BAB 8

Romance Completed 4874

“Tengok tu, bila abang cakap aje, sayang tak percaya. Dah jadi isteri abang pun masih tak percaya dengan abang? Dulu sayang kata bila dah kahwin, baru sayang akan percaya seratus peratus dengan abang, kan?”

Ayunis berpura-pura tidak ingat. “Ya ke? Ada ke Ayunis cakap macam tu?”

“Pura-pura tak ingatlah tu. Kalau Ayunis tak nak percayakan abang, terpulanglah.” Kini giliran suaminya pula yang merajuk.

Ayunis mula kalut. “Abang nak pergi mana pulak tu?”

“Ke dapurlah. Masak makanan tengah hari. Takkan nak tunggu Ayunis masak pulak? Ayunis bukannya pandai masak sangat pun.” Dalam rajuk, suaminya masih sempat menyindir.

“Amboi, mengungkit nampak? Hari tu siapa yang kata tak kisah kalau Ayunis tak pandai masak? Memang tak boleh percaya kata-kata manis lelaki ni. Sebelum dapat, bukan main lagi tapi bila dah dapat...”

“Ayunis tak penat ke membebel? Mari sini cepat, tolong abang masak!” suaminya mencelah sebelum dia membebel dengan lebih panjang.

Walaupun masih ada perasaan tidak puas hati terhadap suaminya, dia menurut juga ajakan suaminya itu. Langkah kakinya diatur ke dapur.

Seketika kemudian, riuh-rendah dapur itu dengan suara mereka suami isteri. Sememangnya sesi gaduh-gaduh manja itulah yang mewarnai alam rumah tangga mereka yang masih hijau itu.

Ayunis semakin bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya kini. Dia bahagia bergelar isteri kepada lelaki di hadapannya itu.

Seorang lelaki yang penyabar dan penyayang. Ya, isteri kepada Redza Abdul Rahim. Dia yakin pilihan hatinya ini tepat.

Meskipun Redza tidak sekacak Fahim, tidak punya kerjaya sebaik Fahim, tidak digilai ramai wanita, tetapi dia yakin Redza mampu melengkapkan hidupnya. Dia tahu Redza serba kekurangan jika dibandingkan dengan Fahim, tetapi dia juga bukanlah sempurna sangat.

Dia tidak mahir memasak, tidak pandai bergaya, tidak mempunyai pengetahuan agama yang tinggi atau semua ciri yang diidamkan oleh seorang lelaki untuk mencari calon isteri, tetapi Redza tetap memilihnya sebagai isteri. Haruskah dia meminta lebih lagi?

Dia bersyukur kerana tidak terpengaruh dengan kata-kata Sandara. Apa yang terjadi kepada Fahim, dia juga tidak mahu ambil tahu lagi. Yang penting sekarang, rumah tangganya bersama suami tercinta. Ternyata Redza adalah pilihannya yang tepat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience