CHINTA 3

Romance Series 6820

Chinta mengayuh basikalnya perlahan-lahan di tepi tali air itu. Matanya membelingas ke sana ke mari. Seolah-olah mencari sesuatu. Namun wajah yang dicarinya tidak kelihatan.

Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambutnya yang diikat dengan getah berwarna merah kiri dan kanan, bergerak-gerak kiri dan kanan mengikut gerak kepalanya.

“Mak Yong! "

Demi terpandang wajah seorang wanita yang terjengul di celah-celah tanaman sawah padi yang saujana mata memandang itu, suara Chinta sedikit melengking.

“Mak Yong! "

Suara Chinta begitu tinggi sekali dab kali ini Mak Yong yang sedang leka menanam padi, mengangkat mukanya.

“Chinta... ”

Mak Yong membalasnya sambil melambai-lambaikan tangannya. Tidak lama kemudian Chinta menyorong basikalnya dan meratapi Mak Yongnya yang sedang duduk mengelap peluh di tubir tali air di bawah rimbunan pokok bambu yang ditanam di tepi tali air itu.

“Kamu dari mana? Kenapa cari Mak Yong sampai ke sini? "

Tanya wanita yang berusia pertengahan 40-an itu sambil matanya merayap merenung wajah Chinta tidak menjawab namun mangkuk tingkat yang berada di tangan dihulur kepada Mak Yong. Dia kemudian menongkat basikalnya.

“Emak suruh bagi kat Mak Yong. Mak Yong bawak bekal tak? "

Tanya Chinta sambil duduk di sebelah Mak Yongnya. Matahari pukul 11 sudah cukup menyengat dan membuat kulitnya seperti terbakar. Namun Chinta tidak peduli. Apabila emaknya menyuruh menghantar makanan kepada Mak Yong, walaupun panas, cepat sahaja Chinta bersetuju.

“Mak Yong ada bawak bekal emping kelapa pagi tadi. Apa yang emak kamu bekalkan tu? "

Tanya Mak Yong pada Chinta. Mak Yong adalah kakak kepada ayahnya. Wanita yang sudah menjanda sejak kematian suaminya, tidak mempunyai sebarang zuriat. Sebab itu emak Chinta selalu risaukan wanita yang mengusahakan bendangnya sendiri itu.

“Ada rendang ayam dengan ketupat. Emak masak pagi tadi. Hari ni emak nak pergi tengok Abang Rodin di asrama. ”

Beritahu Chinta sambil membuka mangkuk tingkat itu satu per satu. Bau rendang semerbak menerpa keluar dari mangkuk tingkat. Menyebabkan Mak Yong yang belum lapar, merasa perutnya berkeroncong.

“Emak kamu nak pergi melawat Rodin ke? Pukul berapa dia nak pergi? ”

Mak Yong tahu, setiap dua minggu atau sebulan sekali, adik dan adik iparnya pasti akan membonceng motosikal, melawat anak sulung mereka yang berada di sekolah asrama penuh di Taiping.

“Lepas Zohor... "

“Habis, kamulah yang menjaga Naila dan Faiz tu nanti? "

Tanya Mak Yong. Tanpa menunggu jawapan daripada Chinta, dia mencapai sesuatu dari dalam bakul yang berada di sebelahnya lalu diberikan kepada Chinta.

“Mak Yong nak tolong jaga? ” usik Chinta menyebabkan Mak Yong ketawa.

Chinta membuka bungkusan yang dihulurkan Mak Yong sebentar tadi. Demi melihat emping yang dicampur dengan kelapa dan gula merah, dia menelan air liurnya.

“Boleh. Nanti Mak Yong datang ke rumah kamu. Sedap nampaknya ayam ni. Sejak Rodin duduk sekolah asrama, dah habis agaknya ayam emak kamu. Tiap-tiap bulan kena sembelih. "

Menyeringai leher Chinta dengan andaian Mak Yong yang dirasakan ada benarnya. Pantas saja dia mengesat telapak tangannya dengan bajunya dan mencekup empinh yang terbuka di hadapannya.

“Anak dara! Air di tali air tu banyak... Pergi basuh tangan! ” sergah Mak Yong.

Namun Chinta tidak peduli. Dia hanya memerhatikan Mak Yongnya bangun dan menuju ke tali air. Mencelupkan tangannya ke dalam tali air yang airnya memenuhi hampir sampai ke jalan.

“Alah... perut Chinta, tangan Chinta, Mak Yong... Kalau kotor pun, kotor dari tangan Chinta sendiri... ”

Balas Chinta tenang dengan sedikit menjerit menyebabkan Mak Yong yang sedang berjalan ke arahnya semula, menyeringai lebar mendengar jawapan anak buah kesayangannya.

“Ayah kamu tu sayang sungguh dekat abang kamu.. "

“Alah, Mak Yong pun sayangkan Chinta, kan? "

Jawapan tersebut menyebabkan Mak Yong tersengih lebar... Chinta memang selau menyenangkan hatinya. Bahkan kehadiran Chinta acap kali menyebabkan hatinya begitu gembira sekali.

“Sayang... Kamu dah macam anak Mak Yong sendiri.... ”

Mak Yong sudah membaca bismillah dan kemudian memasukkan sepotong ketupat ke dalam mulutnya. Dia mengunyah perlahan seolah-olah menikmati masakan adik iparnya itu dengan sesungguh hatinya.

“Tapi Rodin tu bukannya selalu balik ke rumah. Cuti pun kadang-kala tak balik. Macam tak suka aje dengan kamlung ni... Kenapa? ”

Chinta tidak dapat menjawabnya. Dia leka menikmati emping kelapa bergula itu. Walau makanan itu selalu dimasaknya, namun dia tetap suka. Apatah lagi emping emak saudaranya yang selalu dipilih daripada padi muda yang segar dan besar.

“Kamu nanti jangan jadi macam abang kamu. "

Mak Yong menambah. Namun Chinta tidak berkutik. Kalau dia berkata walau sedikit pun, Mak Yong akan terus-terusan membebelkan abangnga. Dia tahu, Mak Yong sedah lama berbulu dengan sikap si abang ya sering besar diri hanya kerana berjaya masuk ke asrama di Taiping itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience