CHINTA 8

Romance Series 6820

Rodin memerhatikan Chinta yang sedang sibuk menyapu sampah di halaman rumah. Direnung belakang adiknya dengan pandangan sinis.

“Chinta! "

Panggil Rodin. Namun Chinta yang sedang sibuk itu tidak menghiraukan panggilan abangnya itu.

“Hei, Chinta! Kau pekak ke? " jerit Rodin lagi.

Chinta memusingkan kepalanya. Merenung si abang yang sedang tersengih-sengih seperti kerang busuk lagaknya.

“Apa hal? ”

“Buatkan aku air.. " suruh Rodin.

Chinta tidak memperdulikan arahan abangnya itu. Dia tahu kalau abangnya ada di kampung, sering kali abangnya itu akan mengundang sengketa antara mereka berdua.

“Weh... pekak! Buatkan aku air... "

Sekali lagi Rodin mengarah. Memang dia sering membuli Chinta. Namun, sejak Chinta bersekolah menengah, adiknya itu sudah tidak mendengar arahannya lagi.

“Apa hal? "

“Buatkan aku air la pekak!!! "

“Tak nampak orang ada kerja ni? " balas Chinta.

Sampah-sampah yang sudah dikumpul, dikaup dan dimasukkan ke dalam tempat mengaup sampah.

“Tinggalkan aje kerja kau tu. Aku nak air... pergi buatkan! "

“Ahh... tak kuasa orang! "

Chinta menceberkan bibirnya. Mendengar jawapan Chinta yang menyakitkan hati dan telinganya itu. Rodin pantas turun dari tangga tempat dia bertenggek. Dia meluru ke sampah yang sudah dikumpul oleh Chinta. Ditendang sampah tersebut dengan kakinya.

Faiz yang kebetulan baru balik dari bermain layang-layang dengan kawan-kawannya, tercengang-cengang melihat kelakuan si abang yang seperti orang kerasukan.

“Mak!!! ”

Chinta sudah menjerit. Dia mengangkat penyapu dan mahu membantai si abang yang sudah menyelerakkan semula sampah di halaman rumah. Tetapi ditahan hatinya. Dia tahu kalau batang penyapu itu jatuh ke tubuh abangnya, dia yang akan menerima padahnya.

“Emak... tengok abang ni!!! "

Faiz yang memerhati kelakuan si abang, tolong menjerit. Bagi membantu si kakak yang sentiasa lemah lembut dengannya.

“Apa kenanya? "

Terkocoh-kocoh Mak Cik Molek keluar ke halaman rumah. Matanya terbeliak apabila dia melihat Rodin sedang memukul Chinta dengan kayu yang entah dari mana didapatinya.

“Rodin!!! "

Jerit Mak Cik Molek. Dia sudah menerpa pada Rodin yang sudah menampar Chinta. Mungkin hatinya tidak puas kerana si adik bukan sahaja sudah pandai menjawab, tetapi juga mengingkari kata-katanya.

“Kurang ajar kamu!!! "

Pang! Satu tamparan hinggap di pipi Rodin. Faiz yang melihat tindakan si emak, bertepuk tangan. Girang kerana si emak dirasakan membuat tindakan yang betul.

Selama ini apa sahaja kelakuan si abang yanv tidak elok, seperti tidak dihiraukan oleh si emak, mahupun si ayah.

“Padan muka abang... padan muka abang! "

Faiz melompat kegirangan. Rodin yang mendengar, terbeliak matanya. Dia sudah menerpa ke arah Faiz yang sudah mengagak tindakan si abang.

Segera Faiz melompat dan menyorok du belakang emaknya.

“Kenapa dengan kamu ni Rodin! " jerit Mak Cik Molek.

Sejak anaknya itu ada di rumah, hatinya begitu pusang. Kelakuannya begitu teruk dengan adik-adik. Selalu menganggap dirinya sebagai Raja.

“Chinta ni... Rodin suruh dia buat air, dia kurang ajar dengan Rodin pulak. "

“Kamu tak tengok dia ada kerja ke tak...! " sergah Mak Cik Molek.

Sebentar tadi dia tahu Chinta menyapu di halaman rumah. Cuti-cuti sekolah begini memang Chinta tidam pernah duduk diam. Ada sahaja kerja yang dibuatnya berbanding dengan Rodin yang tahunya, makan tidur. Dan kadangkala sering keluar rumah sehingga larut malam.

“Alah, setakat menyapu sampah... "

Sekarang kamu sapu balik. Mak nak tengok, ” jerkah Mak Cik Molek.

Rodin merenung halaman rumah sekilas, mengharap kalau-kalau wajah ayahnya terjengul di situ. Kalau ayahnya ada, sudah pasti dia selamat.

“Ayah kamu tak ada di rumah. Hari ni dia kerja overtime. Malam nanti baru dia balik. Kamu sapu sampah tu balik sekarang ni. Malam nanti ayah kamu balik, mak adu perangai kamu tu... "

“Faiz jadi saksi... ”

Celah Faiz yang sudah menjengulkan mukanya di belakang si emak. Chinta yang melihat kelakuan si adik, masih sempat tersenyum.

“Huh! Ayah akan marah mak balik nanti. Kau akan kena pukul. Engkau juga! "

Jerit Rodin sambil jarinya menunjuk pada Faiz dan juga Chinta silih berganti.

Pantas jari Mak Cik Molek mencapai telinga si anak yang seperti tidak puas hati sahaja lagaknya.

“Jangan nak lawan cakap mak. Sapu balik sampah tu, sapu! "

Pantas tangan Mak Cik Molek mencubit lengan dan badan Rodin yang cuba mengelak. Chinta sudah mencapai penyapunya semula.

Gadis itu tahu, walau dipukul separuh mati sekalipun, abangnya tidak akan melakukan seperti apa yang disuruh oleh emak mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience