Aku pernah terima tawaran kerja yang cukup menarik, dengan jawatan yang menjamin masa depan. Ketika itu, umurku baru 22 tahun. Tapi, untuk dapatkan jawatan tersebut, aku kena jalani latihan sebagai Penyelia Food Court di sebuah bandar lain, Bandar S. Oleh kerana syarikat yang menanggung semua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan, aku setuju saja. Siapa yang tak nak peluang macam tu, kan?
Aku pun terbang ke Bandar S menaiki AirAsia. Penerbangannya singkat saja, sekitar 30 hingga 50 minit. Tapi kepala aku pening juga, mungkin sebab mabuk kapal terbang.
Setibanya di sana, aku dijemput oleh syarikat menggunakan van pekerja. Mereka tempatkan aku di hostel yang disediakan khas untuk pekerja. Ada dua jenis hostel—satu untuk lelaki, satu lagi untuk perempuan. Mestilah dipisahkan.
Aku naik ke tingkat 3, bilik nombor 3. Bilik tu sederhana saja, ada dua katil single, sebuah cerek elektrik, dan beberapa barang keperluan lain seperti baldi, mangkuk dalam bakul, dan barang mandian. Nampak gayanya, aku ada rakan sebilik. Baguslah, tak adalah rasa sunyi.
Rumah flat ni ada 4 bilik, satu bilik mandi, satu tandas, dan dapur kecil. Tak ada ruang tamu. Masuk saja rumah, terus nampak bilik. Setiap bilik ada balkoni kecil untuk jemur pakaian. Rumah ni nampak usang sedikit, mungkin sebab syarikat dah lama beroperasi.
Selepas letak barang-barang, aku pun mula berkemas. Tiba-tiba, aku dengar ada seseorang masuk ke bilik mandi. Bunyi air mengalir dan suara orang sedang menggosok pakaian. Mungkin rakan serumah yang balik dari kerja syif tengahari. Aku tunggu, sebab nak mandi lepas tu.
Lebih kurang 15 minit kemudian, aku dengar pintu bilik mandi terbuka. Perempuan tu keluar. Aku pun segera bangun, bersedia untuk masuk ke bilik mandi. Tapi bila aku tengok lantai di luar bilik mandi... pelik. Tak ada kesan air, tak basah pun.
"Apa ni?" bisikku dalam hati. "Orang tadi tu mandi ke tidak?"
Aku masuk juga ke bilik mandi. Aneh. Lantai dan dinding bilik mandi kering sepenuhnya, tak macam lepas orang mandi. Tak ada rasa lembap atau kesan air pun. Jantungku mula berdetak laju. Aku tarik nafas dalam-dalam. Mungkin aku tersalah dengar... Ah, aku abaikan saja.
Lagi pun, aku penat, lapar, dan mengantuk. Jadi, aku terus mandi tanpa fikir panjang.
Share this novel