Series
2283
SAAT tapak kaki menginjak lantai marmar berwarna putih berkilat, seluruh tubuhnya merinding dingin. Seolah disimbah kesedaran bahawa apa yang sedang berlaku ini suatu realiti, bukannya mimpi.
Tubuh kecil berselimut ungu yang dia dakap sedari tadi, dia bawa lebih rapat ke dadanya. Jemari runcingnya menggigil, entah kerana bekas air hujan atau kerana debaran dalam jantungnya.
Kaki sudah kaku, cuma anak mata meneroka ruang di depannya. Ruang dalam rumah yang luas, bersih, tidak banyak perabot ataupun hiasan. Seperti rumah yang baru didiami. Kerana warna cat dinding yang lembut, lantai yang cerah, cahaya lampu yang terang, semuanya jadi nampak... asing. Hidupnya sentiasa bertentangan. Gelap, kelam, sempit.
"Masuklah."
Humaira tersentak. Suara garau dari arah belakang merentap dirinya untuk berpijak di bumi yang nyata.
Pantas, dia menoleh. Ada getar di mata hitamnya, waspada. Ada ombak kecil di dadanya, takut. Memegang kemas bayi dalam dakapan, dia pandang lelaki berkaca mata di depannya saat ini.
Lelaki asing ini terlalu tenang berbanding dirinya. Walau dia cuba mencari maksud di sebalik mata lelaki ini, dia gagal. Dia tidak menemui cahaya nafsu seperti dia lihat di mata lelaki di tempat kerjanya sebelum ini. Dia tidak juga menemui sekilas cahaya simpati. Jadi mengapa?
"Bilik bawah ada tiga kosong. Awak boleh pilih mana-mana yang awak selesa. Semua bilik air berfungsi, jadi make sure to take a warm bath especially your baby. Dalam peti tak ada bahan basah tapi cupboard under the kitchen island ada instant porridge. Awak boleh makan dulu, esok saya beli barang dapur lain."
Humaira diam menadah ujaran panjang lebar lelaki di depannya. Lancar, tiada kejanggalan. Tidak terlalu lembut, tidak kasar sama sekali, tidak baku seperti robot. Aneh sungguh nada bicaranya. Bahasa tubuhnya juga bersahaja.
"Jangan risau, saya jarang stay kat rumah. Malam ni awak rehat je dulu. Esok saya datang lagi. Just don't forget to lock the door."
Tatkala lelaki itu berpaling tubuh tanda ingin beredar pergi, tapak kaki Humaira pula bergerak setapak bagai ditarik magnet.
"Tunggu."
Lelaki itu jeda, separa berpaling membalas tenang pandangannya. Kening lelaki itu sedikit terangkat.
Humaira telan liur. Kembali teragak-agak untuk bertanya. Dia pandang tag nama di dada kemeja biru gelap lelaki di depannya. Beberapa detik, dia angkat pandangan.
"Kenapa encik buat semua ni? Saya tak ada apa-apa untuk beri pada encik," soalnya keliru. Dia tidak dapat membaca niat lelaki di depannya ini sama sekali.
Ketika dia menunggu jawapan, dia lihat lelaki di depannya menatap ke dalam anak matanya tanpa sebarang reaksi. Kemudian lelaki itu memandang pula si kecil dalam dakapannya sebelum kembali mencari matanya.
Lelaki itu hela nafas sekali. Tenang dan jelas jawapan menyusul.
"Jadi awak tak perlu beri saya apa-apa. Just terima semuanya. Apa yang saya beri, terima. Why? Who knows."
Share this novel