkan pilih kau dan aku tetap anggap Azim sebagai anak Safuan, " kata Khaili lagi. Dia nekad, sebagai hukuman kepada dia, Safuan, dan Hariz. Tanpa dia sedari, hukuman terhadap Azim sendiri, anak yang tidak bersalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience