Sejak akhir-akhir ini perangai Raja Akid sudah agak berlainan. Dia menjadi seorang anak yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Bahkan sebaik sahaja menduduki peperiksaan SPM, anak itu meminta izin daripada ayahnya untuk tinggal di luar dengan alasan mahu berdikari sementara menunggu dia ke luar negara.
“Kamu dah lama tak balik rumah, kenapa? ”
Hari itu Raja Akid datang mengunjungi ayahnya di kilang. Serta-merta soalan itu diajukan kepada Raja Akid.
“Balik rumah pun buat apa, ayah? Tak ada sesiapa. Ayah bukannya ada pun. Asyik kerja saja, " balas Raja Akid tenang.
Dia sudah menetapkan hatinya untuk ke luar negara walau apa pun terjadi. Itu alasan yang terbaik untuk dia menjahkan diri daripada rumah. Rumah yang dirasakan sudah begitu panas dan tidak aman lagi baginya.
“Emak kamu tanya pasal kamu.. "
“Ayah dah buat penambahan kilang di bahagian produksi ayah ya... "
Tanya Raja Akid, tidak suka hal si emak dibangkitkan di hadapannya sekarang ini. Memang sudah lama dia tidak pulang ke rumah dan kalau boleh dia tidak mahu berhadapan dengan wanita yang dipanggil emak itu lagi.
Setiap kali menghadapi wanita tersebut, dia akan merasa begitu marah dan darahnya serta-merta menggelegak.
“Ada lah sikit... Ada beberapa makanan baru diperkenalkan. Kilang ni memerlukan ruang untuk penyimpanan stok dan juga mesin baru. Hmmm... ayah akan buka kilang di Miri dan Perak. Lepas kamu habis belajar nanti, kamu kena segera balik ke sini. Ayah perlukan orang untuk menolong ayah. "
Gembira dengan perkembangan kilangnya sejak akhir-akhir ini menyebabkan Raja Haidar banyak melebihkan masanya di kilang daripada di rumah.
“InsyaAllah saya akan balik nanti. Tak sabar rasanya nak ke luar negara. Ayah tahukan, saya dah hantar beberapa permohonan ke sana dan mungkin akan dijawab sebulan dua lagi. "
Ke luar negara nanti akan membawa dia jauh dari rumah. Itulah yang menggembirakan Raja Akid. Sebenarnya dia sedar dia sudah tidak betah lagi untuk duduk di rumah.
“Baguslah. Ayah tahu kamu pasti akan dapat keputusan yang cukup baik nanti. Ayah juga tak sabar tunggu kamu pulang supaya kamu dapat menolong ayah. Marilah, ayah mahu kamu tengok bahagian produksi. Duduk saja dalam bilik ni kamu takkan dapat apa-apa.. " ajak Raja Haidar.
Kilang ini satu masa nanti akan menjadi milik Raja Akid. Jadi Raja Akid perlu tahu apa yang dilakukan di kilang tersebut.
Tanpa membantah, Raja Akid mengekori si ayah. Mereka hanya berjalan kaki sahaja walaupun jarak kilang dengan pejabat agak jauh juga.
“Kenapa pejabat dan kilang tak digabungkan, ayah? Bukankah senang kalau kilang dan juga pejabat pentadbiran diletak di bawah sati bumbung? "
Tanya Raja Akid sambil berjalan beriringan dengan si ayah. Dalam hati terbit rasa bangga terhadap apa yang telah dilakukan oleh si ayah. Kawasan kilang yang luas itu benar-benar akan mengagumkan orang lain yang melihatnya.
“Memang sejak ayah ambil alih kilang ni, konsepnya dah begitu. Bagi ayah, ayah bersetuju untuk mengekalkan cara yang begitu kerana pentadbiran takkan diganggu dengan bunyi bising mesin dari produksi. ”
Raja Akid menganggukan kepalanya. Langkahnya terhenti sebaik sahaja dia masuk ke kawasan produksi. Dia terlihat seseorang lelaki bertubuh tegap sedang mengarahkan beberapa kumpulan pekerja untuk mengalihkan barang yang berkemungkinan barang mentah.
“Lelaki tu... "
Berkerut dahi Raja Akid. Ah... tidak mungkin! Mungkin pelanduk dua serupa. Masakan lelaki itu akan keluar pada waktu bekerja.
“Apa kamu cakap? "
Tanya Raja Haidar. Dia menoleh pada Raja Akid yang seolah-olah sedang memandang seseorang.
“Siapa lelaki tu ayah? "
“Oh... dia penyelia di sini, ” balas Raja Haidar.
Mungkin Raja Akid tertarik dengan lelaki itu kerana dia mengarah pekerjanya dengan suara yang agak lantang.
“Syif apa ayah? "
Tanya Raja Akid seolah-olah teruja mahu tahu latar belakang lelaki itu. Namun keterujaan tersebut langsung tidak menimbulkan apa-apa prasangka daripada Raja Haidar.
“Sekarang pagi syif apa ya? Ayah tak berapa ingat. Nanti kamu tanyalah di dalam. Kenapa? "
Raja Akid tidak menjawab. Matanya masih membelingas memandang ke wajah lelaki tersebut.
Betulkah lelaki itu yang dilihatnya? Tapi macam mana perempuan tu kenal lelaki yang berada di depan aku ni? Selalu sangatkah perempuan tu datang ke sini?
Pelanduk dua serupa agaknya!
Sekali lagi Raja Akid menidakkan perasaanya. Entah mengapa dadanya berdegup kencang seolah-olah sukar untuk dikawal.
“Mak selalu datang ke sini ke ayah? "
Pertanyaan yang sudah menyendati bena Raja Akid akhirnya terburai juga. Dadanya yang sebu dengan rasa gementar, terasa lapang secara tiba-tiba.
“Tak. Buat apa dia ke sini? Bukan dia tahu buat apa-apa kerja. Kalau dia datang ke sini, nanti ayah tak boleh buat kerja. ”
Di akhir kata-kata si ayah, menyulam senyum. Tidak tahu senyuman tersebut untuk apa, cuma yang pasti si ayah seolah-olah gembira dengan si emak.
“Langsung tak pernah datang? " tanya Raja Akid lagi.
Sekali lagi Raja Haidar menidakkan, tetapi kali ini dengan menggelengkan kepalanya.
“Marilah... tak payah kamu fikir mak kamu pernah datang atau tak. Dia bukan tahu buat apa. Sejak dia kahwin dengan ayah, dia dah tak pandai basuh baju, dan tak pandai masak. Kamu nak suruh dia kerja kilang? Bertambah tak pandailah dia... "
Di hujung kata-kata Raja Haidar, lelaki itu ketawa. Namun Raja Akid terpanar. Sebak dadanya mendengar kata-kata lelaki yang langsung tidak pernah prasangka itu.
Share this novel