CHINTA 2

Romance Series 6820

“Akid! Akid! ”
Jessi menjerit-jerit memanggil Raja Akid. Matanya meliar melihat dari luar pagar rumah banglo di hadapannya.

Mana Raja Akid ni..? Ke mana Raja Akid pergi? Bukankah Raja Akid berjanji mahu bermain dengannya hari ini?

“Akid! Akid! ”

Jessi memanggil lagi. Dia kemudian masuk ke dalam rumah yang pintu pagarnya tidal berkunci. Kenapa pintu pagar tidak berkunci?

Ahh... bukankah sudah menjadi kebiasaan pintu pagar rumah Raja Akid tidak berkunci? Bukankah dia selalu terus masuk sahaja?

Fikir Jessi dalam hati sambil kepalanya seperti kura-kura yang keluar dari cengkerangnya.

Mungkin Akid tak ada di rumah...

Selalunya kalau lelaki itu tidak ada di rumah, jarang dia datang ke situ.

Yalah... buat apa dia datang ke situ kalau sahabatnya itu tidak ada. Mahu berbual dengan emak Akid?

Huh... kuss semangat! Wanita yang berbadan ramping dan suka memakai kebaya itu akan menjelingnya seolah-olah dia ada berbuat salah. Bahkan kalau dia bercakap kuat-kuat dan ketawa-ketawa dengan Raja Akid, perempuan itu akan menunjukkan wajah tidak suka.

“Kenapa emak kau jeling-jeling aku? Macam dia tak suka aje aku datang? ”

Pernah Jessi bertanya pada sahabatnya itu. Sedar akan diri yang tidak sama darjatnya dengan si sahabat.

“Tak... dia sakit mata hari ini kut, " seloroh Raja Akid ketawa-ketawa.

Menyinga Jessi dengan jawapan tersebut. Setiap kali soalan itu diajukan, setiap kali itulah jawapan yang sama diterima.

“Kau ni memang tak senonoh. Masakan setiap hari emak kau sakit mata? ”

Jessi menjengilkan matanya dam seperti biasa Raja Akid hanya ketawa-ketawa sahaja.

Jessi terbayangkan wajah emak Raja Akid yang kelihatan begitu lemah lembut sekali. Tetapi sesekali wanita itu membuka mulut, akan dengar suaranya yang kasar dan melengking. Menakutkan sesiapa yang tidak biasa dengannya.

Dengar cerita, emak Raja Akid dahulu merupakan pembantu rumah di rumah keluarga Raja Haidar, ayah kepada Raja Akid. Mereka kemudian jatuh cinta dan berkahwin.

Namun perkahwinan mereka tidak direstui oleh ayah Raja Haidar menyebabkan Raja Haidar tersingkir dari wasiat ayahnya untuk mewarisi harta.

Namun Raja Haidar seorang yang agak bijak. Dia kemudiannya membuka kilang makanannya dengan pinjaman bank dan berjaya menjadi usahawan yang berjaya.

Dan kerana cinta Raja Haidar sanggup berkorban harta benda. Itu yang diceritakan oleh Raja Akid kepada Jessi.

Raja Haidar yang berkulit hitam itu memang sekali pandang orang akan mengatakan dia orang kebanyakan. Bahkan orang pasti menganggap lelaki itu paling tinggi pun berkerja di pejabat kerajaan sebagai budak pejabat.

Sedangkan Puan Shima yang bertukar nama kepada Puteri Shima selepas berkahwin dengan Raja Haidar, berwajah cantik dan bertubuh ramping.

Sebab itu agaknya Raja Haidar sanggup melakukan apa sahaja untuk perempuan tersebut.

“Hoiii... Akid! "

Sekali lagi Jessi menjerit dan sudahnya kali ini dia melangkah masuk. Ada kereta di halaman rumah. Dia terus berjalan ke bilik Raja Akid yang berada tidak jauh dari bahagian dapur. Mahu melihat kalau-kalau Raja Akid berada di situ.

Tertenjet-tenjet dia berjalan. Takut kehadirannya disedari oleh emak Raja Akid yang Jessi pasti ada di rumah. Memandangkan kereta Puan Shima ada di situ.

“Hehehe... hahaha... "

Ketika melalui satu bilik di rumah banglo itu, Jessi mendengar kekehan keluar dari bilik tersebut.

Meremang bulu roma Jessi. Di kepalanya tebayangkan wajah-wajah yang menakutkan.

Hantu! Hati Jessi berbisik.

Baru sahaja dia memasang kuda-kuda mahu lari, dia terdengar pula suara perempuan yang begitu manja sekali.

“Alah, you ni nakallah... ”

Itu suara manusia! Masakan hantu boleh bercakap dengan suara yang manja begitu? Kalau hantu Cina lagilah... sudahlah tidak bercakap, hanya melompat-lompat sahaja. Itu pun pada waktu malam seperti yang pernah digambarkan di dalam televisyen.

Lagi pula sekarang waktu tengah hari. Sempat Jessi berfikir dan bulu romanya yang tadinya merinding, turun semula.

“Cepatlah... cepatlah sayang... Jangan buat I macam ni... "

Tadi suara perempuan, sekarang ini suara lelaki. Suara perempuan tersebut seperti Jessi kenali. Tetapi suara lelaki itu suara siapa?

Suara Raja Haidar selalunya perlahan dan lemah lembut. Lelaki yang tidak banyak bercakap itu memang mempunyai ton suara yang begitu rendah.

“Sekejaplah... ”

Sah itu suara Puan @ Puteri Shima! Suara tersebut agak garau walaupun suaranya direndahkan.

“Nanti suami you baliklah... Cepatlah sayang.."

Jessi yang sudah tegak di sebelah tingkap bilik tersebut mendengarnya dengan begitu teliti sekali.

Sudah berapa bulan rumah tersebut tidak ada pembantu rumah. Kali terakhir pembantu rumah dari Siam itu sudah dihalau oleh Puan Shima.

Jessi tidak tahu apa puncanya. Cuma yang dia tahu, maki hamun Puan Shima itu boleh didengari sampai ke rumah sebelah.

“Alah... dia balik lambatlah. Dia ada dekat kilang tu sampai malam. You bukan tak tahu, dia sayangkan kilang tu lebih daripada dia sayangkan I... "

Jessi sudah membongkok dan menguak sedikit langsir yang tingkapnya sedikit terbuka do tempat dia berdiri itu.

Matanya meliar ke dalam bilik yang dia rasa bilik tamu. Dia tidak nampak apa-apa. Matanya kemudian dihala ke kanan dan kiri. Cuba mencari suara yang didengarnya sebentar tadi.

Tiba-tiba matanya terbeliak. Jantungnya seolah-olah berhenti berdenyut dan Jessi rasa seperti mahu pengsan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience