BAB 3

Horror & Thriller Completed 708

Tok! Tok! Tok! Pintu itu diketuk lagi. Razif terus memulas tombol untuk membukanya. Masih tidak dapat dibuka. Padahal, dia sudah membuka kunci pintu tersebut!

“Kenapa ni? Siapa di luar? Jangan main-mainlah!” Hati Razif sudah mula memanas. Dia mengesyaki ada orang cuba mempermain-mainkannya.

Razif melepaskan tombol. Dia berasa tangannya agak kebas. Tiba-tiba tombol itu bergerak-gerak seperti dipulas orang dari luar.

Bam! Pintu itu terbuka seperti ditendang orang. Angin sejuk pantas menceroboh ke dalam rumah. Razif kesejukan. Anehnya, tidak ada sesiapa pun di depan pintu itu.

“Woi, kalau nak main-main, biar bertempat! Kurang ajar betul! Dah malam dah ni!” Razif mula berleter. Dia sudah tidak tahan lagi dengan gurauan seperti ini.

Persoalannya, siapakah yang sedang bermain-main dengannya? Adakah budak tadi, atau kawan-kawannya? Razif anak tunggal. Ibu bapanya pula cuma akan balik dua hari lagi. Razif tidak dapat ikut kerana dia masih bersekolah.

Tahun ini dia akan menghadapi peperiksaan SPM. Kelas tambahan sentiasa ada pada waktu petang. Takkan kawan sekolahnya pula yang datang pada malam-malam begini. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 12.15 tengah malam.

“Lantak engkaulah! Aku dah malas nak layan.”

Razif menutup pintu. Menguncinya. Kemudian, Razif berlalu meninggalkan ruang tamu itu.

Tok! Tok! Tok! Pintu diketuk lagi. Pada ketika itu, Razif baru sahaja hendak naik ke tingkat atas.

“Berambus!”

Tok! Tok! Tok! Razif memasang telinga. Mendengar betul-betul bunyi tersebut. Ketukan itu bukan dari luar rumah. Ketukan itu, dari dalam rumah! Oh, Tuhan. Ada sesuatu di dalam rumah! Bulu roma Razif kembali menegak. Belakang tengkuknya terasa seram sejuk, seperti ada sesuatu menghembuskan ketakutan ke dalam dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience