“Terima kasih, Father, sebab merawat saya…” ucapku dengan nada rendah, masih cuba menyusun kekuatan untuk melanjutkan perbualan.
“Sama-sama, Ravabia. Kalau diikutkan, kamu sebenarnya bertuah kerana tidak mengalami keadaan yang lebih teruk. Kamu cuma pengsan kerana minda kamu dikunci, bukannya sakit secara fizikal. Dan kamu cepat sembuh. Kalau orang lain, mungkin memerlukan setahun atau lebih untuk pulih,” jawab Father sambil tersenyum lembut.
“Bertuah apanya, Father… Malang betul saya. Rupanya, saya berkawan dengan benda tu…” jawabku dengan nada bergetar, sambil mengimbau semua kejadian aneh yang pernah aku alami. Barulah aku faham mengapa budak Cina itu mengatakan aku membawa hantu, mengapa pakcik bertopi lusuh merenungku dengan takut, dan suara misteri mencuci pakaian setiap malam di hostel. Semuanya kini masuk akal, dan aku merasa terlalu bodoh kerana tidak menyedarinya lebih awal.
Father memandangku dengan tenang dan menjawab, “Bertuah kerana ada sesuatu yang menjaga kamu dari dia. Dia cuma memerhati kamu, mahu mendekati dan menyentuh kamu, tapi sesuatu yang lebih kuat menghalangnya…”
Jantungku berdetak kencang. Sekujur tubuhku menggigil kecil mendengar penjelasan Father. Dia hanya tersenyum, memahami perubahan emosi yang terpancar di wajahku.
“Saya telah memberi benda itu peluang sekali lagi untuk menjaga kamu,” sambungnya dengan nada mendalam, seolah-olah menyimpan sesuatu yang tidak ingin sepenuhnya dia jelaskan.
Aku menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. “Father, saya… sebenarnya tak tahu harus bagaimana. Semua ini terlalu sukar untuk saya,” kataku lemah.
Father hanya tersenyum lagi. Dia meletakkan tangannya di bahuku dan berkata perlahan, “Baliklah. Rehatkan diri. Kamu perlukan ketenangan.”
Aku mengangguk, lalu bangkit perlahan dan meninggalkan gereja itu. Ketika melalui cermin tingkap putih yang terdapat di ruang lorong gereja, langkahku terhenti. Aku memandang bayangan diriku di cermin itu.
Gambaran itu tidak begitu jelas, namun cukup untuk membuat nafasku tertahan.
Ada sesuatu berdiri di belakangku.
Sebuah lembaga hitam besar, dengan bentuk yang kabur tetapi kehadirannya terasa sangat nyata. Lembaga itu tidak hanya berdiri—ia sedang memegang bahu kananku.
Aku menutup mataku sejenak, berharap itu hanya ilusi. Namun, saat aku membuka mata, bayangan itu tetap ada. Kali ini, ia kelihatan seperti tersenyum.
Aku terus berjalan keluar dari gereja dengan langkah berat. Ada perasaan aneh yang membebani dadaku.
Sejak itu, aku merasa diriku sudah berubah.
Dan, aku kini mula menyukai kegelapan.
TAMAT
Share this novel
saka ? pdamping?