Series
2283
SEJURUS doa kepada Yang Maha Esa ditutup, Humaira menoleh ke sisi kanan. Senyuman mekar di wajah lembutnya tatkala memandang bayi kecil yang turut memandangnya. Oleh kerana jarak antara hamparan sejadah dan tilam cuma selangkah, dia mengesot ke bibir tilam.
"Assalamualaikum, Maryam..." sapanya sambil tunduk mengucup pipi Maryam.
Mulut kecil Maryam terbuka bersama bunyi menampakkan gusi kemerahan. Tanda si kecil itu senang disapa wajah dikenali.
"Maryam anak solehah ya? Bangun tidur, tak nangis. Kan?" Tak lekang senyuman di bibir pucat Humaira ketika bercakap dengan Maryam. Terasa hilang penat lelah bekerja.
Seolah mengerti apa yang Humaira ucapkan, Maryam angkat dua tangannya. Jemari halus bergerak kepal dan lepas, comel sungguh.
Humaira ketawa, buat-buat ingin memamah jemari itu. Sedang ketawa, hati ditiup hiba sekelip mata.
Anak matanya menjalar dari hujung jemari Maryam... muka kecil Maryam... dan dua kaki Maryam.
Maryam sudah menginjak ke usia tiga bulan namun fizikal Maryam lebih kecil berbanding bayi seusia lain. Bukan kerana fizikal azalinya begitu tapi kerana tidak mendapat susu yang cukup dan zat yang cukup. Mungkin persekitaran Maryam juga menjadi asbab.
Humaira angkat muka, meluaskan pandangan ke segenap ruang bilik motel yang didiami sejak setahun lalu. Ruangnya sempit, lantai simen tiada berlapik. Siling selalu bocor meninggalkan tompok kotor dan lembap. Kain baju disimpan di dalam bagasi, disusun saja tepi dinding, tiada almari dan perabot lain. Tidur pula cuma di atas tilam, yang mana tilam sahaja muat di dalam bilik ini. Itu pun dia memilih tidur di atas lantai asalkan Maryam dan Mariana selesa di atas tilam. Dan dia sentiasa pastikan cadar dan selimut dicuci bersih.
"Bababa..." Suara Maryam menarik semula perhatian Humaira. Lantas Humaira buang suram di muka lalu memasang senyum indah.
"Iya, sayang Cikya nak bercakap dengan Cikya? Hm? Dah pukul sebelas malam ni, awak tak nak tidur semula? Mari, sayang." Humaira naik ke atas tilam, kemudian dia angkat tubuh ringan Maryam ke dalam dakapannya. Tapak tangannya menepuk lembut belakang tubuh Maryam.
Apabila Maryam sudah berada dalam posisi selesa, alunan zikir lembut meniti di bibir Humaira. Lunak didengar sehinggakan tidak berkedip mata Maryam memandang Humaira. Itulah dodoian kesukaan Maryam.
Tiba-tiba... bang! Bunyi hempasan pintu menyentak Humaira disusuli tangisan Maryam.
Humaira mengerling pada wanita yang berdiri di depan pintu seraya mengemaskan dakapan. Belakang Maryam ditepuk, digosok.
"Syh, sayang. Jangan nangis ya, Maryam," bisiknya memujuk si kecil. Mujurlah kerana mendengar suaranya, Maryam berhenti menangis serta-merta.
"Sial betul," sumpah Mariana tak peduli langsung tentang anaknya dalam dakapan Humaira.
Wanita yang cuma bertuala separa lutut itu bergerak ke tepi dinding. Bekas berisi sabun mandi, berus gigi dan barang mandian lain, dia letak di atas lantai. Mukanya berkerut tanda anginnya tengah tidak baik-baik saja. Sambil mulut menyumpah, tangan sibuk mengesat rambut basah menggunakan tuala kecil. Duduk bersila dia di atas lantai simen dingin.
Tingkah Mariana diperhati Humaira dengan rasa kurang selesa. Walaupun sudah setahun dia melihat sisi 'kasar' Mariana, dia tetap janggal dan takut. Mariana yang dia kenal sejak kecil itu, tak pernah marah, tak pernah menyumpah. Tapi ternyata, semua itu cuma lakonan. Kata Mariana, dia perlu berlakon jadi anak yang baik di depan keluarganya untuk dapat kebebasan sekarang.
Beberapa minit berlalu, barulah Humaira mengajukan soalan. "Kenapa, Ana?"
Mariana berdecit sebal. Kasar dia menyapu losen pada lengannya. "Orang tua tak guna tu memang sial."
Humaira telan liur. Perlahan-lahan tangannya bergerak menekap telinga Maryam agar si kecil tidak mendengar perkataan yang tidak baik.
"Bulan ni dah dua kali kutip duit cakap untuk maintenance fee. Maintenance kepala bapak dia. Air sekejap ada sekejap tak ada. Kepala paip asyik tercabut. Tandas aku dah cakap dari semalam lagi tersumbat, harap jadah dia tak baiki. Sial punya setan," sambung Mariana lancar seakan ayat sumpah itu cair di mulut.
Hati Humaira beristighfar seiring bicara kasar Mariana. Sungguh dia takut setiap kali mendengar sumpah seranah daripada mulut Mariana.
Dalam masa yang sama, dia faham kenapa Mariana marah. Motel yang mereka sewa ini, bangunan kecil dua tingkat. Tingkat bawah terdapat tujuh bilik, tingkat atas terdapat lapan bilik. Semua bilik sudah berpenghuni dan setiap bilik memang lebih daripada seorang. Akan tetapi, cuma ada dua bilik air. Satu di tingkat bawah, satu di tingkat atas. Semua orang perlu berkongsi menjadikan keadaan kedua-dua bilik air amatlah teruk.
Pemilik motel, Razaq. Lelaki 56 tahun yang tinggal di rumah belakang motel. Kerap lelaki itu meminta duit tambahan. Kadang untuk selanggara kemudahan motel tapi setiap hari semakin teruk kondisi motel. Mujurlah Humaira bernasib baik kerana dia dapat mandi di tempat kerja.
Harus bagaimana? Cuma motel ini yang paling murah dan dekat dengan tempat kerja Mariana. Mariana bekerja di Genting Highlands.
"Yaya," seru Mariana menyedarkan Humaira. Bersahaja wanita berambut perang itu menyarung baju dalam. "Kau dah gaji dua hari lepas kan?"
Humaira angguk. Dia bekerja di rumah penginapan tak jauh dari bangunan motel ini. Bersihkan kawasan, kemas bilik, kadang bantu bahagian dapur. Mariana selalu kata kalau dia diperas tenaga lebih daripada gaji tapi dia sendiri tak kisah. Majikannya baik, gajinya dibayar tunai setiap minggu. Bahkan dia dibenarkan mandi dan makan di tempat kerja. Yang paling dia bersyukur, majikannya juga benarkan dia bawa Maryam apabila keadaan mendesak.
"Kenapa? Ana perlukan duit lagi ke?" Humaira membalas dengan soalan.
Barulah Mariana menyeringai. "Bagi aku pinjam dua ratus boleh? Esok janji aku bayar balik. Mr. Lee cakap malam ni ada client besar."
Ucapan Mariana mengundang getar di mata Humaira. Ditiup rasa takut berdosa.
Melihat itu, Mariana segera menambah jaminan. "Jangan risau... aku dah tak buat kerja macam dulu. Kan aku dah cakap, aku cuma escort dorang. Bagi minum, bagi makan. Macam tu aje..."
Humaira diam sejenak. Tunduk menatap wajah damai Maryam yang entah bila terlena semula. Sedetik, dia angkat pandangan.
"Kalau Yaya bagi seratus lima puluh boleh? Susu Maryam dah habis. Cukup untuk malam ni saja."
"Eh. Dah habis ke gaji kau? Kau ada beli apa-apa semalam?"
"... Tak."
Mariana dapat menebak reaksi serba-salah Humaira. Dari kecil lagi mereka bersama, isi hati Humaira pun dapat dia baca.
"Kau kirim duit kat mak ke?"
Diam Humaira tak dapat menafikan. Kebisuannya cukup untuk buat darah Mariana kembali mencanak naik.
"Kau ni kan!" bentak Mariana membuatkan bahu Humaira terenjut sekali.
Walhal Mariana itu muda tiga tahun daripada Humaira tapi sepertinya Humaira agak takut dengan sifat amarah Mariana.
"Berapa kali aku cakap, jangan bazirkan duit kau kat mak... Kau ingat mak tak boleh makan ke kalau kalau kau tak bagi dia duit? Hmh? Duit pencen babah cukup. Duit abang long ada, duit abang ngah ada. Tanah sawit mak tu, makan anak cucu pun tak habis. Yang kau? Kurus kering berlapar, sibuk nak suap duit kat orang lain."
"Ana..."
"Dahlah. Kau simpan jelah duit kau tu. Lain kali kalau kau bagi lagi mak duit gaji kau, kau balik ajelah. Pergilah kau mengadap mak."
Berkaca mata bening Humaira dihambur begitu. Dia tahu benar kalau Mariana tidak berniat jahat. Dia tahu benar kalau Mariana satu-satunya orang yang peduli tentang dirinya yang sebatang kara ini, tapi sudah fitrah hatinya rapuh dan mudah tersentuh.
Tidak mampu membela diri, Humaira diam menepuk perlahan punggung Maryam. Gerak-geri Mariana yang sedang bersiap dia perhati lama.
Akhirnya, Mariana siap sedia untuk berangkat kerja. Berbaju merah terang separa atas paha, material kain satin itu melekap kemas pada tubuh genitnya. Rambut panjang separa pinggang, beralun cantik. Solekan tebal menambah kecantikan wajahnya.
Setelah membelek telefon bimbit beberapa detik, Mariana sarung kasut tumit tinggi warna hitam berkilat.
"Sarif dah sampai kat bawah. Aku pergi dulu," pamitnya mengerling sekilas pada wajah sugul Humaira.
Lantas Humaira bangun berdiri. Tetap saja gerakannya berhati-hati agar tidak mengganggu lena Maryam.
Dia mendekati Mariana. Oleh kerana Mariana mengenakan kasut tumit tinggi, paras mata mereka jadi setentang.
"Ana cakap perlukan duit."
"Tak payah. Kau guna je buat beli makan kau. Karang tak cukup makan, macam mana nak kerja?"
Humaira serba-salah. Takut kalau Mariana betul-betul perlukan duit itu.
"Dah, tak payah buat muka ada orang mati. Aku boleh pinjam duit kawan aku," sambung Mariana memegang tombol pintu. Kalau dia lewat turun, nanti bising pula drebar bosnya di bawah.
"Kalau macam tu, peluklah Maryam dulu. Dah dua hari Maryam tak tengok muka mama dia." Laju Humaira menyua Maryam di depan Mariana.
Tindakannya membuatkan Mariana tayang muka tak senang. Berkerut seribu dahinya. Wanita itu bahkan memandang wajah anaknya sendiri seperti memandang sesuatu yang dia tidak suka. Seolah Maryam itu tidak pernah menumpang rahimnya selama sembilan bulan.
"Ish. Tengok muka dia buat aku hilang mood. Dah. Kau ajelah yang peluk dia. Tak mati pun lagi budak ni kalau setahun tak tengok muka aku." Tajam ucapan Mariana melibas telinga Humaira sebelum dia membuka langkah pergi.
Kaku Humaira di depan pintu, cuma mampu mendengar derap kasut Mariana menjauh. Sebak mengetuk pintu hati namun dia tutup kemas, enggan meneteskan air mata.
Dia tunduk memandang wajah Maryam. Anak tidak berdosa yang belum kenal isi dunia.
"Mama tak berniat cakap macam tu, Maryam," bisiknya hiba.
"Cikya tahu mama sayangkan Maryam. Buktinya, mama tetap lahirkan Maryam walaupun sakit melahirkan itu separuh nyawa."
Bibirnya tersenyum hiba, mengangguk kepala tanda menyokong kata-kata sendiri.
Tak apa. Lama kelamaan, Mariana akan terima Maryam sepenuhnya. Cukuplah dia seorang membesar tanpa kasih seorang ibu, tanpa sayang seorang ayah. Dia akan pastikan Maryam tidak keseorangan...
Share this novel
Siannya baby maryam..