BAB 2

Romance Series 2283

ROSDAN baru pulang dari surau kampung usai solat jemaah subuh. Lelaki tinggi lampai itu melewati kamarnya, menapak ke dapur dek melihat susuk seseorang duduk di atas kerusi meja makan.

"Termenung apa, mak?" sapanya perlahan agar tidak buat emaknya terkejut.

Anita yang bertelekung kuning cair, angkat muka. Menyorot anak sulungnya yang tenang melabuhkan punggung bertentangannya.

Wanita awal 60an itu melepaskan keluhan bersama raut sugul. Tampak susah hati.

"Mak teringatkan Ana... Dah lama tak balik. Mak telefon pun tak berjawab. Apa khabar agaknya dia kat sana..."

Rosdan mengangguk keluhan emaknya. Tidak menafikan bahawa adik bongsunya itu memang sudah lama tak pulang ke kampung halaman. Sudah lebih setahun.

"Mak tak sedap hati dua tiga hari ni, long. Asyik mimpikan Ana. Macam mana kalau berlaku perkara buruk pada Ana?"

Lantas Rosdan menyentuh tangan emaknya yang di atas meja. Dielus lembut. "Mak janganlah risau... Bukan ke mak cakap Yaya dah telefon mak dua hari lepas? Yaya cakap Ana sihat kan?"

Anita angguk, masih tidak merasa tenang. "Yaya cakap Ana sibuk kerja. Tak sempat nak telefon. Tapi Yaya cakap Ana pun rindukan mak."

"Ha. Yaya dah cakap macam tu, mak nak risau apa lagi? Yaya tu budak baik, mak. Tak mungkin dia nak tipu mak. Janganlah mak runsing sangat... Risau naik darah pula nanti."

Anita pandang sejenak senyuman di wajah manis Rosdan sebelum melepaskan keluhan panjang. "Kalau rindu, kenapa tak balik? Mak nak pergi tengok dia kat sana pun dia tak bagi. Alamat rumah dia pun kita tak tahu."

Rosdan diam beberapa detik. Terlintas juga di fikiran mengapa Mariana begitu liat nak beritahu tempat tinggalnya di sana. Yang mereka anak beranak tahu, Mariana bekerja sebagai pengurus hotel mewah di Genting Highlands. Mariana juga yang bawa Humaira bekerja di tempat yang sama sebagai pembantu dapur. Selain daripada itu, tiada maklumat lain.

"Along..." seru Anita menarik perhatian Rosdan semula.

"Apa kata, hujung minggu ni kita pergi tempat kerja Ana?"

Dahi Rosdan berlapis nipis. "Mak... kalau kita pergi sana pun, macam mana nak cari Ana? Hotel kat Genting banyak, mak... beratus-ratus."

"Sampai sana nanti, kita telefon tanya si Yaya."

Kali ini Rosdan terpaksa bertegas. Kepalanya digeleng-geleng. "Biarlah dulu, mak. Esok esok along cuba telefon Ana sendiri. Lagi satu, janganlah harapkan Yaya selalu... Setiap kali Yaya telefon, cuma Ana yang mak tanya khabar. Sekali sekala, tanyalah juga khabar Yaya..."

Anita diam. Kelihatan juihan kecil di bibir bawahnya. Seolah menolak anggapan anak sulungnya.

Oleh kerana topik sudah dibuka, Rosdan menyambung lagi. "Yaya ada kirim mak duit lagi kan? Babah ada cakap yang mak bagi semua duit tu dekat angah."

Barulah cerah biji mata Anita. Dalam diam mengomeli suaminya yang mulut tak boleh simpan rahsia.

"Iya... motor angah dah seminggu rosak, kesianlah angah. Dia mana ada duit nak baiki."

"Tak ada duit sebab dia tak kerja, mak... Jangan dimanja sangat angah. Angah tu lelaki, sihat tubuh badan, sama umur dengan Yaya. Yaya tu, dari kecil lagi kerja sampai sekarang. Lagipun, Yaya bagi mak duit, untuk mak guna... Dia tak perlu pun tanggung mak tapi sebab hati Yaya tu baik, dia hulur juga duit yang susah payah dia cari. Sekurang-kurangnya mak hargailah niat baik Yaya..." Panjang lebar Rosdan berkata kali ini.

Dia tak sampai hati melihat nasib hidup Humaira sejak dulu. Emaknya pun sudah dinasihat banyak kali, tetap sama. Tidak pernah nak memandang Humaira seperti mana emaknya memandang Mariana.

Anita tarik muka. Jelas tak senang dengan bicara Rosdan. Seolah-olah dia ini, jahat benar terhadap Humaira. Sedangkan dia inilah yang bela Humaira selepas mak ayah Humaira meninggal dunia lapan belas tahun yang lalu.

Mak ayah Humaira bukanlah darah daging dia, melainkan cuma pekerja di ladang sawitnya tapi tetap saja dia besarkan Humaira di bawah bumbung rumahnya. Jahat lagi dirinya ini di mata Rosdan? Hanya kerana tak bertanya khabar Humaira? Berbanding Mariana yang lemah dan polos, Humaira tahu jaga diri sendiri. Jadi sebagai seorang ibu, mestilah dia risaukan keselamatan Mariana.

Menyedari perubahan air muka emaknya, Rosdan menarik nafas sebelum meraih jemari yang di atas meja.

"Maaf kalau along buat mak terasa. Yalah, nanti along telefon Ana, tanya kat mana rumah Ana. Hujung minggu ni, along bawa mak dengan babah jumpa Ana," pujuknya lembut.

Barulah Anita tersenyum dengan janji itu. Dia angguk sekali. "Along telefon harini jugak ya?"

Mahu tak mahu, Rosdan agguk saja walau dia tahu panggilannya tak akan bersambung.

Cuma dengan anggukan itu membuatkan Anita kembali lega. Wanita itu kemudian bangun dan berlalu pergi ke kamarnya meninggalkan Rosdan sendirian.

Di tengah ruang batu sederhana luas bercat hijau itu, termenung Rosdan beberapa minit. Jelas terpancar kegalauan dalam minda.

"Haih. Fikir apa tu? Tak sabar nak jumpa buah hati?" Tiba-tiba buah sindiran jatuh di atas kepala Rosdan.

Rosdan menoleh ke kiri, melihat batang tubuh isterinya mendekati. Wanita berbaju kelawar itu tercegat peluk tubuh di hujung meja. Cemberut wajahnya membuatkan dia tambah kusut.

"Apa lagi awak tak puas hati ni, Mira..."

"Awak ingat saya tak dengar ke awak cakap nak jumpa Ana hujung minggu ni? Yang nak jumpa Ana tu, mak sorang aje. Awak mestilah tak sabar nak jumpa Yaya kan?" serkap Amira diasak cemburu.

Cemburu? Macam mana dia tak cemburu? Masih ingat dia lima tahun lepas saat pertama kali Rosdan bawa dia ke rumah untuk berjumpa dengan mak dan babah. Waktu itulah dia melihat Humaira ketika hendak menumpang solat di kamar. Begitu jelas di ingatan bagaimana terlopong mulutnya dek terpukau dengan kecantikan Humaira.

Bentuk mukanya, matanya, hidungnya, bibirnya, semua terletak elok. Jemari yang runcing, kaki yang panjang, rambut yang lurus. Kulitnya pula... putih melepak. Berbeza dengan perempuan berkulit cerah yang dia kenal, kulit Humaira itu putih seolah lutsinar. Sehinggakan ada beberapa bahagian yang kemerah-merahan. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, persis anak patung bernyawa.

Tak lama selepas itu, barulah Rosdan beritahu yang ibu kandung Humaira ialah orang asal Thailand. Ayah Humaira pula campuran Thai-Melayu. Pantasan saja kecantikan Humaira itu luar biasa. Dia yang sesama jantina pun boleh terlopong, apatah lagi kaum lelaki, bukan? Membayangkan selama ini suaminya tinggal sebumbung dengan Humaira saja buat hatinya dibakar api cemburu.

"Dulu awak tuduh saya ada perasaan dekat Yaya. Bila saya cakap tak, awak tak percaya. Sekarang Yaya pun dah kerja jauh, tak jumpa dan tak contact pun saya, awak masih tuduh benda sama. Saya pun pening nak layan awak," keluh Rosdan memicit pelipis yang mulai berdenyut.

Amira tetap tak mahu kalah. "Habis tu tadi kenapa beria sangat bela Yaya? Siap suruh mak hargai Yaya macam awak pulak yang tersakiti kalau mak tak tanya khabar Yaya."

"Hah..." Panjang keluhana nafas Rosdan kali ini. Jemu berbahas hal yang sama.

"Terpulanglah awak nak cakap apa, Mira. Kalau awak tak percaya sangat dekat suami awak ni, hujung minggu ni awak ikutlah sekali. Bawak sekali anak-anak."

Enggan berlamaan menghadap perangai isterinya, Rosdan bingkas bangun lalu membuka langkah keluar melalui pintu dapur. Lebih baik dia minum kopi di warung dekat simpang kampung daripada kusutkan lagi kepala.

* * *

"Aaahhhh..." Galak Maryam pagi ini sambil kedua-dua kaki menendang udara.

Humaira sedang mengisi susu formula ke dalam botol di tepi dinding, tersenyum dengan keletah comel Maryam.

"Maryam lapar ke? Marah Cikya sebab lambat buat susu Maryam?" giat Humaira disambut suara Maryam.

Wanita berseluar longgar hitam dan kemeja lengan panjang serona itu merangkak ke arah Maryam. Lembut gerak-gerinya membawa tubuh kecil Maryam di atas ribaannya berlapik bantal. Dengan bacaan doa, puting botol susu dimasukkan ke dalam mulut Maryam. Laju si kecil itu menyedut.

Tertawa Humaira dibuatnya. "Perlahan-lahan, sayang... Cikya baru beli susu Maryam hah. Jangan risau..."

"Aaaah." Sambil minum pun masih sempat Maryam menyahut. Entah apa yang ingin dikatakan tapi cukup buat Humaira terhibur.

Sementara Maryam menikmati susu botol, Humaira mengerling jam di pergelangan tangannya.

7:55 pagi. Dan Mariana masih belum pulang. Rasa bimbang kembali memamah hati. Rutin kerja Mariana kebiasaannya akan pulang sekitar waktu subuh. Pernah juga Mariana bermalam di luar tapi kalau begitu, Mariana pasti memaklumkan terlebih dahulu.

Jam tujuh pagi tadi, dia sudah menghubungi Sarif dan kata Sarif, van akan bergerak dalam lima minit lagi. Pemanduan dari Genting Highlands ke motelnya di Batang Kali ini biasanya cuma ambil masa 40 minit untuk tiba. Sepatutnya Mariana dah sampai kan?

"Mana mama Maryam ni..." getusnya menepuk-nepuk sisi punggung Maryam.

Dari semalam lagi dia tak sedap hati rasanya. Mungkin kerana dia biarkan Mariana keluar dengan keadaan marah. Atau mungkin kerana dia tidak pinjamkan duit kepada Mariana. Yang pasti, perutnya rasa sebu, dalam dadanya rasa berdebar.

"Allah..." Nafas dilepas panjang ingin mengusir rasa tidak nyaman. Dalam diam memanjat doa agar Mariana sentiasa dilindungi.

Ya. Marian baik-baik saja. Nanti kalau Mariana pulang, dia akan minta maa-

Heeekkk! Duum!!

"Allahuakhbar!" Terkejut Humaira apabila bunyi dentuman kuat menerjah telinga. Terlepas botol susu daripada pegangan menyebabkan tangisan Maryam pecah.

Dap dap dap. Kuat jantung Humaira berdegup dengan mata membuntang. Namun segera dia tenangkan Maryam dulu.

'Bunyi apa tu,' bisik hati kecilnya seraya bangun mendakap Maryam. Sebelah tangannya sambung menyusu bayi kecil itu.

Sebaik saja dia membuka pintu bilik, dilihat beberapa orang penghuni tingkat atas pada berlari keluar. Aneh. Bersama degupan jantung yang belum reda, Humaira turut menyusul penghuni lain. Berjalan di koridor, menuruni anak tangga, keluar melalui pintu utama.

Sekumpulan manusia menyapa pandangan. Mengelilingi sesuatu di tengah jalan. Dahi Humaira berkerut, debaran menjalar jantung. Setapak demi setapak dia melangkah, perlahan. Dilihat tidak jauh daripada kumpulan manusia, sebuah pacuan empat roda terlentang di atas jalan dalam posisi terbalik, asap putih keluar daripada kenderaan itu. Dilihat juga, serpihan kenderaan bertaburan di atas jalan, di tepi jalan bahkan di atas lantai luar motel.

Humaira melangkah lagi. Entah mengapa, setiap langkah terasa berat seolah dia tahu apa yang dia bakal saksikan nanti namun separuh hati menolak kemungkinan.

Selangkah lagi... tap. Hujung kaki tak berseliparnya terlanggar sesuatu. Humaira tunduk. Anak matanya jatuh pada tin. Tin susu formula. Tin susu formula yang sama dengan yang sudah dia beli awal pagi tadi.

Bagai disimbah cecair pekat, seluruh tubuhnya terasa berat. Rasa seolah segalanya melurut ke bawah. Seolah jantung- tak. Roh. Seolah rohnya jatuh melurut ke bawah tapak kaki.

Berbekalkan sekelumit semangat, digagahkan jua kaki meneruskan langkah. Setapak demi setapak, melepasi kerumunan manusia. Dan di situ. Di situlah sekujur tubuh terbaring di atas jalan. Di atas tumpahan cecair merah, sekujur tubuh itu terbaring longlai...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience