Melihat June keluar, aku tidak tunggu lama. Aku segera mengemas pakaian dan memasukkannya ke dalam beg. Aku memeriksa baki wang yang ada. 'Okey, cukup!'
Aku mengenakan pakaian biasa, lalu bergegas ke pejabat. Waktu itu, hanya tauke syarikat yang ada di sana.
“Saya nak berhenti... Potong saja gaji saya untuk bayar flight saya ke sini,” kataku terus terang kepada tauke.
Aku memberikan alasan palsu bahawa aku tidak sesuai bekerja di food court. Tauke tidak banyak soal dan terus menerima keputusanku. Setelah menyerahkan uniform kerja, kunci loker, dan kad staf, aku berjalan pantas kembali ke hostel untuk mengambil barang-barangku.
Sejak June menceritakan tentang makhluk hitam yang mencangkung di hujung kakiku, aku benar-benar tidak tenteram.
Ketika tiba di hostel yang sunyi itu, aku masuk untuk mengambil barangku. Setiap langkah di dalam hostel membuat bulu romaku meremang.
'Ah, aku tak peduli lagi!' jerit ku dalam hati. 'Selamat tinggal, June!'
Saat aku menutup pintu rumah untuk pergi, tiba-tiba aku terdengar suara dari bilik mandi. Suara seseorang sedang menggosok pakaian.
'Aduh, sudah!' Aku terus menghempas pintu dan berlari turun tangga dengan tergesa-gesa. Tanganku menggigil, kakiku terasa lemah.
Di luar pagar hostel, aku menunggu teksi sambil melirik ke arah tingkap bilik nombor 3, bilik yang aku dan June huni. Saat itu, mataku terbeliak.
Di sana, di tingkap bilik June, ada seorang perempuan tanpa muka, memakai kemban sarung, berambut panjang, sedang menjemur pakaian!
Jantungku hampir berhenti. Teksi tiba tepat pada waktunya. Dengan tangan tergetar-getar, aku membuka pintu dan terus masuk ke tempat duduk belakang.
“Ada apa-apa lagi, cik? Kalau tak ada, kita nak bertolak ni,” tanya pakcik teksi, menoleh ke arahku.
Aku memberanikan diri memandang sekali lagi ke arah bilik nombor 3. Kali ini, tidak ada apa-apa. Kosong.
“Ke airport terus, pakcik,” kataku, cuba mengawal nada suara.
Setibanya di lapangan terbang, aku segera menaiki pesawat untuk pulang ke kampung. Ibu bapaku terkejut melihat aku tiba-tiba pulang tanpa pemberitahuan.
“Kenapa tiba-tiba balik? Ada apa?” tanya mereka.
Aku hanya tersenyum kecil. “Tak sesuai kerja di food court,” jawabku ringkas.
Sampai sekarang, mereka tidak pernah tahu apa yang sebenarnya terjadi di hostel itu.
Share this novel