Aku bekerja shift pagi lagi. Petang itu, aku keluar seorang diri untuk membeli makanan. Di kedai tempat aku biasa membeli, aku terjumpa lagi anak lelaki Cina itu. Rupanya dia anak tauke gerai tersebut. Dari tadi, dia hanya menatapku, membuatku merasa tidak selesa.
“Kenapa, dik? Muka saya macam hantu ke?” tanyaku tiba-tiba, entah kenapa mulutku jadi celupar.
Anak lelaki itu langsung menutup matanya saat aku duduk di kerusi yang agak gelap untuk menunggu pesananku. Ketika tapauku siap dan aku mengambilnya, dia membuka matanya kembali.
Saat aku melangkah pergi, aku terdengar anak itu berbicara dengan bapaknya.
“Daddy, she bring ghost,” katanya.
Bapaknya segera memberi isyarat agar dia diam.
Aku menelan air liur, rasa seram mula menjalar. Cepat-cepat aku beredar dan pulang.
Setibanya di rumah, aku baru menyedari kali ini ada beberapa staf lain yang keluar dari bilik mereka, ada yang menuju ke dapur, tandas, dan bilik mandi. Ini jarang berlaku.
“Malam tadi, siapa ya yang mencuci baju pukul 3 pagi?” tanyaku santai dengan senyuman.
Tiga staf perempuan yang sedang berbual serentak memandangku dengan ekspresi terkejut dan bingung.
“Tiada siapa...” jawab salah seorang sambil menggeleng. Yang lain turut mengangguk, membenarkan.
Mereka langsung masuk ke bilik masing-masing tanpa berkata apa-apa lagi. Aku menggaru kepala, merasa aneh, tetapi tidak terlalu memikirkan. Aku masuk ke bilik dan makan kerana perutku sudah lapar sangat.
Setelah selesai makan, aku berdoa seperti biasa. Kata-kata June sempat terlintas di pikiranku. Aku akhirnya memutuskan untuk tidur dengan lampu menyala, seperti yang dia sarankan. Namun, aku yang biasa tidur dalam gelap sukar melelapkan mata.
Setelah beberapa lama berguling, aku menyerah. Aku mematikan lampu besar dan menyalakan lampu kecil di sudut bilik. Namun, entah kenapa, malam itu aku memilih tidur membelakangi pintu. Aku tak mahu menoleh atau memandang ke arah pintu sama sekali.
Setiap malam, saat jam menunjukkan pukul 3:03 pagi, aku pasti terbangun dengan rasa dingin yang luar biasa. Saat pergi ke tandas, suara orang menggosok baju dari bilik mandi sebelah selalu terdengar lagi. Aku hanya mampu berdoa dalam hati, cuba mengabaikan semua itu.
Keadaan seperti ini berterusan setiap malam, sampai akhirnya June kembali dari cuti Hari Raya.
Share this novel