CHINTA 4

Romance Series 6820

Penat sungguh Raja Haidar rasakan hari itu. Setahun yang lalu dia baru sahaja membina kilangnga. Kilang makanan yang terletak di Petaling Jaya itu baru dibelinya dari seorang rakannya dari Taiwan yang mahu pulang semula ke tanah airnya.

Jadi dia mengambil alih segala pentadbiran dan juga segala produk yang terdapat di kilang tersebut. Banyak produk yang tidak begitu digemarinya yang dihasilkan oleh kilang tersebut terpaksa disingkirkan dari senarai makanan yang mahu dikeluarkan oleh kilang yang baru diambil alihnya.

Jadi dia perlukan beberapa idea kritis untuk menghasilkan produk terbaru.

“Ayah nampak penat sungguh? "

Tanya Raja Akid apabila melihat si ayah seperti kelelahan. Sudah beberapa kali dia mengikuti si ayah melihat kilang tersebut sebelum dan selepas diambil alih. Dia tahu banyak kerja yang harus dilakukan si ayah demi mahu melihat kilang tersebut maju.

“Penat. Emak kamu ke mana? Ambilkan ayah air, boleh? "

Raja Akid tidak membantah. Sedar sejak akhir-akhir ini mereka kehilangan pembantu rumah lagi. Tidak tahu kenapa si pembantu rumah senyap-senyap melarikan diri.

“Emak ke mana ayah? " tanya Raja Akid.

Sejak balik dari sekolah tadi, dia tidak melihat kelibat si emak. Menurut kata si ayah, emaknya ke kelab berjumpa kawan-kawannya. Seperti biasa, ayahnya tidak pernah rasa gusar dengan ketiadaan si isteri.

“Biasalah tempat dia lepak. Kamu tak jumpa dia tadi? "

Raja Haidar mengerling pada jam yang berada di dinding. Sudah pukul 10.00 malam.

Bukankah itu perkara biasa isterinya tidak ada di rumah?

“Tak. Dari saya balik sekolah pukul dua tadi sampai sekarang emak belum balik-balik. ”

“Dari pukul dua? ”

Sedikit melengking suara Raja Haidar tetapi tidak kuat. Dia bukan lelaki yang retan hatinya. Tetapi apabila mendengar si isteri tidak balik dari pukul 2 petang, menyebabkan dia merasa seperti ada yang tidak kena.

“Kamu makan di mana? " tanya Raja Haidar.

Dia mempunyai dua orang anak. Anak perempuan sulungnya sudah berada di luar negara. Sekarang hanya Raja Akid yang tinggal bersama dia dan isteri. Selepas anaknya itu mengambil peperiksaan, dia mahu menghantar anak itu ke luar negara juga.

“Makan di rumah Jessi.. "

Balas Raja Akid sambil menyeringai lebar. Sejak beberapa tahun ini, sudah berapa ramai pembantu rumahnya hilang dan pergi begitu sahaja. Setiap kali pembantu rumahnya pergi, rumahnya pasti tidak berasap. Jadi dia makan di rumah Jessi yang emaknya bekerja sebagai pembantu rumah di rumah jiran sebelah.

“Jangan selalu makan di rumah Jessi. Kamu ada duit, belilah makanan. Bawa balik. Mak kamu tu, dulu masa jadi pembantu rumah rajin masak. Tapi sejak berkahwin, malas sungguh mahu memasak. "

Balas Raja Haidar sambil menyisip air yang dibawa oleh si anak untuknya. Tidak lama kemudian dia masuk ke dalam bilik. Mahu mandi dan mengerjakan solat isyak.

Sebaik masuk, dia berdiri di hadapan cermin meja solek, membelek wajahnya seketika di hadapan cermin.

“Eh, jam siapa ni? "

Raja Haidar terlihat seutas jam tangan berada di atas meja solek tersebut.

Selama ini dia tidak pernah memakai jam tangan. Selalunya dia memakai jam yang disisip di poket bajunya atau diletakkan di dalam poket seluar.

“Agaknya Shima belikan untuk aku.. ”

Hatinya berdetik. Isterinya itu suka membeli-belah. Bahkan kadangkala membeli barang yang tidak diperlukan.

“Agaknyalah tu... ”

Hati Raja Haidar tanpa prasangka, memasukkan jam tangan tersebut ke dalam beg kerjanya.

Dia teringat, beberapa hari yang lepas dia terjumpa sapu tangan linen di atas katilnya. Dia juga menganggap itu hadiah daripada isterinya. Diambil dan dimasukkan ke dalam beg kerjanya.

Dia kemudian masuk ke dalam bilik air. Mandi dan kemudian keluar bersolat.

Usai sahaja dia memberi salam, Puan Shima, isterinya menolak pintu bilik. Denga. Tersenyum lebar menegurnya.

“Abang dah makan? "

Puan Shima duduk bersimpuh di sebelah suaminya sambil menyalami si suami.

“Sudah, di kilang tadi. "

“Shima tahu, abang mesti dah makan. Sebab tu Shima tak masak. Shima minta maaf sebab lambat balik. Shima minta maaf, ya bang... ”

Puan Shima menghulurkan tangannya. Raja Haidar hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

Dia sedar, sejak dahulu lagi dia selalu meninggalkan isterinya sendirian sehingga jauh malam. Dia benar-benar merasa bersalah dan kerana rasa bersalah itulah dia hanya membiarkan sahaja isterinya keluar mencari hiburan sendiri.

“Awak dah solat? "

“Sudah. Di luar tadi, di rumah Datin Suliza.. "

Balas Puan Shima sambil bangun. Wajahnya riang dengan senyuman yang menawan. Menyebabkan Raja Haidar tidak pernah memikirkan yang buruk-buruk terhadap isterinya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience