Setahun pun berlalu. Hidupku kini lebih tenang di kampung. Suatu hari, aku mendapat tahu bahawa syarikat tempat aku pernah bekerja telah membuka cawangan baru tidak jauh dari sini. Tergerak hati untuk singgah, aku pergi ke sana.
Setibanya di cawangan baru itu, aku bertemu dengan tauke syarikat. Dia masih mengenaliku.
“Eh, Ravabia! Apa khabar? Sekarang buat apa?” tanyanya ramah.
Aku tersenyum dan menjawab, “Baik. Sekarang kerja ofis. Tak lama lagi nak kahwin.”
Mendengar itu, tauke mengucapkan tahniah. Tiba-tiba, aku teringat sesuatu. “Oh ya, tauke. Saya nak tanya khabar June, bekas roommate saya dulu. Dah lama tak dengar berita. Nombor WhatsApp dia pun dah tak aktif.”
Mendengar nama itu, tauke tiba-tiba mengerutkan dahi. Dia kelihatan bingung. “June?”
“Ya, June. Dia admin sana. Sama-sama tinggal di hostel, sebilik dengan saya,” jawabku, cuba menjelaskan.
Tauke terdiam lama, seperti sedang berfikir. Akhirnya, dia berkata, “Ravabia, saya tak pernah ada staf nama June. Dan sepanjang kamu bekerja, kamu tak pernah ada roommate. Kamu seorang saja di bilik hostel itu.”
Kata-kata tauke itu membuat dadaku terasa sesak. Jantungku seperti berhenti berdegup. Aku mundur selangkah, cuba mencerna apa yang baru aku dengar.
Tak pernah ada staf bernama June? Aku tinggal seorang di hostel?!
Fikiranku bercelaru. Tiba-tiba pandanganku gelap, tubuhku terasa melayang. Aku rebah di hadapan tauke.
Khabarnya, aku koma selama enam bulan. Doktor bingung kerana aku tidak menunjukkan sebarang penyakit yang jelas. Ketika aku sedar pun, aku sering meracau, menyebut nama “June” berulang kali.
Akhirnya, ibu bapaku memutuskan untuk memindahkan aku ke rumah agar mudah dijaga. Dalam keadaan putus asa, mereka meminta bantuan seorang paderi untuk mendoakanku di rumah.
Setelah beberapa kali sembahyang beramai-ramai, akhirnya aku sedar sepenuhnya. Namun, tubuhku kurus kering, mukaku cengkung seperti sudah lama tidak mengenal makanan yang cukup.
Tuangku, tunangan yang tetap setia di sisiku, tidak pernah berhenti memberikan semangat. Setelah tiga bulan dirawat secara rohani, kekuatan mental dan fizikku beransur pulih.
Satu hari, aku memutuskan untuk kembali bertemu dengan paderi yang telah membantu memulihkan aku. Ada banyak pertanyaan yang masih berlegar di fikiranku, dan aku berharap beliau boleh memberikan penjelasan...
Share this novel
dah agak june tu