CHINTA 6

Romance Series 6519

Hari ini hari sabtu, pagi-pagi lagi Chinta sudah bangun. Kalau cuti begini, ada tugas-tugas tertentu menanti dia di rumah.

Selepas bersolat subuh, dia akan membantu emaknya di dapur menyediakan sarapan pagi. Kemudian dia membantu emaknya mencuci pakaian di perigi, memandikan adiknya dan memenuhkan tempayan dengan air perigi.

“Akak, cepatlah kak... Sejuk! "

Chinta yang sedang mencedok air di perigi hanya ketawa melihat adiknya, Faiz menggeletar kesejukan. Sebentar tadi dia sudah menyiram air satu timba ke tubuh adiknya dan sekarang ini timba yang terakhir.

“Kalau tak, biar Faiz tolong cedokkan.. "

Faiz yang berusia sepuluh tahun itu cuba merampas tali timba dari tangan Chinta. Chinta mengelak perlahan.

“Sekejap. Sekarang musim kemaraulah, dik. Nanti Faiz jatuh dalam perigi. Berdirilah sekejap. Itulah... tadi akak cakap, mandilah dekat dapur tu, tak mahu... ”

Chinta menceberkan bibir pada adiknya. Faiz memeluk tubuh memerhatikan kakaknya yang masih terkial-kial cuba menarik air di dalam timba.

Purrr....

Belum sempat Faiz berkata apa-apa, satu simbahan air sudah sampai ke kepala dan badannya.

“Akak!!! ”

Faiz menjerit kuat menyebabkan Chinta ketawa mengekek. Mencicit Faiz berlari pulang dengan badannya yang basah dan tidak dikeringkan.

“Faiz, lap badan dulu! "

Jerit Chinta. Namun permintaanya itu langsung tidak dihiraukan oleh Faiz. Bahka tubuhnya semakin menghilang di balik rimbunan pokok ubi kayu.

“Faiz! Faiz!!! "

Chinta ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Dia kemudian mencedok air di dalam perigi tersebut dan memasukkan ke dalam dua baldi yang dibawanya dari rumah tadi.

“Apa yang terjerit-jerit tadi? "

Satu suara garau menyergah menyebabkan Chinta yang sedang sibuk mencedok air dari perigi hampir terlepas tali timbanya.

“Tak ada apa, ayah.. "

Balas Chinta tenang walaupun dadanya rasa begitu gemuruh kerana sergahan si ayah tadi.

“Dah jadi anak dara begini besar, terjerit-jerit macam orang gila. Kamu jangan jadi perempuan jalang pulak nanti.. "

Mata Chinta terkebil-kebil merenung si ayah yang berdiri bercekak pinggang di hadapannya.

Bukannya ayah seharusnya berada di tempat kerja sekarang ini? Hari ini hari Sabtu. Bukankah ayahnya bekerja pada hari Sabtu?

Ayahnya berkerja sebagai seorang kerani di salah sebuah jabatan kerajaan dan dia pasti hari ini bukan hari cuti.

“Ya, ayah. Ayah tak kerja hari ni? "

Seperti biasa, Chinta masih hormatkan ayahnya itu walaupun kadangkala dia marah dengan sikap lelaki yang selalu mencari kesalahan dirinya.

“Kamu peduli apa aku kerja tak kerja! Cepat cedok air ni, jangan terhegeh-hegeh dekat sini. Karang ada jantan yang menengok, kamu layan.."

Kata-kata kesat dari mulut lelaki itu menyebabkan Chinta terkebil-kebil. Dia benar-benar tidal faham dengan kata-kata ayahnya itu. Siapa yang mahu lalu di belakang rumah mereka? Bahkan tempat tersebut tersorok jauh dari orang ramai.

Apalah ayah ni... cakap yang bukan-bukan. Macamlah aku tak ada kerja lain!

Chinta berbicara dengan dirinya sendiri. Mendongkol hatinya dengan sikap si ayah yang kerap kali buruk sangka.

“Kamu jangan nak berkurang ajar tengok aku macam tu. Kamu ingat kamu siapa? "

Chinta langsung tidak berkutik. Dia tahu kalau dia membuka mulut dan bergerak dengan cara yang betul sekalipun, kalau disalah tafsirkan oleh si ayah, dia mungkin akan dimarahi lagi oleh si ayah.

“Kenapa kamu diam? "

Melihat Chinta yang hanya diam sambil mencedok air, lelaki yang bertubuh kurus itu membeliakkan matanya. Seolah-olah tidak puas hati dengan tindakan si anak yang berdiam diri.

“Hei, Chinta! Aku bercakap dengan kau! Kenapa kau diam? Kau pekak agaknya? "

Mata Chinta terkebil-kebil merenung si ayah dengan pandangan serba salah. Kalau dijawab kata si ayah, padah dia nanti. Tidak dijawab pun dia sudah dimarahi begitu, kalau menjawab lagi terukalah...

“Maafkan Chinta, ayah... "

Itu sahaja yang boleh dituturkan oleh Chinta ketika ini walau dia sendiri tidak tahu untuk apa dia memohon maaf dari lelaki tersebut.

“Kamu jangan nak berkurang ajar dengan aku!"

Lelaki itu beredar sebaik sahaja berkata begitu. Chinta mengiringi pemergian ayahnya dengan anak matanya.

Hatinya benar-benar merasa lega.

“Apa yang ayah kamu bisingkan tadi? "

Sebaik sahaja Chinta menolak pintu dapur degan membawa dua buah baldi di kiri kanan tagannya, Mak Cik Molek, emaknya bertanya.

“Mana mak tahu? ” tanya Chinta.

Dia membuka tutup tempayan yang diatur di dapur. Dimasukkan air di dalam tempayan tersebut.

“Ayah kamu balik bising-bising. Macam-macam yang dibisingkannya. Kamu janganlah melawan cakap ayah kamu tu.. "

Chinta tidak menjawab. Emaknya bukan tidak tahu sikap ayah terhadap dia.

“Kamu dah tahu dia macam tu, diam aje lah... "

“Memang Chinta diam pun mak.. "

Balas Chinta perlahan. Hampir tida kedengaran. Mak Cik Molek yang sedang mengupas kulit keladi, merenung wajah Chinta sekilas. Dia percaya cakap anak perempuannya yang tidak banyak cakap itu.

“Rodin! "

Melihat Chinta yang sudah mahu beredar dari dapur, dia menjeritkan nama anak lelakinya yang entah sudah bangun tidur, entahkan belum. Anaknya itu duduk di asrama dan sekarang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM.

“Rodin tak bangun lagi, mak? " tanya Chinta.

Dia dengan abangnga hanya beza setahun. Tetapi dengan Faiz bezanya tujuh tahun. Dia ada seorang lagi adik yang sekarang ini baru berusia empat tahun. Naila. Mungkin sekarang berada di bawah rumah sedang bermain dengan Faiz.

“Abang kamu tu kalau matahari tak tegak dekat kepala, mana dia nak bangun. Malam tadi entah pukul berapa dia balik. Rodin! "

Jerit Mak Cik Molek lagi. Namun tidak ada suara yang menyahut.

“Apa pasal awak menjerit-jerit panggil si Rodin pulak ni? Biarlah budak tu nak tidur. "

Suara garau muncul di balik ruang tamu rumah. Chinta merenung emaknya dan berlari keluar membawa baldi kerana ada beberapa tempayan lagi yang perlu dipenuhi.

“Si Chinta tu dari tadi penuhkan tempayan dengan air. Si Rodin tu tak bangun-bangun. Sejak dia balik, satu benda pun dia tak buat. Asyik tidur kemudian malam-malam melepak dengan budak-budak kat simpang jalan tu. Masakan abang tak tahu? "

Mak Cik Molek merenung wajah suaminya yang kurus dan agak melengkung badannya itu.

“Biarkanlah... dia dah penat belajar. Sesekali biarkanlah dia bebas. Yang Chinta tu mengada-ada mengadu dengan awak Rodin tak tolong dia, kenapa? "

Seperti biasa lelaki yang bernama Kamal itu akan menyalahkan anak perempuannya, daripada anak lelaki kesayangannya itu.

“Hesy, abang ni... bila masa Chinta mengadu? Mata saya ni menengok pun sakit. Abang tulah... manjakan anak sangat. Ini kita masih muda, masih ada tenaga. Esok-esok bila dah tua agaknya kita langsung tak dipandangnya. Silap-silap rumah kita digadai dan dia hantar kita ke rumah orang tua.. "

Rengus Mak Cik Molek. Malas manita itu mahu melayan suami yang selalu berat kasihnya pada si anak sulung. Entah apa alasannya, sampai sekarang dia sendiri tidak pasti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience