Petang itu hujan renyai-renyai menyirami bumi Kuala Lumpur. Sejak semalam, hujan turun tidak berhenti-henti. Sekarang musim monsun Timur laut, sebab itu Malaysia yang jarang tidak menerima cahaya matahari, sudah dua hari tidak bercahaya.
Namun seperti lazimnya, penduduk Kuala Lumpur yang pesat membangun masih harus meneruskan kelangsungan hidup dalam apa sahaja cuaca sekali pun. Menerima cahaya matahari atau tidak, mereka tidak pernah peduli.
“Siapa pandai-pandai suruh awak ambik budak ni? Kitakan dah ada nak sendiri! ”
Tinggi suara lelaki yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam salah sebuah rumah flat di Jalan pekeliling itu.
Matanya buntang menatap wajah bayi yang baru sahaja lahir dan masih lagi ada tali pusatnya.
“Kita kena tolong dia, bang. Dia datang tadi minta maaf. Dia cakap tak lama lagi dia akan keluar negeri mengikut suaminya. Dia mahu kita jaga anak ni. ”
Perlahan suara si isteri, mahu mengimbangi kemarahan si suami yang meletus tiba-tiba apabila melihat anak itu.
“Kenapa awak tak tahan saja dia tadi, suruh dia tunggu saya balik? Mahu saya kerjakan dia sampai mati! ”
Keras suara tersebut. Si suami yang baru balik dari bekerja itu sekali lagu merenung wajah bayi yang berada di pangkuan si isteri.
Sesiapa juga akan terperanjat apabila pulang ke rumah, melihat seorang bayi di pangkuan si isteri. Dan lebih terperanjat lagi, bayi tersebut adalah anak kepada adiknya yang menghilangkan diri kerana mengikut lelaki.
“Buat apa abang nak kerjakan dia? Dia dah ada suami. Emak dengan abang sama aje. Dia tak buat salah. Dia kahwin, biarkanlah. Dia juga manusia, bang... ada nafsu, ada hak. "
Suara si isteri meningkah kata si suami.
Ah! Kalau emak mertua dan abang tidak segarang ini, mungkin adik iparnya itu tidak melarikan diri.
Kasihan adik iparnya... Dengar-dengar, keluarga lelaki juga menyisihkan adiknya suami isteri.
“Dia baru lapan belas tahun. Keputusan peperiksaannya baik. Emak nak tengok dia masuk universiti. Dia dah buat hal macam ni, sebab itu emak pasung dia, aku pukul dia! "
Suara si suami begitu tinggi sekali menyebabkan si isteri menceberkan bibirnya. Anak mereka yang berusia setahun sedang tidur nyenyak di dalam salah sebuah bilik di rumah yang mempunyai hanya dua bilik sahaja itu.
“Dia dah sedar, tak perlu dipukul. Abang kalau nak kahwin, emak larang kahwin... abanh marah tak? Abang kecewa tak? "
Sekali lagi si isteri mempertahankan adik iparnya. Simpati sesama wanita menyebabkan dia merasakan tindakan si suami dengan emak mertua yang melarang perkahwinan si adik, adalah tindakan yang kurang wajar.
“Habis, siapa nak menanggung budak ni? Kita sendiri dah ada anak! "
Mencerlung mata si suami. Anak yang masih merah itu direnungnya dengan pandangan yang kurang senang.
“Dia ada bagi kita duit suruh jaga anak ni, ” balas si isteri.
Kalau anak ini diberi tanpa memberi duit pun dia sanggup menjaganya. Dia memang sukakan anak perempuan dan sering berharap akan dikurniakan anak perempuan nanti.
“Dari mana dia dapat duit? Agaknya anak ni anak haram.... ”
Lelaki itu merenung sekali lagi pada bayi perempuan yang sekarang ini seolah-olah senyum padanya. Namun senyuman tersebut tidak dapat mencairkan hatinya yang sedang bergelojak dengan rasa marah.
“Lelaki itu yang bagi dia duit. Dia ada tunjukkan surat nikah dia dengan lelaki itu. Dia ada bagi saya surat beranak anak ni.. " terang si isteri.
Sebentar tadi ketika si adik ipar yang sudah menghilangkan diri sejak setahun yang lalu muncul, dia benar-benar rasa terperanjat dan lebih terperanjat lagi apabila kedatangan adik iparnya bersebab.
“Dia datang dengan jantan tu? "
“Tak, dia datang seorang. Lelaki tu sekarang di London, melanjutkan pelajaran. Adik abang tu mahu menyusul suaminya tak lama lagi. Mereka lakukan begitu sebab keluarga lelaki itu mahu mereka berpisah... " terang si isteri.
Dia percaya dengan cakap adik iparnya itu. Tampak kata-katanya menyakinkan dan dia mengulangi cerita yang sama beberapa kali.
“Siapa yang mahu menantu macam tu? Tak tahu jaga diri! Senang-senang ikut jantan. Emak di kampung itu menderita kerana dia! ”
Cemuh si suami yang sudah membuka bajunya.
“Kalau mak tak pukul dia, tak hentam dia dengan kayu hari tu, dia mesti kahwin dengan cara yang elok. Tapi abang hasur mak sampai mak marah dan halau dia dari rumah. Biarlah dia kahwin pun. Dia nak kahwin cara elok tapi abang yang hasut mak suruh pukul dia, rantai kaki dia. Macam anjing pulak! ” keras suara si isteri.
Si suami yang mendengar terasa radang. Radang kerana dipersalahkan hingga si adik bertindak melarikan diri.
“Dia memang patut dipukul, dirantai. Kurang ajar sangat. Gilakan lelaki itu. Cakap kaya, entah-entah penagih dadah agaknya! "
“Dia bagi kita duit, suruh jaga nak ni. Ini duitnya! "
Satu sampul surat yang tebal melebihi satu inci dilempar di hadapan si suami. Mata si suami terbeliak melihat isinya yang bertaburan di hadapannya.
“Banyaknya duit.. ”
Si suami berkata seperti tidak percaya.
Share this novel