BAB 5

Romance Series 2283

Perut teksi kedengaran bunyi pendingin hawa dan suara penyampai radio. Sepanjang lima belas minit perjalanan, Humaira cuma termenung di tempat duduk belakang. Melempar pandang ke luar tingkap sisi namun fikiran menerawang jauh.

'Abang long, abang long tolong Yaya... Tolong bagi Yaya ikut abang long balik kampung. Yaya nak hantar Ana buat kali terakhir, abang long.' Suara rayuannya ketika mengejar Rosdan di lobi hospital tadi terngiang semula.

Dia yang selama ini sudah cuba menjarakkan diri daripada abang sulung Mariana, bahkan sampai memegang lengan baju lelaki itu. Terdesak untuk minta dibawa pulang sekali.

Pandangan Rosdan tampak serba-salah.

'Yaya, abang minta maaf. Yaya nampak sendiri kan keadaan mak? Buat masa sekarang, Yaya beri mak ruang untuk terima semua yang berlaku. Nanti bila marah mak dah reda, Yaya balik ya?'

Humaira tutup kelopak mata, pedih bola matanya sampai ke tangkai hati. Beberapa detik, dia buka semula matanya. Tangan kiri yang sejak dari hospital lagi dia genggam, lambat-lambat dia buka. Menampakkan dua keping wang kertas pemberian Rosdan sudah renyuk.

'Ambil duit ni untuk kegunaan Yaya. Yaya balik rehat dulu ya? Kesian anak Yaya dah penat. Yaya ada nombor abang long kan? Kalau perlukan apa-apa, Yaya hubungi abang long.'

Kepalanya diangguk sebelum mencari wajah Maryam. Sayu memamah hati tatkala melihat Maryam tidak tidur, sebaliknya diam saja memandang ke arahnya. Kasihan sungguh dia pada Maryam yang diheret kesana kesini bersamanya. Pasti Maryam juga kepenatan.

Humaira tunduk mengucup lama pipi Maryam.

"Maafkan Ciky-" Jeda kerana terlepas kata. Segera dia geleng sekali dan betulkan panggilan namanya.

"Ibu... Maafkan ibu, sayang. Maryam penat kan? Kita balik rehat ya?"

Dia kesat mukanya yang sentiasa lembap dek air mata. "Kita mandi, kita rehat. Lepastu ibu buat susu sedap untuk Maryam. Nanti, ibu bawa Maryam jumpa mama. Ibu janji, sayang."

"Sini ke tempatnya, cik?" Tiba-tiba suara pemandu teksi menarik perhatian Humaira.

Humaira pandang ke luar tingkap, melihat teksi sudah berhenti di depan bangunan motel. Di sini bukanlah seperti di kota besar. Terletak di Hulu Selangor, kawasan sekelilingnya ini banyak hidupan menghijau. Hutan, jalan bercuram dan sungai. Bangunan mencucuk langit juga tidak kelihatan.

"Betul, pak cik. Berapa?"

"Dua puluh ringgit."

Humaira menghulur not lima puluh yang Rosdan beri kepadanya tadi. Setelah pemandu teksi pulangkan baki, dia ucapkan terima kasih lalu melangkah keluar. Tercegat dia menghantar kenderaan warna kuning lusuh beredar, membiarkan tudung sarung di kepalanya beralun ditiup angin nyaman. Dan apabila kenderaan itu hilang daripada pandangan, spontan anak matanya beralih ke arah tengah jalan.

Cecair merah pekat bersama sekujur tubuh Mariana memenuhi segenap pandangan sekaligus menjerut hati. Enggan dibawa kesedihan, dia berpaling tubuh. Berjalan lemah ke arah pintu masuk motel.

"206." Suara dari arah kaunter menyambut kepulangan Humaira.

Mahu tak mahu, Humaira menapak ke arah lelaki botak tengah yang duduk di balik kaunter. Tapi dia pandang ke arah lain asalkan tidak bertentang mata lelaki itu.

"Dah selesai ke urusan awak? Lama abang tunggu." Meleret senyum Razak dengan muka tak malu membahasakan dirinya 'abang'.

Nada dan cahaya matanya itu jelas mahu menggatal. Tiada langsung baur simpati. Sedangkan Mariana meyewa di motelnya selama hampir tiga tahun.

'Jangan layan semua jantan dalam bangunan ni terutamanya owner yang kau nampak kat bawah tadi. Dorang semua bernafsu binatang belaka.' Pesanan Mariana ketika dia pertama kali datang ke sini melintasi benak Humaira.

Kalau dulu, dia merasa selamat kerana dia tahu Mariana ada di belakangnya. Sentiasa melindunginya, sentiasa membela dirinya. Tapi sekarang? Belum sehari Mariana meninggalkannya, dia sudah dibelit rasa takut.

Melihat kebisuan Humaira, Razak mecapai sesuatu dari dalam kabinet bawah meja monitor kamera litar tertutupnya lalu diletak di atas meja kaunter.

"Ini awak punya? Abang jumpa kat luar."

Anak mata Humaira tertancap pada tin susu formula di atas kaunter. Laju sungguh sebak menghentam dada namun segera dia gigit dinding bibir, menahan air matanya daripada mengalir.

'Su...su Maryam.' Suara Mariana jelas di telinganya.

Buat kali pertama sejak Maryam dilahirkan, Mariana belikan sendiri susu buat Maryam. Ternyata ia juga menjadi kali terakhir...

Perlahan-lahan, tangannya mencapai tin susu Maryam, ditekap rapat ke dadanya. Tak berani dia nak membalas renungan Razak jadi dia larikan pandangan sambil sedikit mengangguk.

"T-terima kasih," ucapnya seraya membuka langkah meninggalkan kaunter.

Anak tangga dipanjat satu-persatu. Baru dia sedar kalau dia berjalan sedikit terhincut-hincut. Tidak pasti sama kerana luka di kedua-dua lutut atau kerana terseliuh sewaktu ditampar mak.

Tak apa. Asalkan Maryam baik-baik saja, dia pun baik-baik saja.

Setibanya di tingkat atas, langkahnya mulai perlahan tatkala melihat seorang lelaki berseluar pendek tak berbaju baru saja keluar dari biliknya. Dia kenal lelaki muda berambut kuning itu. Penyewa di bilik bertentangan biliknya.

Apa yang dia buat di...

Mata Humaira membuntang saat sesuatu melintasi fikiran. Pantas dia menerjah lelaki itu.

"Apa awak buat dalam bilik saya?" soalnya tanpa basa basi.

Dia berdiri di depan pintu bilik lelaki itu seolah menghalang lelaki itu masuk. Debaran dalam dada cuma tuhan yang tahu. Tubuh Maryam dan tin susu, didakap kemas.

"Bilik kau apa pulak? Kau nampak aku ada dalam bilik kau ke?" Lelaki itu tidak menunjukkan rasa bersalah sama sekali. Malah memasang muka jengkel.

"S- saya nampak sendiri awak keluar dari bilik saya."

"Kau ada bukti ke?"

Humaira telan liur. Melirik ke arah kamera litar tertutup di sudut koridor.

"CCTV tu tak function pun, kau jangan nak reka cerita," giat lelaki berambut kuning bagai dapat membaca fikiran Humaira.

"Tepi, semak betul!" Kasar lelaki itu menolak tubuh kurus Humaira lalu menerobos masuk ke dalam bilik sendiri.

Humaira tidak dapat berbuat apa-apa. Rasa gentar mengocak dada. Walhal baru diherdik sekali. Dia gentar dengan mana-mana lelaki. Kata Mariana, lelaki di sini semuanya tidak bersifat layaknya manusia.

"Baaabaaa baa." Suara Maryam menariknya untuk berpijak di bumi yang nyata. Jemari kecil Maryam menyentuh dagunya.

Meski serasa ingin menangis, Humaira tetap mempamer senyum di mata Maryam.

"Maaf, sayang. Maaf..."

Berat kakinya menapak masuk ke dalam biliknya yang sedia ternganga. Pintu bilik ditutup rapat dan dikunci. Dengan lafaz Bismillah, dia letak tubuh Maryam di atas tilam bersih. Tin susu pula dia letak di sebelah Maryam.

"Allah..." Hembusan nafas dilepas sekali bersama rasa lenguh.

Apabila sudah duduk berlunjur di atas lantai, barulah segala rasa lenguh, pegal, letih itu mencengkam setiap inci tubuhnya. Sendi dan urat lengannya paling terasa pegalnya. Hampir seharian dia mendukung Maryam. Kepalanya juga berdenyut kerana terlalu banyak menangis. Lututnya...

Dia selak seluar longgar yang dia pakai. Darah di lututnya kering. Jelas nampak kulit terkoyak, merah jambu terang. Rasa pedih merayap tak semena-mena.
Hari ini baginya sungguh panjang. Semua yang berlaku belum mampu dihadam sepenuhnya. Pun begitu, rindu pada Mariana sudah meniup jiwa raga.

Untuk yang kesekian kali, dia tahan lagi air matanya agar tidak tumpah.

Matanya dipejam, memujuk hati nan sayu. Hari ini dia akan berehat bersama Maryam. Esok, dia akan balik ke kampung. Tapi sebelum itu, dia perlu hubungi pengurus tempat dia bekerja. Dia langsung tak sempat maklumkan tentang ketidakhadiran dia pagi ini. Tambahan pula telefonnya tertinggal di dalam bilik. Dia hubungi abang long pun menggunakan telefon hospital.

"Telefon..." Barulah Humaira teringat keberadaan telefon bimbitnya.

Dia menoleh ke arah tepi dinding, tempat dia susun bagasi. Kali terakhir dia guna telefonnya... pagi tadi. Dia menelefon Sarif bertanya tentang Mariana. Kemudian dia letak telefonnya dia atas bagasi.

"Mana telefon ibu, Maryam?" gumamnya hairan melihat di atas bagasinya kosong.

Sedetik, bayangan lelaki berambut kuning melintasi mata. Debaran serta-merta menjalar jantung.

"Jangan, Ya Allah..." Pantas dia mengangkat hujung tilam. Tangannya meraba-raba lantai simen di bawah tilam itu. Tiada. Sampul putih berisi wang simpanannya tiada!

"Allahuakhbar... Allah..." Panik mulai menyerang membuatkan tangannya menggigil.

Duit itu... duit itu simpanan untuk kegunaan Maryam. Susu Maryam, sakit demam Maryam. Sewa... Bagaimana dengan sewa bilik? Dua hari lagi hari dia perlu bayar sewa kan? Ya Allah...

Humaira pegang kepala yang berdenyut hebat. Satu demi satu, tidak tertangguh ujiannya hari ini. Dia... dia tak tahu cara untuk menampung semua ujian ini.

Entah dari mana datang keberanian, dia akhirnya bangun menuju ke bilik bertentangan.

Naz... seingatnya nama lelaki berambut kuning itu Naz. Nama itu yang dia pernah dengar disebut-sebut.

Tok! Tok! Tok!

Humaira ketuk pintu dengan tangan yang gigil.

"Naz? Buka pintu ni. Tolong buka, Naz," pintanya dalam lapisan rasa takut.

Tiada sahutan. Pintu dia ketuk lagi.

"Saya tahu awak kat dalam, buka pintu ni."

"Semak betul!"

Tersentak bahu Humaira bilamana Naz tiba-tiba membuka pintu dengan suara keras. Mata Humaira berkaca tapi dia tidak menangis.

"Duit saya... bagi balik duit saya."

Naz yang tidak berbaju, maju setapak membuatkan Humaira spontan berundur setapak. Kerana tinggi mereka di paras yang sama, maka sabungan mata mereka juga setentang.

"Duit apa? Merepek apa kau ni? Kau gila ke sejak kakak kau mati?"

Humaira ketap gigi, berkerut dahinya membalas mata layu Naz. Sekali kerdipan, tumpah jua air matanya. Demi Maryam dia enggan mengalah.

"Saya nampak awak keluar dari bilik saya dan duit dengan barang saya dah hilang."

"Kau tuduh aku ke? Hah?" Naz menujah dahi Humaira.

"Ada bukti aku curi duit dengan handphone kau? Ada bukti? Sial!" Kedua kalinya Naz menunjal dahi yang sama.

"Saya tak cakap pun telefon saya hilang," bidas Humaira membuatkan Naz terkelu sebentar.

Mungkin kerana malu perbuatannya sudah terbongkar terang, Naz bertindak kasar dengan mencengkam leher Humaira sehingga tubuh wanita itu melekap di dinding sebelah pintu.

Ternganga mulut Humaira bagai disekat udara masuk ke dalam saluran pernafasannya. Tangannya sedaya upaya cuba menarik tangan Naz tapi gagal. Tak sampai sesaat, mukanya berubah merah menyala.

"Kalau ya aku curi duit kau, kau nak buat apa? Hmh? Kau ada bukti ke?" Naz menguatkan cengkaman bersama ucapan separuh berbisik itu. Matanya merah dan anak matanya seperti bergetar laju. Seperti orang di bawah kesan bahan terlarang.

Oleh itu, urat hijau timbul di pelipis Humaira. Lagak separuh nyawa ditarik keluar jasad.

Sedikit pun Naz tidak merasa bersalah. Dia dekatkan bibirnya di telinga kanan Humaira.

"Setakat duit tak sampai seribu, kau jangan menyalak la, sial. Semak!"

"Hoi, kau buat tu?"

Gedebuk! Humaira rebah terduduk sebaik saja Naz melepaskan cengkaman.

Lantas Razak mendekati Humaira, cuba memegang bahu Humaira namun Humaira lebih pantas menepis walau sedang tercungap-cungap mencari nafas.

"Apa kau buat? Kau nak bunuh dia ke?" soal Razak memandang Naz.

Naz jongket bahu ala kadar. "Ada salah faham sikit. Tanyalah dia."

Kemudian, dia pusing tubuh lalu masuk ke dalam biliknya begitu saja.

Razak kembali pada Humaira. Melihat kulit mulus Humaira kemerahan, dia bukannya merasa simpati sebaliknya dicuit nafsu buas. Tak pernah rasanya dia melihat muka Humaira sedekat ini. Ternyata lebih cantik daripada yang dia sangka.

"Awak okey tak? Mari, abang tolong angkat masuk bilik," pelawanya sambil bersedia ingin memeluk bahu Humaira.

Laju Humaira menggeleng. Jantungnya masih laju, otaknya masih sakit, tangannya masih menggeletar tapi tak akan dibiarkan Razak menyentuh tubuhnya. Walau berat yang amat, dia tetap gagahkan tapak kakinya untuk berdiri.

Bertahan pada dinding, dia menapak separuh mengheret kakinya masuk ke dalam biliknya sendiri. Melihat Maryam terlena di atas tilam, air matanya deras mengalir.

Maryam... belum sempat minum susu. Maryam... perutnya belum diisi tapi sudah tertidur...

Humaira tekup mulut sendiri agar suara tangisan tidak keluar. Bahunya terenjut-enjut. Sebak jiwa hanya Allah yang tahu. Sempit dada hanya Allah yang tahu.

Krekkk. Bunyi pintu terkuak perlahan membuatkan Humaira berpaling laju.

Alangkah terkejut dia melihat batang tubuh Razak berada di dalam biliknya. Berdiri membelakangi pintu yang sudah tertutup rapat.

Sejak bila? Sejak bila Razak berada di belakangnya?

Kecut jantungnya saat Razak menapak perlahan ke arahnya bersama senyuman aneh. Gigi rongak dan kekuningan lelaki tua itu terpampang.

"E-encik nak buat apa? K-keluar sekarang." Gagap Humaira cuba berkata sedang telinganya bagai tidak mendengar suaranya sendiri dek kuatnya degupan jantungnya.

Razak cuma senyum. Anak matanya meratah setiap inci muka Maryam... turun ke bahagian dada yang terlindung di balik tudung... turun lagi ke bawah.

Nafsunya semakin liar.

Share this novel

norazimah Muhammad yasin
2026-06-10 17:52:35 

x sabar tunggu hero . sis update hari2 ke


NovelPlus Premium

The best ads free experience